Friday, January 28, 2011

Lelaki Botak.... Ganas @ Seksi...??

Hai… 
Hari ini saya nak komen sikit pasal lelaki. Apa pendapat kengkawan tentang lelaki botak? Adakah lelaki botak ni ganas atau seksi?

Ada sesetengah perempuan anggap lelaki botak sebenarnya memiliki sifat kelakian yg kental, tahan cabaran tapi masih terselit kelembutan di dalam diri mereka. Selalunya lelaki botak juga seorang yg manja dan ada juga yg anggap mereka ini nampak seksi apabila botak. Betul ke? Ehhhh ye ke...??
 
Bos saya seorang yang kurang rambut tapi belum botak keseluruhan.... Bila time tak sibuk tu, pernah juga la bertanya dia kenapa bleh jadi botak ni...?? Dia kata dia selesa begitu sebab "Botak tu seksi ".... ye ker...?? Nampak biasa je... tak nampak seksi pun bos saya ni....bior betikkkkkkkk pakcik ni....hahahaha

LELAKI botak? Ada wanita yang suka tapi ada juga pantas berkata tidak dengan alasan, tidak kacak atau serupa samseng! Nak kata nampak cam samseng pun idak jugak... bukan semua lelaki botak yang kelihatan seperti samseng.....contohnya bos saya la... muka takde la ganas pun.... nak kata garang sangat pun idak juge...kadang2 tu bleh la lagi berbual & bergurau... sorriiii bosssssssss sbb dah jadi bahan contoh kat sini plak... tu  la sapa soh berkepala botak... kan dah jadi bahan.....hehehe

Dalam satu artikel Berita Harian 28 Januari 2011, menurut organisasi penyelidikan antarabangsa, Synovate, hanya 12 peratus wanita di Malaysia suka teman lelaki botak manakala di China pula, bilangannya lebih tinggi iaitu sebanyak 28 peratus. 
Selebriti terkenal: Faizal Ismail
Ada berita baik untuk lelaki botak kerana kajian sama juga mendapati hanya satu peratus wanita bersetuju rambut sangat penting untuk mengklasifikasikan seseorang sebagai kacak. Maknanya, tak semua orang botak tu tak hensem la gitu.... ramai yang kata tak ada rambut pun tetap gak hensem la gitu....

Pendapat salah seorang wanita di Negara ini, lelaki botak kebiasaannya nampak garang, macho dan lebih terserlah kejantanannya. “Tapi, jangan pula fikir semua lelaki sesuai berimej botak kerana hanya segelintir mereka yang berwajah kacak saja saya rasakan sesuai mencukur licin kepada mereka,” katanya.


Pendapat wanita lain pula, mengakui tidak suka lelaki yang tidak berambut kerana baginya, lelaki botak akan nampak seperti ganas. “Kalau ada yang rasa lelaki botak itu seksi, saya tidak setuju sama sekali malah jujur dikatakan, saya takut hendak mendekati lelaki botak,” katanya.

Seorang suri rumah pula menyatakan beliau sering salah melabel lelaki botak sebagai penjahat mungkin kerana penampilannya yang tampak garang. “Lelaki botak kadang-kadang nampak kacak tapi ramai yang nampak seperti tak kacak daripada kacak. Takut sikit tengok kepala botak malah lelaki tidak layak digelar seksi jika berkepala botak,” katanya sambil tertawa.

Sementara itu, seorang penuntut wanita, mengakui tidak suka lelaki berkepala botak sama ada kerana fesyen atau disebabkan usia yang meningkat. “Tapi saya akui, ada segelintir lelaki yang sesuai dengan imej botak tapi mereka tetap kelihatan seperti ganas dan samseng. 

Soooooo sorry bos… sbb lebih ramai wanita yang mengatakan lelaki botak ganas dan bukannya seksi seperti yang bos slalu katakan….hehehehe

Gambar dari Google
Pada hakikatnya, lelaki botak ni seksi atau sebaliknya bergantung pada pandangan diri sendiri. Ada perempuan yg suka akan lelaki botak, ada pula yg tak suka. Terpulang la…

Tapi kenapa lelaki botak? Adakah untuk Nampak seksi?
  • Mungkin mereka nak nampak rupa yg ganas tapi dalam masa yg sama masih nampak cute dan seksi.
  • Dengan rupa paras yg ganas, secara tak langsung orang akan gerun dan takut.
  • Ada juga sebab tak nak pening kepala fikir cara pengayaan rambut
  • Ada juga yg banyak masalah kepala dan rambut. Macam rambut gugur, berminyak, kelimumur atau memang jenis yg pemalas nak jaga penampilan diri.
 Bila kita lihat, sebenarnya tak ramai lelaki botak di dunia ni. Kenapa? Ini kerana tak semua orang akan nampak menarik apabila botak. Sesetengah orang mungkin sesuai botak, tapi tidak bagi sesetengah lelaki.

