Tuesday, August 16, 2011

Kad Raya Pejabat Ketua Eksekutif

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t.
 
Terima kasih  .... Terima kasih dan TAHNIAH untuk Cik Zalika kerana telah merealisasikan impian warga Pejabat Ketua Eksekutif untuk memiliki kad raya Bahagian...Terima kasih sekali lagi... hehehehe

Tuesday, August 9, 2011

"TENANGLAH DUHAI HATI"

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini dah masuk hari ke-9 kita berpuasa.... sambil-sambil melayari website JAIS, menyemak premis halal (hotel dan kedai2) macam la nak p berbuka kat luar lagaknya...hehehe... Bukan lah itu niatnya, cuma bila rakan-rakan bercerita tentang isu kedai makan halal ni teragak nak check.... takut juga kalau termakan di kedai yang meragukan.... 

Asyik jalan-jalan kat website JAIS tu, terbaca pula satu artikel yang menarik di hati.... terasa nak kongsi dengan kawan-kawan kat sini..... Jom kita kongsi sama-sama artikel hasil tulisan Nurizzati bt Mohd Alip, Unit Penerbitan Bahagian Dakwah JAIS....

TENANGLAH DUHAI HATI

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak. Tapi..kenapa hati kita tak gembira?

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?

Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?
Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih..mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad s.a.w, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda.

Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

Tuesday, August 2, 2011

LEGGING.... Adakah sesuai untuk umat ISLAM...??

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t

Berblogwalking tadi terjumpa pula satu blog dan artikel yang mengadakan "kempen membantah pemakaian legging di kalangan wanita Islam" 

Hari ini di mana saja kita pergi pasti kita terlihat orang memakai legging....Makcik jual nasi lemak pakai legging, Muslimah pakai legging bersama tudung..... Artis Melayu pakai tudung dalam TV pun pakai legging.... Ibu dan anak perempuan sama-sama pakai legging pergi shopping. Gadis salun Muslimah pakai legging keluar masuk kedai...... Butik Muslimah pamer patung pakai tudung dan legging...... Beli juadah berbuka di bulan Ramadhan pun pakai legging ketat juga. Apakah perasaan anda bila melihat fenomena ini ?

sabda Rasulullah s.a.w. :

"akan datang ummatku di akhir zaman terdiri dari kaum wanita yang mana mereka itu berpakaian dalam keadaan telanjang, di atas kepala mereka berbonggol-bonggol seperti belakang unta. mereka ini dilaknat oleh Allah dan tidak masuk mereka itu ke dalam syurga, serta tidak dapat menghidu baunya. dan sesungguhnya wangian syurga itu di dapati jarak perjalanan lima puluh ribu tahun perjalanan." (sokhih bukhori) 


Tidak semua orang 'makan' nasihat. Maksudnya, ramai wanita Islam pemakai legging di luar sana adalah kategori tidak peduli, degil dan obses fesyen. Adakah mereka akan kisah dengan nasihat-nasihat dilambakkan kepada mereka ? Jika nasihat baik-baik berkesan, kenapa trend ini semakin menjadi-jadi ? 

Jom kita tengok antara yang terkandung di dalam blog tersebut:






Berpakaian tidak menepati kehendak agama adalah maksiat atau dosa.......

Secara mudahnya berpakaian hendaklah menutup aurat sebagaimana ketetapan agama, memenuhi konsep menutup aurat seperti tidak terlalu menampakkan bentuk anggota badan, terlalu ketat, terlalu nipis dan sebagainya di tempat awam. Rekaan pakaian dan fesyen semasa tidak ada masalah padanya jika dipakai ditempat yang sepatutnya, malah seorang isteri boleh berbikini bersama suaminya dalam rumah. Bikini tidak salah dan tidak barat, legging tidak salah dan tidak budaya barat. ianya cuma bentuk pakaian. Apa yang salah ialah pemakaian ditempat awam, tempat terbuka dan ketika bersama yang bukan muhrim.



Orang Barat yang kafir tu pun sedar LEGGINGS tu lucah..
LEGGINGS itu menjatuhkan maruah perempuan..
kenapa tidak di Malaysia?

 Apa pendapat Anda semua...???

Monday, August 1, 2011

Selamat Berpuasa...

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t

Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia..... semoga kehadiran bulan barakah ini membawa berjuta keindahan kepada seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia....
Jom kita semak apakah kelebihan Ramadhan ini.....

KELEBIHAN RAMADHAN 
 
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 


1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi- 


2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi- 


3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi- 


4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah (Islam). -Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi- 


5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi- 


PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah. 


2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya. 


3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai. 


4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat. 


5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat. 


6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924. 


7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak. 


8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja. 


9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi. 


10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.


11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Wallahualam...

Selamat Berpuasa....