Tuesday, September 28, 2010

Bersahabat Kerana Allah.....

Satu email yang menarik untuk dikongsi bersama semua sahabat.... semoga persahabatan kita kekal hingga ke akhir hayat.... Semoga sahabat-sahabatku ini berbahagia di dunia dan akhirat....

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap manusia yang waras perlu kepada sahabat yang akan bersama-samanya semasa susah dan senang. Keperluan kepada sahabat adalah fitrah manusia. Rasulullah s.a.w sendiri mempunyai sahabat-sahabat yang setia, yang sentiasa bersama-sama baginda di dalam menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah, bermula di Mekkah dan seterusnya di Madinah hingga tertegaknya Daulah Islamiyah di Madinah.

Kita juga perlu kepada sahabat, melalui sahabatlah kita akan mendapat menyelesaikan berbagai-bagai masaalah yang kita hadapi. Sahabat adalah penasihat utama kita, bila penasihat itu baik, maka jadi baiklah kita, begitu juga apabila penasihat itu tidak baik maka akan berlaku sebaliknya.

Dari Abu Hurairah r.a sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :"Seseorang itu atas agama (perjalanan) sahabatnya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa harus di pilih menjadi sahabat."
(Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan al-Hakim)

Berdasarkan hadis di atas Rasulullah menyatakan bahawa apabila kita ingin mencari sahabat maka hendaklah cari sahabat yang mempunyai asas agama, iaitu sahabat yang mempunyai asas budi pekerti dan akhlak yang baik, tidak fasik, tidak terlalu mementingkan hal-hal keduniaan sahaja. Jika dia seorang ahli agama maka kita juga akan menjadi ahli agama. Jika sebaliknya kita memilih sahabat yang suka kepada maksiat kita juga akan terdorong untuk melakukan maksiat.

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w juga mengajarkan kepada kita agar bersahabat dengan orang yang dapat memberikan kebaikan dan sering menasihati kita.

“Seseorang yang duduk (berteman) dengan orang soleh dan orang yang jahat adalah bagaikan berteman dengan pemilik minyak wangi dan tukang besi. Jika engkau tidak dihadiahkan minyak wangi olehnya, engkau boleh membeli darinya atau sekurang-kurangnya dapat baunya. Adapun berteman dengan tukang besi, jika engkau tidak mendapati badan atau pakaianmu hangus terbakar, paling kurang engkau dapat baunya yang tidak elok.”
(Hadis Riwayat Imam al- Bukhari dari Abu Musa.)

Ibnu Hajar Al Asqolani mengatakan, “Hadis ini menunjukkan larangan berteman dengan orang-orang yang dapat merusak agama maupun dunia kita. Dan hadis ini juga menunjukkan dorongan agar bergaul dengan orang-orang yang dapat memberikan manfaat dalam agama dan dunia."
(Fathul Bari, Ibnu Hajar Al Asqolani)

Itulah pentingnya bergaul dengan orang-orang yang baik akhlaknya. Oleh kerana itu, sangat penting sekali mencari persekitaran yang baik dan mencari sahabat atau teman dekat yang semangat dalam menjalankan agama sehingga kita pun boleh mendapat aroma kebaikannya. Jika persekitaran atau teman kita adalah baik, maka ketika kita lemah, ada yang selalu menasihati dan mengingati kita kepada kebaikan.

Sahabat yang dimuliakan,

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran,"(Surah Al-Kahfi ayat 28)

Berdasarkan ayat di atas terdapat tiga pengajaran yang boleh kita ambil :

1.Bersahabatlah dengan orang-orang yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengharap keredhan-Nya.

2.Jangan menjauhi diri dari orang-orang ahli ibadat, semata-mata kerana mengejar kesenangan dunia.

3.Jangan bersahabat dengan orang-orang fasik serta mematuhi dan mengikut perbuatannya.