Kesimpulannya, ganas ke seksi ker  hensem ker terpulang kepada pandangan individu..... Lain padang, lain belalang... Lain orang, lain pandangannya.....

Tak perlu la bersusah hati dengan pandangan orang ramai kerana apa yang membezakan kita pada pandangan Allah bukan la sebab botak atau berambut panjang tetapi amal dan ibadah terhadapNya....

Credit to: Berita Harian (Siti Nur Almizan) & Sitimaisarah

Karnival Pendidikan MARA 2011

Thursday, January 27, 2011

Kenapa Hati Kita Masih Terhijab?

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t.

Terbaca artikel ini yang dikarang oleh Abu Basyer..... terus tertarik untuk berkongsi dengan sahabat2.... Semoga kita mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu ini...InsyaAllah...
Setiap manusia dilahirkan mempunyai hati.  Sama ada hati itu hidup atau mati bergantung kepada pemilih hati itu sendiri.  Jika ia berusaha mengenali Allah s.w.t dan mencari kebenaran maka hatinya akan jadi baik.  Sebaliknya jika ia menjauhkan diri daripada Allah s.w.t dan melanggar perintah dan larangan-Nya maka hatinya akan menjadi sakit.  Inilah kelebihan manusia daripada haiwan iaitu mempunyai hati yang dapat mengenal Allah dengan sebenarnya hingga ia menjadi hamba Allah yang benar-benar takutkan Allah.
Ini difirmankan Allah s.w.t. yang bermaksud : "Apabila disebut nama Allah, gementarlah hati-hati mereka". (Surah Al Anfaal ayat 2)
Hati yang terang-benderang begini dimiliki oleh para orang muttaqin, muhlisin, muqarrobin dan solehin.  Hati mereka nampak dan kenal betul sifat-sifat keagungan Allah. Sebab itu mereka dapat benar-benar menghambakan diri kepada Allah s.w.t.  Sebaliknya ada juga manusia yang hatinya gelap (buta) tidak nampak dan tidak kenal Allah.
Ini juga ada difirmankan oleh Allah s.w.t maksudnya :"Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu benar sama seperti orang yang buta (mengetahui)? Hanyalah orang-orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pelajaran." (Surah Ar Ra’d ayat 19)
Firman Allah s.w.t.lagi maksudnya: "Mereka itulah orang-orang yang hatinya, pendengarannya dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah dan mereka itulah orang orang yang lalai" (Surah An Nahl ayat 108)
Dari Umar bin Al Khattab, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Cap penutup hati tergantung di kaki Arasy maka bila larangan Allah dilanggar dan yang diharamkan-Nya dianggap halal, Allah mengirim cap penutup hati ini lalu hati para pelanggar dikenakan cap ini".
Bila hati sudah buta, sudah dikunci mati oleh Allah s.w.t., tidak dapat lagilah ia mengenal Allah.  Begitulah hati orang-orang kafir dan munafik yang menyebabkan mereka menolak kebenaran.  Walaupun kita sebagai umat Islam, ada juga dalam kalangan kita hatinya  masih buta.  Buktinya ialah kita masih tergamak membuat dosa (kecil atau besar).  Orang yang masih buat dosa ialah orang yang tidak takutkan Allah.  Orang yang tidak takutkan Allah ialah orang yang tidak kenal siapa Allah.  Tidak kenal Allah ialah lantaran kerana hati telah buta.
Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sesungguhnya seorang Mukmin apabila melakukan dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya, maka jika dia bertaubat dan berusaha membuangnya selamatlah hatinya, dan kalau bertambah dosanya bertambahlah terkunci hatinya."
Sabda baginda lagi yang maksudnya:"Orang yang membuat satu dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya."
Kalau mata kita buta, kita tidak dapat melihat, tidak mengenal malah tidak dapat berjalan lagi.  Begitulah kalau hati buta, kita tidak dapat mengenal Allah dan tidak dapat menempuh jalan syariat lagi.  Kita tidak takut, tidak redha, tidak tawakkal, tidak yakin, tidak berharap kepada Allah, tidak cinta, tidak yakin dengan janji-Nya iaitu Syurga, Neraka, Hari Hisab, seksa kubur, dan lain-lain lagi.  Dan bila amalan itu tidak ada di hati kita maka datanglah penyakit hati.
Firman Allah s.w.t.maksudnya:"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta." (Surah Al Baqarah: 10)
Mereka akan terseksa di dunia dan di akhirat.  Di dunia mereka kecewa, putus asa, keluh kesah, tidak tenang.  Di akhirat lagi pedih.  Antara penyakit hati yang Allah s.w.t. maksudkan itu ialah hasad dengki, dendam, buruk sangka, tamak, cinta dunia, bakhil, pemarah, penakut, riak, ujub dan sombong.
Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Bila baik daging itu baiklah seluruh anggota dan seluruh jasad.  Bila jahat dan busuk daging itu jahatlah seluruh jasad. Ketahuilah, itulah hati". (Hadis Riwayat Bukhuri dan Muslim)
