Thursday, March 20, 2014

Sekitar Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2013 dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM & MUET 2013

Assalamualaikum.....

Semoga sahabat semua sihat dan sejahtera pada hari ini dan hari-hari seterusnya....InsyaAllah...

Syukur Alhamdulillah atas limpah kurniaNya dapat kita bersama lagi dihari yang indah ini.....

Sepanjang minggu ini di Majlis Peperiksaan Malaysia agak sibuk kerana semua staf bertungkus-lumus bagi menjayakan Majlis Pengumuman STPM 2013 dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan MUET 2013 yang berlangsung pada 19 Mac 2014 di Dewan MPM.


Alhamdulillah, dengan izinNya, majlis tersebut telah pun berjaya dilaksanakan. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis tersebut.

Sidang Akhbar Pengumuman Keputusan STPM 2013 oleh Dato' Dr Mohd Noh bin Dalimin, Pengerusi MPM (Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia)

STPM 2013 merupakan peperiksaan STPM baharu yang pertama kali dilaksanakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia setelah kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Januari 2012. Calon STPM 2013 ini merupakan calon kohort pertama bagi sistem pentaksiran baharu STPM (Modular).  Bagi STPM 2013, seramai 58,402 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan berbanding 54,645 pada tahun 2012.

Pada dasarnya, keputusan STPM 2013 tidak boleh dibandingkan secara khusus dengan keputusn STPM 2012 kerana formatnya berbeza. Namun, secara umumnya, prestasi calon STPM 2013 adalah lebih baik berbanding dengan prestasi calon STPM 2012. Pencapaian calon keseluruhan boleh dilihat daripada 2 aspek. Pertama, dari segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dan kedua, dari segi kelulusan peringkat prinsipal.

Keratan Akhbar Berita Harian 20 Mac 2014
Pada tahun ini, MPM julung-julung kalinya memberikan anugerah khas kepada sebuah sekolah kerana telah muncul sebagai sekolah cemerlang dengan prestasi terbaik di tempat pertma enam tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 mengatasi sekolah lain. Sekolah yang dimaksudkan ialah KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH, KLANG. Sebagai menghargai pencapaian cemerlang sekolah ini, MPM memberikan ganjaran wang RM1000, sijil penghargaan dan sebuah plak kepada sekolah ini.

Beh Keng Hau, Edmund Foo Sze Kai, Mohamad Fairus Azmi, Debbie Lim Huey Chih dan Nurul Syuhadah Yakath Ali
 
Sebagai menghargai pencapaian cemerlang kesemua calon dalam kesemua kategori pelajar cemerlang, MPM memberikan ganjaran wang RM1000, sijil penghargaan, dan sebuah plak kepada setiap pelajar.

Dalam peperiksaan STPM 2013, terdapat seorang calon yang mencapai gred A dalam ke semua kertas dalam 5 mata pelajaran yang diambil. Calon ini diberikan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2013. Calon yang dimaksudkan ialah Beh Keng Hau dari SMK Horley Methodist, Teluk Intan.

MPM juga memberikan ganjaran khas kepada 3 calon istimewa yang cemerlang dalam STPM 2013 sebagai menghargai usaha mereka untuk mencapai keputusan yang cemerlang walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Tiga calon istimewa tersebut adalah:

1)  Mohamad Fairus bin Azmi (SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar) -  Kategori Buta
2)  Debbie Lim Huey Chih (SMK Sultan Ismail, Johor Bahru) -  Kategori Rabun
3)  Yow Chun Hong (SMK Victoria, Kuala Lumpur) -  Kategori Spastik

Mohamad Fairuz Azmi sedang membaca keputusan STPM dari sijil cetakan braille
Selain daripada itu, seorang pelajar terbaik dari luar bandar yang mendapat keputusan 4A telah dikenal pasti dan diberikan ganjaran yang sama. Pelajar tersebut adalah Nurul Syuhadah binti Yakath Ali dari SMK Kuala Ketil, Kedah.

Dalam majlis yang sama, MPM juga telah mengurniakan anugerah pelajar terbaik MUET bagi sesi Julai 2013 dan November 2013. Bagi MUET sesi Julai, Serena Marissa Karnail (calon Persendirian) telah mendapat Band 6 dan bagi MUET sesi November 2013 pula Edmund Foo Sze kai dari SMK Dato' Amar Diraja, Muar mendapat Band 6 dan dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang MUET tahun 2013. Mereka juga telah menerima wang RM1000, sijil penghargaan dan sebuah plak.


Tahniah kepada semua yang berjaya. Semoga kejayaan anda semua menjadi pembakar semangat kepada calon-calon lain yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Antara Barisan AJK yang terlibat.... ramai lagi sebenar nya tapi tak jumpa cari....hehehe

Saya mewakili AJK Protokol, AJK Jamuan dan AJK Hiasan Dewan mengucapkan TAHNIAH kepada semua pelajar dan sekolah cemerlang STPM dan MUET 2013....

Ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini. Kami memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan sepanjang majlis ini berlangsung.

Semoga bertemu lagi...InsyaAllah...

Tuesday, March 11, 2014

MH370...IF YOU LISTEN TO THIS, PLEASE RESPOND...WE LOVE YOU




Assalamualaikum....
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang menciptakan kita dan kembali menghidupkan kita pada hari ini...

Terlalu sedih untuk diucapkan apabila mendapat berita tentang kehilangan MH370.... Rasanya seluruh negara kini bersedih atas kehilangan MH370... Saya tidak mengenali seorang pun daripada penumpang dan anak kapal MH370 tersebut merasa sedih atas kehilangan ini... apatah lagi ahli keluarga dan sahabat-sahabat mereka..... tentunya tiada kata mampu diucapkan tika dan saat ini..... hanya airmata menggantikannya....

Misi mencari dan menyelamat telah pun bermula lebih 72 jam yang lalu.... namun usaha itu masih tidak menampakkan  tanda-tanda penemuannya...

Ya Allah... dimanakah MH370 ini berada....? tunjukkan lah kami alamatnya Ya Allah.... kasihani lah keluarga dan sahabat-sahabat yang terlalu menyayangi mereka ini Ya Allah... Hanya padaMu kami memohon perlindungan dan pertolongan Ya Allah....

Ya Allah... andai mereka berada di langit sana, kau turunkan lah... Andai mereka di lautan, timbulkan lah... andai mereka didaratan, kau jelmakan lah mereka agar kami dapat menemui mereka Ya Allah...


Doakan MH370
 
 
 
"MH370, we hope the radar can see you. If you copy,
keep flying at your current height until you reach your destination.


"We'll clear the way for you. Everybody is more than happy
to let you be the first to land.
"The sky is clear, with temperature in Beijing at five
degrees Celsius, a little bit cold. Please wear your coats to keep warm.
"Remember to hug your family and friends after you
disembark. They love you, they really do."

 --------
"MH370, kami berharap radar akan dapat melihat kamu.
Jika kamu dengar, teruskan terbang pada ketinggian kamu sekarang sehingga kamu
sampai ke destinasi.


Kami akan lapangkan jalan untuk kamu. Semua orang akan
berbesar hati memberi kamu peluang untuk mendarat terlebih dahulu.

Langit cerah, dengan suhu di Beijing sebanyak lima darjah
celsius, agak sejuk. Tolong pakai kot kamu untuk memanaskan badan.


Ingat untuk peluk ahli keluarga dan sahabat setelah kamu
turun. Mereka sayangkan kamu, benar-benar sayang kamu."



Terima kasih semua.... Semoga kerjasama ini akan berterusan di masa akan datang...
 Semoga Allah membantu kita dalam mencari MH370 yang hilang tanpa jejak ini.......  Moga mereka semua akan dipertemukan dengan kita nanti.... InsyaAllah.

Thursday, March 6, 2014

Video " Lesung Batu " Cooking Program...



Assalamualaikum.....

Alhamdulillah syukur di atas rahmat dan kasih sayang Allah dapat kita bersama lagi hari ni....

Hari ni dengan rasa sukahati nya dok bubuh video kat atas ni... nak share resepi dan loghat Kedah yang pekat melekat tu...alahaiiiii syok nya dapat dengaq loghat Kedah... rasa macam dok atas pangkin bawah pokok moktan di tepi ghumah dengan mak dan ayah.... lagu tu la rasanya..... hamboiiiih redup kerinduan dengan angin sepoi bahasa la gaya nya tu....hahaha

Video yang best ni.... dikongsi oleh salah seorang sedara sepupu sepapat la kot kiranya... tak tau la kena lagu mana... tapi ada la kena mengena... kalu dok cerita kena mengena satgi panjang... tak sudah 3 hari 3 malam dok baca cerita tu saja....

Video ni kakak comei dari negeri Che Det ni share resepi gulai kepala ikan, makan dengan peknga... huihhhhhh.... kalu dapat bukan ka..... perghhhh tak tau nak habaq la.... syok nya lahhhh

Tapi kat KL ni mana nak p cari semua tu kalu tak buat sendiri... tu dia la... nak sangat kreja kat tempat orang... kalu dok ngan mak bukan ka..... mak boleh tolong buat...hahahaha bole makan sambil kelitin celah ketiak mak lagi.... haaaaaaaaaa tu diaaa.... punya la loghat budak sorang ni noooo...