Ulama' Salaf ada memberi pesanan :"Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat. Maka semuga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam Syurga. Dikatakan juga, apabila Allah s.w.t. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

Banyak hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan ciri-ciri sahabat yang baik. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :"Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, nescaya Allah akan menutup rahsianya di dunia dan akhirat."(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

"Janganlah kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara satu sama lain, dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara."
Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Do'a seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah s.w.t."
(Hadis Riwayat Muslim)

Termasuk sahabat yang berjauhan adalah sahabat-sahabat di dalam ruang maya seperti di facebook. Walaupun kita berjauhan dan perkenalan melalui alam maya tetapi jika persahabatan kita kerana Allah, saling nasihat menasihati, lengkap melengkapi dan berkongsi ilmu yang bermanfaat insya Allah kita semua akan termasuk di dalam hadis ini. Teruskanlah persahabatan ini dan jika kita ada permasaalahan berbincanglah bersama-sama dan carilah jawapannya mengikut ajaran Islam nescaya kita akan mendapat keredhaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat. Do'a-do'a kalian kepada sahabat-sahabat kalian yang lain mustajab disisi Allah s.w.t.

Terdapat banyak ciri-ciri lain yang di gariskan oleh ulama'-ulama' muktabar yang boleh kita jadikan pedoman untuk kita memilih dan mencari sahabat-sahabat yang baik:

1.Boleh diharapkan untuk menjaga harta kita

2.Bila kita sakit dia ziarah

3.Bila kita sibuk dia beri bantuan

4.Bila kita lupa dia ingatkan kita

5.Bila kita bercakap dia beri perhatian

6.Dia menjaga lidahnya dari berkata yang menyakitkan hati

7.Dia mendo'akan kita bila berdo'a

8.Dia menepati janjinya bila berjanji

9.Bila tersilap dia sentiasa beri maaf

10.Bila kita susah dia membantu

Kita bersahabat dengan sahabat yang baik adalah semata-mata kerana Allah s.w.t kerana sahabat kita bukan setakat di dunia sahaja tetapi dia akan menjadi sahabat kita di hari akhirat. Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. ada menceritakan kisah ahli-ahli Syurga bertemu dan berbincang sesama mereka, mereka adalah sahabat-sahabat yang baik dan sentiasa taat pada Allah semasa di dunia.

Sahabat kesayanganku,

Al-Qamah berpesan kepada puteranya :"Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu bersahabat, maka pilihlah sifatnya yang berikut:

1.Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2.Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu.

3.Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

4.Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5.Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.

6.Jika ia melihat yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.

7.Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8.Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9.Jika datang suatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10.Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11.Jika engkau merancang sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12.Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan."

Dari itu wahai sahabat-sahabatku, pilihlah sahabat-sahabatmu yang memiliki akhlak yang mulia dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah seperti yang dinyatakan ciri-cirinya seperti diatas. Semoga kalian berbahagia di dunia dan akhirat.

Special Thanks to Puan Mastura binti Abdul Aziz for sharing your email....

Thursday, September 23, 2010

Konsep Zuhud Dalam Pandangan Islam

Article yang ingin dikongsi bersama ini diperolehi daripada email seorang rakan yang di tulis oleh Abu Basyer pada Tuesday, September 21, 2010 at 9:38am....

Sahabat yang dimuliakan,

Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah s.w.t. menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.

Al-Imam Hasan Al-Bashri menyatakan bahwa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.

Di sini zuhud ditafsirkan dengan tiga perkara yang semuanya berkaitan dengan perbuatan hati:

1. Bagi seorang hamba yang zuhud, apa yang ada di sisi Allah lebih dia percayai daripada apa yang ada di tangannya sendiri. Hal ini timbul dari keyakinannya yang kuat dan lurus terhadap kekuasaan Allah. Abu Hazim az-Zahid pernah ditanya, “Berupa apakah hartamu?” Beliau menjawab, “Dua macam. Aku tidak pernah takut miskin karena percaya kepada Allah, dan tidak pernah mengharapkan apa yang ada di tangan manusia.” Kemudian beliau ditanya lagi, “Engkau tidak takut miskin?” Beliau menjawab, “(Mengapa) aku harus takut miskin, sedangkan Rabb-ku adalah pemilik langit, bumi serta apa yang berada di antara keduanya.”

2. Seorang Mukmin yang zuhud, apabila terkena musibah, baik itu kehilangan harta, kematian anak atau yang lainnya, dia lebih mengharapkan pahala kerananya daripada mengharapkan kembalinya harta atau anaknya tersebut. Hal ini juga timbul kerana keyakinannya yang sempurna kepada Allah.