Masalah besar penyakit manusia adalah penyakit hati.  Bila hatinya rosak, kotor, sakit dan berselaput maka akan rosaklah seluruh anggota manusia yang lain.
Terdapat beberapa sebab kenapa hati boleh terhijab. Perkara-perkara tersebut adalah seperti yang berikut :
Pertama : Memakan makanan yang haram atau syubahat
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Hati itu ditempa dengan apa yang dimakan".
Memakan makanan yang haram bukan sahaja hati menjadi terhijab tetapi do'a seseorang juga tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
Daripada Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang diperintahkan kepada sekalian rasul dengan firman-Nya (seperti yang tersebut dalam hadis yang bermaksud) : Wahai sekalian Rasul, makanlah makanan yang baik dan beramallah dengan amalan yang soleh. Firman-nya lagi : Wahai sekalian orang yang beriman! Makanlah makanan yang baik yang telah kami beri rezeki kepada kamu.  Kemudian baginda menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut masai rambutnya, dan berdebu mukanya menghulurkan kedua tangannya ke langit (berdoa) Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya haram, minumannya haram, dan pakaiannya haram dan (mulutnya) disuapkan dengan yang haram.  Maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya." (Hadis Riwayat Muslim)
Antara langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak dari makanan yang haram ialah:
1. Jangan makan benda yang zatnya jelas haram seperti arak atau makanan yang dicampur arak atau daging yang tidak disembelih.
2. Jangan makan makanan yang bernajis sama ada sifatnya najis (kerana dibuat dari bahan yang tidak halal) atau kerana cara menyucinya tidak betul yakni tidak menurut syariat, menjadikan ia tetap najis (tetap tidak halal).
3. Jangan makan daging sembelihan yang tidak halal dan pembersihannya tidak menurut syariat.
4. Jangan makan makanan yang dibeli dengan duit yang haram (sekalipun makanan itu halal).  Duit yang haram adalah seperti rasuah, duit riba, duit curi, duit judi, duit nombor ekor, dan duit yang diperoleh secara penipuan.
5. Jangan kita makan dari usaha yang haram seperti riba, pelacuran, judi, nombor ekor dan lain-lain.
Adapun makanan syubahat ialah makanan yang kita ragui halal atau haram dan duit syubahat ialah duit yang sumbernya kita ragui halal atau haram. Kedua-dua makanan dan duit yang syubahat itu wajib dielakkan supaya kita berpeluang memperolehi kejernihan ‘batin untuk mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya.
Hari ini banyak makanan di kedai-kedai makanan yang menulis perkataan “HALAL” dan “ISLAM” untuk tanda perniagaan mereka. Kita harus hati-hati juga sebab orang bukan Islam telah menyalahgunakan perkataan "HALAL” dan “ISLAM” itu untuk keuntungan perut dan poket mereka sahaja.  Mereka tidak langsung takut pada Allah s.w.t. kerana mereka bukan orang beriman dan tidak ingin untuk mencari keredhaan-Nya.
Kedua :Makanan halal tetapi berlebih-lebihan di dalam pemakanan.
Rasulullah s.a.w. maksudnya :"Wadah yang paling dibenci oleh Allah ialah perut yang penuh dengan makanan yang halal".
Allah s.w.t. benci kepada perut yang penuh dengan makanan sebab perut yang ketat itu akan melemahkan kegiatan hati yakni tidak kuat untuk memandang pada alam ghaib.  Bila hati lemah maka manusia jadi lalai dan malas (mahu tidur sahaja).  Malas beribadah dan mudah terjebak dalam maksiat.  Atas dasar inilah para solafussoleh hanya sedikit makannya.
Rasulullah s.a.w.  selalu berlapar perut.  Baginda pernah meletakkan batu di perut dan kemudian mengikat perut baginda dengan kain agar dengan itu tidak terasa kekosongan perut yang memang kosong.  Baginda jarang kenyang. Tiga hari berlapar, satu hari kenyang.  Dan selalunya satu hari baginda berpuasa, satu hari berbuka.
Nabi Sulaiman a.s yang kaya-raya itu juga begitu hidupnya.  Selalu berpuasa dan kalau makan hanya roti kering dan air sejuk.
Nabi Yusuf a.s ketika menjadi menteri Mesir pun sehari puasa sehari berbuka.  Bila ditanya mengapa baginda berbuat begitu, jawabnya, “Di hari aku lapar, aku dapat merasa aku adalah hamba yang memerlukan pertolongan Allah. Di hari aku kenyang aku dapat bersyukur pada Allah s.w.t. yang memberikan rezeki.”
Begitulah cara hidup Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, orang-orang muqarrobin dan orang-orang soleh.  Mereka berjuang dengan nafsu untuk membersihkan hati supaya merasa diri sebagai hamba Allah yang lemah dan hina dina.  Dan cara hidup mereka itulah yang wajib kita contohi.  Kita mesti sentiasa berperang dengan nafsu yang sentiasa mengajak kita lalai dari Allah.