Di ruang nan sempit ini....ewahhhh.... nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Executive Producer: YM Tunku Mona Riza Haris sulong, Director: Encik Iqmal Mustaffa dan semua yang terlibat dalam pembikinan video yang best dan menarik ni.... terutama sekali kepada host rancangan ni, Puan Azah Johari yang comei dan sempoi.... dan semua-semua la yang terlibat... nak sebut pun ramai sangat.... Terima kasih la buat video loghat utara ni...video pun menarik, syok ja tengok...relaks dan santai ja... baru la rasa bersemangat nak masak.... hahahhaha

Rasa bangga sat... kembang kempis idung jadinya.... syok jadi rakyat negeri Kedah..... hahahhahaha... Tahniah Tahniah Tahniah.... lenkali buat video yang best-best lagi naaaa....

Semoga apa yang dikongsi mampu memberi manfaat kepada semua.... in shaa Allah...

Tuesday, March 4, 2014

Hari Kraf 2014

Assalamualaikum....

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah kerana mempertemukan kita lagi.... dan dengan izinNya juga kita berpeluang menikmati dan menghayati keindahan alam ciptaanNya ini dengan sebaik mungkin.

Hari ni nak cerita sikit tentang lawatan ke  Hari Kraf Kebangsaan 2014 yang bermula dari 26 Februari 2014 hingga 10 Mac 2014 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.... Kat mana? Kat Jalan Conlay... bersebelahan dengan Hotel Royale Chulan.... berdekatan dengan Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Membeli Belah Pavilion...map bleh cuba cari kat Kompleks Kraf...

Tema yang telah dipilih untuk tahun ini ialah "Sumber Alam Nikmat Keharmonian"...

Yang menariknya... penganjuran Hari Kraf Kebangsaan merupakan landasan utama kepada usahawan kraf di seluruh negara memasarkan dan mempromosikan produk kraf secara terus kepada pembeli serta pengguna. Sepanjang penganjuran Hari Kraf ni, pelbagai program dan aktiviti seperti demonstrasi kraf, demonstrasi masakan tradisional, persembahan kesenian, peragaan fesyen, pertandingan produk kraf terbaik, pertandingan Bintang HKK dan pelbagai acara turut diadakan di sini selain pameran produk kraf warisan dan jualan kraf.

Kepada peminat seni dan kraf, elok lah berkunjung ke Hari Kraf ni.... best sangat....

Jom kita berbicara melalui gambar yang ada ni.... nak tengok pelbagai benda dan acara yang menarik yang lain.... kena lah melawat ke Kompleks Kraf Jalan Conlay....

kad jemputan... cam hebat beno...
org lain punya kad lagi cun lahhhh...
 
map untuk ke Kompleks Kraf Jalan Conlay
 
Aturcara Majlis Perasmian
 
Buku Program...

Persembahan Pembukaan

Persembahan yang berwarna warni.... best...
 
Ucapan Perasmian oleh Datin Seri Paduka Rosmah Mansor (isteri Perdana Menteri)

Gimik perasmian
 
Penyampaian Anugerah Tukang Ulung 2014...
Hebat2 pakcik2 dan makcik2 ni.... ketekunan, ketelitian dan kesabaran yang mengkagumkan
 
Persembahan penutup oleh anak2 PERMATA dan penari Kebudayaan
 
cantik dan menarik...da booommm
 
pameran  dan jualan kraf BATIK

Batik lagi.... adoyaiiii

lagi Batik...cantik-cantik semuanya

Batik lagi...menarik dan tertarik...awwww

sweet and nice

demo kraf... Do It Yourself (DIY) gelang manik

Ini lah hasilnya... Gelang manik DIY

hasil kayu, rotan... barangan perhiasan

Hiasan rumah dari manik... wahhhhh cantikkkkkk
 
Setakat itu sahaja gambaran yang mampu diberikan kerana kamera tidak mahu bekerjasama dengan baik kepada tuan empunya.... kerana mengalami kehabisan bateri...hehehe

Kalau nak diikutkan banyak lagi benda nak diambil gambarnya... tak dapat nak beli semua benda kannnnn... jadi dapat tengok gambar pun jadi lahhh.... tapi apakan daya.... huhuhu

Tak sempat nak ambil gambar kat bahagian makanan tradisional yang menyajikan makanan dan kuih muih tradisional dari negeri-negeri di seluruh Malaysia.... menarikkkkk... ada apam lenggang, ada dangai, ada lemper, ada bunga pudak, ada emping, dan macam-macam lagiiiii.....ada kuih yang selama ini tak pernah tengok dan tahu kewujudannya pun ada di sini... satu ilmu baru tu.... selain boleh tengok cara pembuatannya, dapat juga merasa keenakan hidangannya dan juga membeli untuk dibawa pulang..... best kan....

Mungkin di lain masa dan ketikanya kita boleh jalan-jalan menikmati kraftangan Malaysia bersama-sama.... mesti lagi best dan meriah Kompleks Kraf ni jadinya....hehehe

Semoga Allah mengizinkan kita bertemu lagi nanti...In Shaa Allah...