3. Baginya orang yang memuji atau yang mencelanya ketika ia berada di atas kebenaran adalah sama saja. Seorang yang zuhud menganggap dunia itu kecil sahaja, maka dia akan lebih memilih celaan daripada pujian. Hal itu akan mendorongnya untuk melaksanakan kebenaran dan tidak khawatir dicela atau dijauhi (oleh manusia), atau boleh jadi dia melakukan kebaikan semata-mata kerana Allah. Jadi, apabila seorang hamba telah menganggap sama kedudukan antara orang yang memuji atau yang mencelanya, bererti menunjukkan bahwa kedudukan makhluk di hatinya adalah rendah, dan hatinya dipenuhi dengan rasa cinta kepada kebenaran.

Hakikat zuhud itu berada di dalam hati, yaitu dengan keluarnya rasa cinta dan ketamakan terhadap dunia dari hati seorang hamba. Ia jadikan dunia (hanya) di tangannya, sementara hatinya dipenuhi rasa cinta kepada Allah dan akhirat.

Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas ( Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sayyidina Ali k.w. pernah berkata , "Aku telah talak dunia dengan talak tiga" ini bermaksud dunia ini tidak masuk di dalam hatinya, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata kerana Allah dan tidak ada langsung kepentingan dunia masuk di dalam hatinya.

Sebagai seorang Khalifah Islam kezuhudan beliau tidak menghalang beliau untuk mentakbir negara dengan adil dan saksama dan menjaga kemaslahatan rakyat. Diberitakan setiap pagi beliau akan menghantar makanan dipintu rumah ibu-ibu tunggal yang miskin dan kematiaan suami. Setelah kewafatan beliau tidak ada lagi makanan yang dihantarkan, barulah mereka tahu bahawa yang menghantar makanan adalah beliau sendiri.

Dalam pribadi Sayyidina Ali k.w , antara zuhud dan tanggungjawab sosial bertemu. Beliau adalah seorang yang zuhud sekaligus orang yang paling peka terhadap tanggungjawab sosial. Beliau termasuk orang yang paling sukar tidur ketika menyaksikan ketidak adilan atau mendengar rintihan orang-orang kecil. Beliau tidak pernah mengenyangkan perutnya selama ada orang-orang yang lapar di sekitarnya. Beliau pernah berkata: "Demi Allah, aku bersumpah, andaikan aku dipaksa tidur di atas duri-duri padang pasir, atau aku dibelenggu kemudian dipendam hidup-hidup dalam tanah, sungguh ini semua lebih baik daripada aku berjumpa Allah dan Rasul-Nya di hari kiamat sementara aku pernah berbuat zalim kepada hamba-hamba Allah."

Terdapat empat perkara kenapa kita perlu kepada zuhud :

1. Keimanan yang kuat dan selalu ingat bagaimana ia berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat guna mempertanggung-jawabkan segala amalnya, yang besar maupun yang kecil, yang nampak ataupun yang tersembunyi. Ingat! betapa dahsyatnya peristiwa datangnya hari kiamat kelak. Hal itu akan membuat kecintaannya terhadap dunia dan kelezatannya menjadi hilang dalam hatinya, kemudian meninggalkannya dan merasa cukup dengan hidup sederhana.

2. Merasakan bahwa dunia itu membuat hati terganggu dalam berhubungan dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, dimana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (QS. At-Takaatsur: 6)

Perasaan seperti ini akan mendorong seorang hamba untuk hidup zuhud.

3. Dunia hanya akan didapatkan dengan susah payah dan kerja keras, mengorbankan tenaga dan fikiran yang sangat banyak, dan kadang-kadang terpaksa harus bergaul dengan orang-orang yang berperangai jahat dan buruk. Berbeza halnya jika menyibukkan diri dengan berbagai macam ibadah; jiwa menjadi tentram dan hati merasa sejuk, menerima takdir Allah dengan tulus dan sabar, ditambah akan menerima balasan di akhirat. Dua hal di atas jelas berbeza dan (setiap orang) tentu akan memilih yang lebih baik dan kekal.

4. Merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu (manusia). Dunia hanyalah tipu daya, permainaan dan kesia-siaan belaka. Allah mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud, “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).” (Surah An-Naaziat: 37-39)

Dalam ayat yang lainnya Allah berfirman maksudnya :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

Semua dalil-dalil, baik dari Al-Qur’an maupun as-Sunnah, mendorong seorang yang beriman untuk tidak terlalu bergantung kepada dunia dan lebih mengharapkan akhirat yang lebih baik dan lebih kekal.

Sahabat yang dihormati,

Zuhud yang disyariatkan dan bermanfaat bagi orang yang menjalaninya adalah zuhud yang dicintai oleh Allah dan rasul-Nya, yaitu meninggalkan segala sesuatu yang tidak bermanfaat demi untuk mencapai kehidupan akhirat. Adapun sesuatu yang memberi manfaat bagi kehidupan akhirat dan membantu untuk mendapatkannya adalah termasuk salah satu jenis ibadah dan ketaatan.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :“Carilah apa yang bermanfaat bagi dirimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Yang bermanfaat bagi seorang hamba adalah beribadah kepada Allah, menjalankan ketaatan kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya. Dan semua yang menghalangi hal ini adalah perkara yang mendatangkan kemudharatan dan tidak bermanfaat. Yang paling berguna bagi seorang hamba adalah mengikhlaskan seluruh amalnya kerana Allah.

Orang yang tidak memperhatikan segala yang dicintai dan dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya akan banyak menyia-nyiakan kewajiban dan jatuh ke dalam perkara yang diharamkan; meninggalkan sesuatu yang merupakan keperluannya seperti makan dan minum; memakan sesuatu yang dapat merusak akalnya sehingga tidak mampu menjalankan kewajiban; meninggalkan amar ma’ruf nahi munkar; meningalkan jihad di jalan Allah kerana dianggap mengganggu dan merugikan orang lain. Pada akhirnya, orang-orang kafir dan orang-orang jahat mampu menguasai negeri mereka kerana meninggalkan jihad dan amar ma’ruf tanpa ada maslahat yang nyata.

Sahabat,

Ada yang tertanya-tanya samada Islam menentang kekayaan dan perolehan harta? Sebenarnya Islam tidak menentang kekayaan dan perolehan harta. Umat Islam perlu harta untuk membantu pentadbiran negara Islam yang berdaulat dan kuat ianya memerlukan kepada dana yang besar untuk pembangunan negara dan kemaslahatan rakyat jelata.

Zuhud adalah satu sifat yang amat baik dan terpuji di dalam Islam, bagaimanapun perlu difahami bahawa mendapati terdapat salah faham masyarakat Islam dalam memahami ertinya, sehingga ia ditakrifkan sebagai menjauhkan diri dari dunia dan membiarkan diri miskin. Ada juga yang mengganggap zuhud sebagai tidak menggunakan harta yang diperolehi untuk diri, dan keluarganya.

Ada dikalangan kita mengatakan bahawa zuhud jika berumah, berpakaian dan berkereta usang walaupun mempunyai harta. Membiarkan umat Islam tidak membina sebarang kilang, bangunan dan perniagaan kerana ia dikira sebagai zuhud iaitu lari dari dunia sejauh-jauhnya. Dengan demikian dunia akan datang kepada kita. Adakah ini benar-benar yang diarahkan oleh Islam ?.

Sebenarnya Islam mengalakkan kita memiliki harta dan kekayaan. Kekuatan darisegi ekonomi akan membuatkan umat Islam dapat mengatasi kekuatan orang kafir. Islam akan dipandang mulia kerana negara dan umatnya memiliki ilmu, harta, kekayaan dan kekuatan darisegi ekonomi.

Allah s.w.t. indah dan Dia suka yang indah-indah. Bila kita menggunakan nikmat Allah s.w.t dan bersyukur di atas pemberian-Nya maka ianya disukai oleh Allah s.w.t. Memiliki kereta baru, rumah banglow dan ladang pertaniaan yang luas , saham perniagaan dan kilang-kilang perusahaan tidak dilarang selagi hati dan jiwa kita tidak cintakan dunia. Kita menganggap semua harta ini adalah pinjaman sementara di dunia ini dan ianya adalah amanah daripada Allah s.w.t. Walaupun pada zahirnya ia sebuk uruskan perniagaan di dunia tetapi hatinya sentiasa sebuk dengan akhirat dan ia akan salurkan semua keuntungan dan rezeki yang Allah kurniakan untuk jalan Allah dan mencari keredhaan-Nya.