Mari kita ubati hati kita dengan cara mengurangkan makan.
Hidangan makanan kita janganlah lebih dari dua jenis lauk.  Ini adalah amalan Sayidina Umar.  Beliau tidak makan lebih dari dua jenis lauk.  Sebab bila lauk sudah bermacam-macam jenis, nafsu kita tambah besar untuk merasa semua jenis lauk.
(contoh sayur dan ikan, atau sayur dan ayam dll jangan campur ayam, daging, telor , udang dan sotong dalam satu hidangan)
Makanan itu biarlah sederhana, jangan terlalu sedap.  Sebab kalau terlalu sedap kita tidak mampu mengawal nafsu dari makan lebih.
Ketiga : Pandangan dan Pendengaran yang Haram.
Telah sepakat orang-orang kita mengatakan: “Dari mata turun ke hati.”
Ertinya hasil dari pandangan (termasuk pendengaran) bukan setakat di mata dan telinga tetapi akan bersambung dan berkesan ke hati.  Kalau apa yang kita pandang dan dengar itu baik, maka hati kita akan menerima kebaikannya.  Sebaliknya kalau yang kita pandang dan dengar itu maksiat dan mungkar (haram), maka hati kita akan bersalut kejahatan dan kemungkaran itu.
Allah s.w.t menyuruh lelaki beriman supaya menundukkan pandangan matanya kepada wanita yang bukan mahram, begitu juga Allah s.w.t menyuruh wanita beriman  supaya menundukkan pandangan mereka kepada lelaki yang bukan mahram.  Hikmah arahan ini adalah supaya mereka akan merasa kemanisan iman dan terpelihara hati mereka daripada cenderung kepada kemungkaran.
Firman Allah s.w.t maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.  Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan". (Surah an-Nur ayat 30)
Firman Allah s.w.t maksudnya: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..." (Surah an-Nur ayat 31)
Hati yang sentiasa menerima pandangan dan pendengaran yang mungkar ialah hati yang gelap pekat, buta dari melihat keagungan Allah.  Hati itu tidak lagi takut pada Allah s.w.t., malah hilang cinta dan rindu pada Allah s.w.t
Kalau setiap hari hati kita terisi dengan zikrullah, bacaan al Quran, puasa, sembahyang sunat, membaca kitab dan mendengar pengajian agama, hati kita akan lembut, terasa indah dalam beribadah kepada Allah, rindu kepada kebaikan, benci dan takut kepada dosa.  
Tetapi kalau setiap hari kita isi dengan program hiburan di TV, melihat filem-filem dalam CD, berbual kosong, mengumpat dan mencaci, membaca majalah hiburan yang penuh maksiat dan mendengar lagu-lagu rock, nanti kita akan jadi malas beribadah, memandang kecil tentang cara hidup sunnah, tidak lagi rasa takut dengan Allah, tidak membesarkan Allah apalagi untuk rindu pada-Nya dan tidak suka lagi pada ahli-ahli agama dan lupa akhirat.
Hati kita jadi cinta kepada dunia dan segala hiburannya, mahu lepas bebas tanpa sekatan hukum Islam, malas berjuang dan berangan-angan ingin hidup lebih lama lagi.  Itulah bukti-bukti menunjukkan tindakan lahir, pendengaran dan penglihatan kepada yang haram, akan membuatkan hati kita buta kepada kebenaran.
Mari kita ubati hati kita dengan membataskan pandangan dan pendengaran hanya kepada apa yang boleh mengingatkan kita kepada Allah, takut pada-Nya dan untuk berbakti pada-Nya.
Antara langkah-langkah yang patut diambil ialah:
1. Banyakkan membaca Al Quran dan terjemahannya, hadis dan kitab-kitab serta buku-buku agama termasuk majalah dan risalah yang berunsur dakwah.  Dalam masa yang sama, elakkan daripada membaca buku-buku khayal, majalah hiburan dan akhbar-akhbar yang kosong dari kebenaran.
2. Selalu mengunjungi masjid, tempat pengajian agama, majlis dakwah, tahlil dan zikrullah dan elakkan dari tempat-tempat maksiat, majlis-majlis sosial liar (percampuran bebas) dan keluar rumah tanpa tujuan. Sebab di luar banyak pandangan dan pendengaran yang membawa kepada maksiat serta elakkan dari bergaul dengan kawan yang mengajak kita kepada maksiat.
3. Menziarahi orang-orang soleh, sebab dengan melihat mereka, dapat memberi kekuatan.
4. Ingat mati, kerana selalu mengingati mati akan melembutkan hati
Ingatlah, hati orang Mukmin ialah hati yang sihat dan ceria.
Hati orang yang fasiq (berdosa) ialah hati yang sakit dan resah.
Dosa itu akan mengundang resah dalam jiwa.  Hati yang terhijab tidak akan merasai kebesaran Allah s.w.t. dan tidak akan bersalah apabila melakukan dosa.  Oleh itu marilah kita sama-sama perbaiki hati-hati kita supaya sentiasa sihat, ceria dan sejahtera dan tidak terhijab. Kerana hati yang sejahtera dan salim akan dijemput oleh Allah s.w.t untuk memasuki Syurga-Nya.
Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.  Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku.  Masuklah ke dalam Syurga-Ku”(Surah Al-Fajr ayat 27-30)