Zuhud itu adalah mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredhaan Allah s.w.t.. Pandangan Allah akan sentiasa menjadi ‘priority' dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedeqah dikeluarkan. Itulah zuhud namanya dan bukannya menjadikan diri miskin dan menjauhi dunia.

Oleh itu marilah sama-sama kita meningkatkan martabat diri kita menuju kepada zuhud kepada Allah s.w.t. iaitu tidak ada sedikit pun kecintaan hati kita kepada harta dunia yang sementara ini. Dan hati kita sentiasa disebukkan dengan keyakinan pada hari akhirat dan nikmat Syurga yang kekal abadi. Walaupun kita memiliki hati yang cinta pada hari akhirat tetapi ianya tidak menjejaskan kehidupan kita seharian. Bila kita bekerja kita bekerja bersungguh-sungguh tidak buang masa dengan sia-sia dan bila kita berniaga kita berniaga bersungguh-sungguh tidak ada penipuan dan pecah amanah. Semoga dengan keuntungan yang diperolehi akan dibayar zakat, bersedekah dan infak dijalan Allah s.w.t. Meningkatkan taraf ekonomi umat Islam adalah satu jihad yang besar.

Thanks to En. Adnan bin Husin kerana sudi berkongsi artikel ini melalui email....

Monday, September 20, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri....

Gelagat Anak2


My Heroes

Purple Powerrrr
Jamuan Raya : Student Badlishah (Kawan2 Kakak)
Jamuan Raya sedara2
Saudara2ku...
Meet my Family... Haiiiii

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.....
Maafkan saya andai ada salah silap dan terkasar bahasa.....terkasar perbuatan.... gurauan yang menyinggung perasaan.... tertampar... tertumbuk... tersekeh.... terkata... terkutuk.... terketuk.... dan segala ter...ter yang sengaja dan tidak sengaja.....Moga kita semua dipertemukan dengan RAmadhan dan Syawal di tahun hadapan..... amin.

Wednesday, September 1, 2010

Do'a Mustajab daripada Malaikat Kepada Orang Mukmin

Assalamualaikum.....
Alhamdulillah syukur.... hari ni nak kongsi satu lagi ilmu yang diperoleh dari seorang rakan melalui email.... Semoga kita semua mendapat manfaat dari ilmu ini....

Sahabat yang dimuliakan,

Para malaikat adalah hamba Allah s.w.t yang diciptakan daripada cahaya. Malaikat diberi akal oleh Allah s.w.t. dan tidak mempunyai nafsu. Malaikat menjadi utusan dan tentera Allah s.w.t. dan bersedia menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah s.w.t.

Pada hari qiamat nanti, para malaikat akan memberikan syafa'at, sebagaimana dijelaskan di dalam Sahih Muslim dan yg lainnya. Para malaikat juga akan memberikan syafa'at di dunia, yg mana mereka akan memohonkan ampunan untuk semua orang Mukmin.

Di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah, telah dijelaskan tentang dua golongan iaitu: pertama; golongan orang yg berbahagia, yakni mereka yg dido'akan oleh para malaikat, dan kedua; golongan orang yg sengsara, yakni mereka yg dilaknat oleh para malaikat.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya : "Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya. Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa'at melainkan kepada orang-orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya"
(Surah Al-Anbiyaa' ayat 26-28)

Apakah ciri-ciri golongan yang dido'akan oleh para malaikat?

1) Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci"

(Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a., hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib)

2) Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama dia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya:' Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, sayangilah dia'."(Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

3) Org-org yg berada di saf barisan depan ketika solat berjamaah.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (orang-orang) yang berada pada saf-saf terdepan"

(Hadis Riwayat Abu Dawud (dan Ibnu Khuzaimah) dari Barra' bin 'Azib r.a., hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud )

4) Orang-orang yang menyambung saf pada solat berjamaah (tidak membiarkan sebuah kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf"

(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan dari Aisyah rha, hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib )

5) Para malaikat mengucapkan 'Aamiiin' ketika seorang Imam selesai membaca Al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Jika seorang Imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalinn', maka ucapkanlah oleh kalian 'aamiiin', kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka dia akan diampuni dosanya yang masa lalu"

(Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

6) Orang yang duduk di tempat solatnya setelah melakukan solat.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : " Para malaikat akan selalu berselawat (berdo'a) kepada salah satu di antara kalian selama dia ada di dalam tempat solat dimana dia melakukan solat, selama dia belum batal wudhu'nya, (para malaikat) berkata: 'Ya Allah, ampunilah dan sayangilah dia' "

(Hadis Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah r.a., Al-Musnad dan Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadis ini)

7) Orang-orang yg melakukan solat subuh dan asar secara berjamaah.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : " Para malaikat berkumpul pada saat solat subuh lalu para malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga subuh) naik (ke langit), dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu salat asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga salat asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal, lalu Allah bertanya kepada mereka, 'Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?', mereka menjawab, 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, maka ampunilah mereka pada hari qiamat' "

(Hadis Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah r.a., Al-Musnad , hadis ini disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir)

8) Orang yg mendo'akan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang dido'akan.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Do'a seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa sepengetahuan orang yang dido'akannya adalah do'a yang akan diqabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdo'a untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, maka malaikat tersebut berkata 'aamiiin' dan engkau pun mendapatkan apa yang dia dapatkan'"

(Hadis Riwayat Muslim dari Ummud Darda' r.a.)

9) Orang-orang yang berinfaq.(sedekah dijalan Allah)

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, salah satu di antara keduanya berkata, 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq'. Dan lainnya berkata, 'Ya Allah, hancurkanlah harta orang yang kedekut' "

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

10) Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (berdo'a) kepada orang-orang yang sedang makan sahur"

(Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan Imam At-Thabrani, dari Abdullah bin Umar r.a., hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhiib wat Tarhiib)

11) Orang yang sedang menjenguk orang sakit.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Tidaklah seorang Mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang pada bila-bila masa sahaja hingga petang dan di waktu malam pada bila-bila masa sahaja hingga subuh"

(Hadis Riwayat Ahmad dari Ali bin Abi Thalib k.w, Al-Musnad Syaikh Ahmad Syakir berkata, "Sanadnya sahih")

12) Seseorang yg sedang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Keutamaan seorang alim atas seorang ahli ibadah bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah di antara kalian. Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya, dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain"

(Hadis Riwayat Tirmidzi dari Abu Umamah Al Bahily r.a., disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Kitab Sahih At-Tirmidzi )

Sahabat yang dirahmati Allah,

Begitu mulianya kedudukan para malaikat, kerana mereka termasuk dalam golongan makhluq Allah s.w.t. yang selalu diqabulkan do'anya. Para malaikat tidak pernah berbuat sesuatu kecuali berdasarkan apa yang diperintahkan oleh Allah. Ini juga bermakna, para malaikat tidak pernah mendo'akan seorang hamba kecuali orang-orang yang diredhai Allah.

Maka lakukanlah amalan-amalan yang membolehkan kita mendapat tempat dalam golongan orang-orang yang dido'akan oleh para malaikat. Semoga kita semua mendapat redha dan rahmat Allah s.w.t. ketika di dunia ini dan juga mendapat syafaat dan do'a daripada para malaikat yang mulia dan sentiasa bertugas sebagai utusan Allah s.w.t dimuka bumi ini.

(Sumber: Syaikh Dr. Fadhl Ilahi, Orang-Orang yang Didoakan Malaikat, Pustaka Ibnu Katsir)

Sunday, August 22, 2010

Hayati Doa Ketika Duduk Antara 2 Sujud...

Assalamualaikum.....
Syukur Alhamdulillah dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus bernafas dan beraktiviti lagi.....

Satu ceramah mengingatkan akan Doa ketika duduk di antara 2 sujud yang seringkali kita terlepas pandang.... ambil mudah dan ambil ringan... padahal doa ini merupakan doa untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat..... SEmoga kita sama2 memahami dan menghayatinya di masa akan datang....

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap hari kita mengerjakan solat. Sama ada solat fardu atau solat sunat. Solat adalah ibadah khusus yang yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk kita melaksanakannya tanda perhambaan diri kita kepada Allah s.w.t. Semakin banyak kita mendirikan solat maka semakin hampir diri kita kepada Allah s.w.t. Di dalam solat mengandungi bacaan al-Quran, doa, zikir, memuji kebesaran Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w.