Monday, January 24, 2011

Kenapa Istigfar...??

 ~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t.

Artikel ini dipetik dari iLuvislam.com.... semoga memberi manfaat kepada kita semua.... InsyaAllah... 
Kita sering dianjurkan beristighfar dalam menjalani kehidupan seharian kita. Ia dikatakan sunnah Rasulullah kerana Nabi Muhammad sendiri selalu beristighfar.

Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: "Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih." (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, dishohehkan oleh Imam Turmidzi)

Kita memandang istighfar sebagai suatu amalan yang perlu dilakukan selepas melakukan dosa, sepertinya selepas sedar dari mengumpat. Ada juga yang menjadikan istighfar sebagai ayat "melatah". Seperti dalam keadaan terkejut. Kasihan sungguh kita, selama ini kebanyakan istighfar yang dilafazkan di luar kesedaran kita!. Bila ditanya pada diri sendiri, mengapa kita perlu istighfar? Maka timbullah jawapan berdasarkan logik akal fikiran.

"Agar tenang", "Agar dosa diampunkan", "Agar hidup diredhai Allah" dan seterusnya...

Tapi adakah kita berpuas hati dengan jawapan berdasarkan logik akal fikiran kita saja? Dalam setiap persoalan, kita hendaklah mendasarkan penilaian kita berdasarkan al-quran dan as-sunnah. Mari kita bertanya kepada dua bahan rujukan kita iaitu sunnah Rasulullah s.a.w dan ayat Al-Quran.

Istighfar agar memperoleh pengampunan dari Allah s.w.t  dalam surah an-nisa, ayat 110
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Ini adalah asas kepada istighfar, dan setiap muslim sepatutnya memahami fungsi istighfar ini. Istighfar agar memperoleh perlindungan dari Allah s.w.t Dari surah Al-Anfar, ayat 33
"Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu (muhammad) berada diantara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminda ampun"
dan dari surah Gharfir/Al-Mukmin, ayat 7-10

"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arasy dan (malaikat) yang berada di sekelilingnya bertasbih dengan memuji Tuhanny dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan ampunan untuk orang-orang yang beriman (seraya berdoa):

"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu yang ada pada-Mu meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu dan periharalah mereka dari azab neraka.