Salah satu tempat kita berdoa adalah ketika duduk antara dua sujud. Terdapat tujuh permintaan (berdoa) kepada Allah s.w.t . dan kita minta berulang-ulang. Sekiranya kita mengerjakan solat fardu lima waktu maka terdapat 17 kali kita mengulangi doa dan meminta kepada Allah s.w.t. Jika ditambah dengan solat-solat sunat yang lain maka akan bertambah lagi doa dan permintaan kita kepada Allah s.w.t.

Perbuatan duduk antara dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma'ninah (berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini melambangkan bahawa hidup seorang Mukmin itu sentiasa berdisiplin,tenang dan tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang berbagai-bagai corak rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada Tuhannya.

Ketika melakukan duduk antara dua sujud itu, disunatkan membaca doa yang bermaksud:

Ya Tuhan! Ampunilah aku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, angkatlah kedudukanku, kurniakanlah kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta berilah kepadaku kesihatan."

Sahabat yang dimuliakan,

Adakah kita faham dan hayati doa dan permohonan yang kita ucapkan dan kita meyakini bahawa Allah s.w.t akan menunaikan doa dan permintaan kita?

Marilah sama-sama kita hayati tujuh doa kita kepada Allah s.w.t.

Ya Tuhan! Kita bermunajat dan menyeru kepada Allah s.w.t.

Pertama : Ampunkanlah aku.

Kita memohon agar Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa kita yang banyak dilakukan sama ada sengaja atau tak sengaja.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Firman Allah s.w.t. maksudnya : " Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah .Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada Tuhanmu, dan patuhlah kamu kepada-Nya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan"

(Surah Az-Zumar ayat 53-54).

Kedua : Rahmatilah aku.

Rahmat Allah (kasih sayang-Nya) adalah meliputi langit dan bumi. Kita memohon semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi rahmat dan kasih sayang-Nya sama ada ketika di dunia dan akhirat kepada kita sebagai hamba yang dhaif dan memerlukan pertolongan -Nya. Jika kita terlepas mendapat bencana di dunia, terlepas dari seksa kubur , mendapat perlindungan Arasy di Padang Mahsyar, mengambil buku catatan di tangan kanan, meniti sirat seperti kilat dan memasuki Syurga Allah adalah dengan rahmat Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah s.w.t menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "

(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )

Ketiga : Tutuplah keaibanku.

Kita mohon perlindungan Allah dari terdedahnya keaiban kita ketika didunia ini dan keaiban kita ketika dihari akhirat. Islam melarang kita membuka keaiban kita sendiri setelah Allah tutup keaiban itu. Maksudnya kita jangan ceritakan dosa-dosa dan kemungkaran yang telah kita buat kepada orang lain. Biarkan ianya menjadi rahsia kita dengan Allah.

Kita juga dilarang membuka keaiban orang lain, salah satu jalan keaiban kita ditutup oleh Allah dihari akhirat adalah dengan kita menutup keaiban orang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "...dan sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim maka Allah ta'ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta'ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya..."

(Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah."

(Muttafaqun 'alaih Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keempat : Angkatlah kedudukanku.

Kita memohon Allah s.w.t mengangkatkan kedudukan dan darjat kita disisi Allah s.w.t. Darjat di dunia kita mohon menjadi orang bertakwa dan muhsinin dan darjat di akhirat dapat kedudukan yang tinggi iaitu dapat memasuki Syurga Firdaus (Syurga tertinggi). Syurga sendiri memiliki beberapa tingkat bergantung kepada amalan dan darjat seseorang di dunia ini.

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa orang yang akan memasuki Syurga-Nya kelak adalah dalam keadaan berkumpulan. Ia dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan orang yang bertakwa kepada Rabb-nya dibawa ke Syurga berombongan, apabila mereka sampai ke Syurga itu, pintunya terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaganya: Kesejahteraan dilimpahkan atasmu, berbahagialah kamu, masukilah Syurga ini, sedang kamu kekal didalamnya."

(Surah az-Zumar, ayat 73).