"Ya Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga "Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka, dan orang yang soleh diantara nenek moyang mereka, isteri-isteri(dan suami), dan keturunan mereka. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

"Dan peliharalah mereka dari kejahatan. Dan orang yang Engkau pelihara dari kejahatan pada hari itu, maka sungguh, Engkau telah menganugerahkan rahmat kepadanya dan demikian itulah kemenangan yang agung."

Lihatlah, bagaimana mulianya manusia yang memohon ampun kepada Allah. Sehingga para malaikat mendoakan mereka sedemikian. dan doa para malaikat bukan hanya untuk individu yang memohon ampunan Allah, bahkan untuk nenek moyang (ahli keluarganya yang telah meniggal), pasangannya, dan zuriat mereka (anak, cucu, cicit dan seterusnya).

Istighfar agar mendapat kesenangan dan terlepas dari keadaan risau dan resah. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas radhiyallahu 'anhuma, bahwa Rasulullah telah bersabda: "Barangsiapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup, dan jadikan setiap kegundah-gulanaannya menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka."
(HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Mari dengarkan sebuah kisah dari sebuah kitab Tafsir Al-Maraghi hasil tulisan seorang ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi. kisah tentang seorang tabi'in (generasi ulama selepas sahabat rasulullah) yang bernama Hasan Al-Basri. Hasan sering didatangi mereka yang bertanya hukum agama dan meminta nasihat atas segala persoalan.

Suatu hari Hasan didatangi seorang lelaki yang mengadu tentang kelaparan yang dihadapinya. Hasan dengan penuh perhatian menjawab "Istighfarlah kepada Allah swt"

Datang lagi seorang lelaki meminta Hasan untuk mendoakannya agar dia mempunyai zuriat. Hasan menjawab "beristighfarlah kepada Allah swt"

Kemudian datang lagi seorang lelaki yang kebunnya mengalami kekeringan. Hasan terus menjawab "Beristighfarlah kepada Allah swt"

Kelakuan Hasan tadi amat menghairankan penduduk sekitarnya. sehingga seorang dari penduduk itu bertanya kepada Hasan "Beberapa orang lelaki mendatangimu mengeluhkan berbagai persoalan, tetapi engkau hanya menyuruh mereka semua untuk membaca istighfar!"

Maka Hasan menjawab "Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah SWT berfirman (seperti itu)".

Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah surah an-nuh ayat 10-12 yang bermaksud
"Maka aku (nabi Nuh) berkata (kepada kaumnya) "Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu, sungguh, Dia Maha Pengampun, Nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu, Dan Dia memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai-sungai untukmu"

Contohilah Hasan al-Basri kerana sikapnya dan pemikirannya yang sentiasa berdasarkan al-quran dan as-sunnah.  Istighfar sebagai usaha memakbulkan doa.
Firman Allah dalam surah Al-Hud, ayat ke-3
"Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan ) keutamannya. jika kamu berpaling, Maka Sesungguhnya aku(Muhammad) takut kamu akan ditimpa seksa hari kiamat"
Kali ini, kita bacakan kisah tentang seorang alim yang bernama Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu 'Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.

Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi.

Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut. Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut. Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.

Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, "Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi". Imam Ahmad bertanya "Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.
Jawab lelaki itu " Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal" Maka kata Imam Ahmad : " Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu." (Sumber: majalah Qiblati, indonesia. edisi ke 8)

Besarnya kuasa Allah! Kerana sayangnya Allah kepada si pembuat roti, dibawanya Imam Ahmad kepadanya. Dalam kisah ini kita juga patut mencontohi akhlak Imam Ahmad. Walaupun beliau mengetahui nama beliau amat terkenal dan dihormati, tetapi beliau tidak membanggakan namanya agar memperoleh pertolongan dari manusia. Beliau tidak mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan. Kerana jika beliau mengungkit kebaikan yang telah beliau lakukan dengan memberitahu namanya dengan mengharapkan balasan, maka khuatir Allah akan membalas dengan memadam segala amalan yang dibanggakan tadi.