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Barang sesiapa yang berinfak dengan emas dan perak daripada hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari mana-mana pintu Syurga. Syurga itu ada beberapa pintu. Sesiapa yang rajin menunaikan solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat.Sesiapa yang rajin bersedekah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Sesiapa yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan sesiapa yang berpuasa, dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan."

Kelima : Kurniakanlah kepadaku rezeki.

Kita memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan rezeki yang halal dan rezeki yang bermanfaat. Untuk mendapatkan rezeki yang berkat daripada Allah perlulah bertawakkal, bersyukur dan sentiasa berwudhuk

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,"Jika kamu bertawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah akan mengurniakan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dengan tembolok kosong dan pulang pada waktu petang dengan tembolok yang penuh."

(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Jika kamu bersyukur. nescaya akan Aku tambah (rezeki) padamu dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

(Surah Ibrahim ayat 7).

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu"

Keenam : Berilah aku petunjuk.

Petunjuk (hidayah) adalah hak Allah s.w.t diberi kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki. Dimaksudkan mendapat petunjuk (hidayah) adalah kita sentiasa kekal dalam iman dan Islam dan sentiasa didorong untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Minta dilindungi Allah dari terpengaruh dengan jalan yang boleh memesongkan aqidah kita dan menjerumuskan diri kejalan maksiat.

Nabi s.a.w mengajar kita untuk berdo'a semoga sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah s.w.t.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya."

(Surah Ali-Imran ayat 8).

"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu."

(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Ketujuh : Berilah kepadaku kesihatan.

Mohon kepada Allah agar kita sentiasa berada di dalam keadaan sihat wal afiat, dijauhi dari penyakit fizikal dan penyakit hati. Sihat dan penyakit adalah hak Allah, Dia boleh memberikannya atau boleh menjauhkan darinya.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram."

(Riwayat Abu Daud)

Maksud dalam hadis tersebut,yakinlah bahawa setiap penyakit yang diturunkan ada penawarnya. Dari itu janganlah kita berputus asa dari berikhtiar mengubati dan mengatasi masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, sebarang ketentuan adalah hak Allah. Kita perlu terus berharap kepadaNya setiap satu adalah dalam rencana-Nya.

Berdo'a dan terus betawakal kepadaNya semoga kita dijauhi daripada penyakit dan menjadi hamba Allah yang sihat zahir dan batin .

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita fahami maksud yang terkandung didalam do'a diantara dua sujud yang sentiasa kita lakukan. Apabila kita dapat memahaminya dengan jelas maka diharapkan solat kita bertambah khusyuk dan dimakbulkan do'a-do'a yang kita ucapkan. Yakinilah Allah s.w.t Maha Mendengar dan Mengetahui hajat dan permintaan yang kita sembahkan kepada-Nya dengan hati yang ikhlas.

Saturday, August 21, 2010

Hari yang Penuh Aktiviti...

Assalamualaikum.....
Syukur alhamdulillah kerana dilimpahi kesejahteraan dan kesihatan oleh Allah....

Semalam merupakan satu hari yg penuh aktiviti buat aku di bulan puasa ni.... dari pagi lagi dah sibuk.... setiba di pejabat jam 7:20 aktiviti dah bermula....

Berkejar menguruskan Kursus Pengurusan Jenazah..... selesaikan urusan pejabat yang memerlukan perhatian segera..... menghadiri mesyuarat....agak melelahkan.... Alhamdulillah semuanya dapat diselesaikan dengan bantuan Allah.... Alhamdulillah..... Terima kasih Allah atas kekuatan dan rahmat kurniaanMu....

1. Kursus Pengurusan Jenazah Wanita

bermula jam 9 pagi hingga jam 12:30 tengah hari


Thanks to Puan Hulmah Gaguling kerana sudi menjadi model...

Semoga ilmu yang diperoleh dapat digunakan dan mampu berbakti bila diperlukan.

aktiviti seterusnya ialah....
2. Mesyuarat Badan Kebajikan, Kebudayaan dan Sukan Kakitangan
3. Jamuan Berbuka Puasa di rumah bersama Pelajar SMK Seri Keramat (Pengawas Pusat Sumber Sekolah)

Hari yang penuh aktiviti dan memenatkan....

Semoga hari ini dikurniakan ketenangan, kesejahteraan, kekuatan dan keinsafan di bulan yang mulia ini....amin.