"Jauhilah olehmu akan mengungkit-ungkit pemberian kerana yang demikian itu dapat menggagalkan kesyukuran dan menghilangkan pahala." (HR.Muslim)

Inilah antara kebaikan yang kita perolehi jika kita selau beristighfar kepada Allah. Sekarang kita boleh lebih menghayati lafaz astaghfirullah hal azim dan yang seteru dengannya. Bagaimana dan apakah lafaz zikir yang digunakan untuk beristighfar? ucapkanlah apa yang kamu inginkan selagi ianya membawa maksud mengharap pengampunan dari Allah swt, kerana istighfar itu sendiri membawa maksud memohon ampunan dari Allah.

Sesungguhnya Allah swt dan Rasulnya juga lebih mengetahui. Beramallah kita seperti seorang muslim sehingga kita berupaya melaungkan "Saksikanlah! aku seorang muslim!" tanpa ragu.
 
 

Wednesday, January 19, 2011

Earphone Boleh Rosakkan Pendengaran....

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t.

Daripada ’walkman’ pada tahun 80-an sehingga MP3 pada zaman sekarang, kebanyakan orang menggunakan MP3 ketika menunggu bas dan LRT, semasa berjalan, semasa membaca, bekerja, berlari dan malah semasa tidur.

Hampir semua orang terutama golongan remaja akan memiliki satu MP3 atau MP4, iPod, atau pemain CD. Tambahan pula, kebanyakan telefon bimbit sekarang dilengkapkan dengan fungsi MP3. Ini memudahkan kaum remaja untuk mendengar kepada MP3 pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Mereka akan menghabiskan masa selama beberapa jam dalam sehari untuk mendengar kepada lagu kegemaran mereka. Adakalanya lagu tersebut dimainkan dengan bunyi yang kuat.
Justeru, pemain muzik yang mudah alih boleh menjadi satu ancaman yang besar terhadap kesihatan pendengaran kita terutama di kalangan remaja jika mereka sering berbuat sedemikian..

Antara faktor-faktor yang menjejaskan kesihatan pendengaran ialah:
1. Kadar bunyi
2. Masa yang digunakan untuk mendengar,
3. Jenis fonkepala


Desibel yang tinggi akan mengakibatkan kehilangan pendengaran, tetapi ini juga bergantung kepada tempoh pendedahan. Jika pengguna mendengar MP3 pada kadar bunyi yang sederhana, jangka masa pendedahan kurang menjadi faktor yang mengakibatkan kecederaan kekal. Contohnya, jika kadar bunyi ditetapkan pada 50% daripada kadar maksimum, anda boleh mendengar untuk seberapa lama yang anda mahu tanpa menjejaskan pendengaran anda.

Walau bagaimanapun, pendengaran boleh terjejas jika desibel yang digunakan adalah lebih tinggi dan dalam tempoh yang lama, seperti berikut:


1.        - Mendengar selama 8 jam pada desibel 85 akan menyebabkan kehilangan pendengaran yang ketara.
2.        - Mendengar selama 4 jam pada desibel 88 akan memberi kesan yang sama.
3.        - Kecederaan pendengaran akan berlaku pada desibel 100-105 dalam masa 8 hingga 15 minits.

Pada masa pemain kaset dan pemain CD mudah alih digunakan, kebanyakan pengguna mendengar satu kaset atau satu CD sahaja. Tetapi, MP3 sekarang mempunyai bateri yang boleh tahan selama 12 jam dan mampu menyimpan beratus-ratus buah lagu. Oleh itu, setiap kali pengguna mendengar MP3, dia akan tertarik untuk mendengarnya sehingga beberapa jam. 

Di samping itu, teknologi yang canggih pada hari ini membolehkan pengguna untuk meningkatkan kadar bunyi tanpa gangguan. MP3 sekarang mempunyai fontelinga yang kecil. Dengan itu, bunyi muzik dapat disalurkan dengan lebih dekat kepada drum telinga sehingga boleh menjejaskan pendengaran dengan lebih cepat. Fontelinga jenis ini dapat meningkat kadar bunyi sebanyak 9 desibel.

Lindungi pendengaran anda


Jika anda kerap menggunakan MP3, panduan di bawah boleh melindungi anda daripada kehilangan pendengaran:

1.        Kurangkan kadar bunyi dan masa pendengaran. Jika anda menurunkan kadar bunyi, anda boleh mendengar dengan masa yang lebih panjang.

2.        Jika anda bekerja, tinggal atau bermain di keadaan yang bising, anda hendaklah merendahkan kadar bunyi MP3. Ini disebabkan pendedahan kepada kadar bunyi yang kuat akan melonggok.

3.        Menjalankan pemeriksaan telinga dengan pakar telinga secara berkala. Berjumpa dengan pakar telinga jika anda mendapati sebarang perubahan kepada pendengaran anda.

4.        Rehatkan telinga anda.

5.        Kebanyakan kecederaan disebabkan oleh pendedahan yang berulang kali. Oleh itu, amalkan satu hari yang anda tidak langsung menggunakan MP4 menggunakan fontelinga.

6.        Fonkepala yang dipakai di luar telinga adalah lebih baik daripada fontelinga yang dipakai ke dalam telinga. Tapi, cara yang paling baik ialah mengguna fontelinga yang lebih canggih yang mengasingkan bunyi bising di luar. Fon jenis ini membolehkan anda mendengar muzik dengan jelas pada kadar yang rendah.

Sumber daripada: YuKin Len, Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)

Tuesday, January 18, 2011

Wanita Solehah...... Dambaan Setiap Insan Bernama Lelaki

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t.

Bidadari merupakan salah satu anugerah Allah kepada seorang lelaki yang memasuki syurga. Bagi seorang wanita yang solehah maka bidadari bagi suaminya adalah dikalangan bidadari- bidadari kurniaan Allah dan dia (isteri solehah merupakan ketua akan segala bidadari-bidadari tersebut).
Berjihad pada agama Allah merupakan satu amalan yang menjadi kesukaan Allah s.w.t. dan ini merupakan sunnah besar Nabi s.a.w. dan kalangan sahabat-sahabat. Setiap manusia yang mati walaupun berapa umurnya maka akan ditanya dimanakah masa mudanya dihabiskan.
Kisah ...... :
'Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik dikalangan bidadari-bidadari yang lain (bermaksud mata yang diredhai). Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika Nabi memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah) katanya siapa-siapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari syurga. Mendengar berita itu seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut ... tetapi dia malu nak bertanyakan kepada Nabi kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain. Namun dia tetap beri nama sebagai salah sorang yang akan keluar/pergi. Sebelum Zohor sunnah Nabi akan tidur sebentar (dipanggil khailulah, maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah tadi tidur bersama-sama ....
Dalam tidur tersebut dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu ditanyanya di manakah dia ... lalu lelaki itu menjawab inilah syurga. Lalu dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan 'Ainul Mardhiah ... lalu ditunjuknya di suatu arah maka berjalan dia ... di suatu pepohon beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia lihat kecantikan begitu ... tak pernah dilihat di dunia ini ... lalu diberi salam dan dia bertanya andakah 'Ainul Mardhiah ... wanita itu menjawab ehh tidakk ... saya khadamnya, 'Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana sana.
Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai ... lalu diberi salam dan ditanya lagi adakah dia 'Ainul Mardiah lalu wanita itu menjawab ... eh tidakkk saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini ... 'Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana, ... lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu kecantikkannya sungguh menakjubkan ... lalu dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda catiknya dari yang kedua ... dan tak pernah dia lihat di dunia ... lalu wanita itu berkata ... akulah 'Ainul Mardhiah, aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku ... bila lelaki itu mendekatinya wanita itu menjawab ... nanti kamu belum syahid lagi ... tersentak itu pemuda itu pun terjaga dari tidurnya lalu dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia memesan agar jangan menceritakan cerita ini kepada Nabi s.a.w. ... tapi sekiranya dia syahid barulah ceritakan kepada Nabi.
Petang itu pemuda itu bersama-sama dengan jemaah yang terdapat Nabi di dalamnya telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah syahid. Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka (tunggu makanan adalah satu sunnah Nabi). Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati nabi s.a.w. dan menceritakan perihal sahabat nabi yang syahid tadi ... dalam menceritakan itu
Nabi menjawab benar ... benar ... benar ... dalam sepanjang cerita tersebut.
Akhirnya Nabi s.a.w. berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di syurga ... subhanallah ...
Sahabat dirahmati Allah,
Andainya syahid yang kau cari, maka lupakanlah dunia. 
Andainya syahid yang engkau raih, Ainul Mardhiah sedang menanti mu di sana.
Tidak yakinkah engkau dengan janji Allah melalui lidah Rasul-NYA, Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib SAW ?
Ayuhlah bangkit dan susun barisan untuk kita sama-sama melangkah ke jalan jihad yang menjanjikan syahid.....
dipetik dari email seorang sahabat.... Terima kasih.