Friday, December 30, 2011

Berkongsi Soalan Pop Kuiz dari blog Para PencintaMu

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah di hari yang penuh barakah ini diberikan peluang olehNya... dapat melunaskan pembacaan yang indah diperoleh dari blog yang juga indah isinya bertajuk Para PencintaMu. Jom kita kongsi bersama isi yang baik lagi hebat ini...

Berkati lah pemilik blog Para PencintaMu itu ya Allah kerana kesudiannya berkongsi ilmu ini.... dan Semoga Allah memberkati setiap usaha kita........InsyaAllah....

Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Tuhanku Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman & mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran & saling menasihati dengan kesabaran." [Al-Asr (103): 1-3]
InsyaAllah.. kurang lebih 10 hari daripada sekarang, tahun 2011 bakal ditinggalkan. Angka 2012 pula bakal menjelma. Ada yang sudah pun menyiapkan list azam baru mereka. Tak kurang juga masing-masing dengan pelbagai perancangan itu & ini..

Namun... sedarkah kita.. bertambahnya tahun itu bermakna sudah semakin dekat kita dengan penghujung zaman.
Firman Allah swt;
"Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat)." [surah 21, al-Anbiya' : ayat 1]
Sebelum 2011 menemui penghujung & 2012 memunculkan dirinya, apa kata, kita ambil sejenak masa untuk bermuhasabah kembali.
Apakah sebenarnya tujuan kehidupan kita ini? Pernahkah kita terfikir mengapa Allah menghidupkan kita & memberikan peluang kepada kita untuk bernafas hingga ke saat ini?
Adakah semata kita hidup untuk bersuka-suka, bersenda gurau, tidur, makan, tidur, makan & berhibur?
Berdasarkan al-Quran, tujuan manusia diciptakan mempunyai 3 peringkat; iaitu;
1) Yang pertama, sebagai hamba kepada Allah. yakni untuk beribadat kepadaNya.
"Dan tidaklah Aku menciptakan jin & manusia melainkan agar mereka beribadat kepadaKu." [surah 51, adz-Dzariyyat; ayat 56]

2) Yang kedua, sebagai pendakwah yang menyeru kebaikan & mencegah kemungkaran.
"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, & mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." [surah ke-3, ali-Imran; ayat 104]

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf & mencegah dari yang mungkar, & beriman kepada Allah..." [surah 3, ali-Imran; ayat 110]

3) Peringkat yang ke-3 ialah sebagai khalifah di bumiNya.
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah (pemimpin, penguasa) di bumi." Mereka berkata,"Apakah Engkau hendak Menjadikan orang yang merosak & menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu & menyucikan namaMu.?" Dia berfirman; "Sungguh, Aku Mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [surah ke-2; al-Baqarah; ayat 30]
Di antara tiga peringkat ini, kita sudah berada di tahap yang mana? 

Golongan 1, 2 atau Alhamdulillah, sudah sampai ke tahap yang ke-3? Ataupun paling malang sekali, kita belum mencecah tahap 1 sekali pun...? :'(  ya Allah, sedihnya.
Merujuk kata-kata Ustaz Naim dalam pengisiannya tempohari, kita, selaku ummat baginda Rasulullah saw seharusnya, sekurang-kurangnya sudah sampai di tahap yang ke-2. Bukan setakat hamba, & beribadat kepada Allah sahaja bahkan sudah pun menjadi golongan yang Allah katakan di dalam firmanNya dalam surah ali-Imran di atas.
Amat rugi... amat sayang sekali apabila ramai di antara kita yang terleka & terlalai dengan keduniaan lalu mengabaikan tugas & amanah yang diberikan oleh Allah ke atas bahu kita ini. Kita lupa tujuan sebenarnya kita dihidupkan di atas muka bumi ini.

Kita terlalu dilekakan dengan keduniaan. Kita sibuk mengejar kedudukan, harta, pangkat, gelaran. Kita hanyut dibuai hiburan. Kita buta dihijab virus 'TakPedulisme'.
"Tak kisahlah apa nak jadi pada ummah sekali pun.. Yang penting aku happy, gaji aku naik, CGPA aku maintain, yang penting bulan ni aku dah shopping latest shawl & maxi dress yang baru tu 2 helai. yang penting aku, yang penting aku..."
Kita sudah tidak kisah pun dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Masalah ummah kita buat tak endah, masalah saudara di Palestin kita tidak ambil kira, Revolusi Syria yang kian hangat diperkatakan pun kita pandang dingin sahaja..
"What ever... itu luar k.. kita sekarang in Malaysia. Jaga tepi kain sendiri sudahlah...!"
Apa masalah kita yang sebenarnya..?

Mengapa sampai begini sekali kita mementingkan diri sendiri..?
Banyak mana hendak kita timbunkan harta yang dicari. Bangga setakat mana dengan keputusan PNGK yang tinggi. Bahagia setakat mana yang hendak kita capai dengan 'buaya'friend dan 'geli'friend kita itu? Cantik setakat mana kita hendak nampak dengan fesyen yang kita kisahkan sangat itu..? 
"Sesungguhnya Kami telah Menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami Menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya (amalan)." [surah al-Kahfi (18): ayat 7]

Apa alasan kita untuk tidak berdakwah (bukan islam) dan melakukan pengislahan (kepada ummat Islam)? 

Alasan kita selalunya..

Tak cukup ilmu. Tak cukup bagus. Tak layak. Banyak dosa dan pelbagai lagi seribu alasan yang boleh digunakan untuk mengelak tanggungjawab yang Allah sudah amanahkan pada kita ini.
Sampai bila kita mahu lari dari tanggungjawab & amanah ini? Kalau pun kita terlepas di dunia ini, adakah kita yakin kita akan terlepas di akhirat kelak? Kita jamin kita akan terlepas dari pertanyaan Allah & azab seksa nerakaNya yang Maha Hebat itu?
"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah org yg memberi peringatan" [Imam Hasan Al-Basri]

"Dan aku tidak menyatakan diriku bebas dari kesalahan, kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhan-ku Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah ke-12: Yusuf: ayat 53]

"When you wash dirty clothes, both your hands and and the clothes get clean. Same thing with da'wah." :) [Dakwah Tips] 
Kita menyeru kepada kebaikan kepada orang lain, kita juga sebenarnya mengingatkan kepada diri kita sendiri. Apabila kita menegur kekhilafan & kesilapan orang lain, kita sebenarnya mengingatkan diri kita bahawa jangan melakukan salah & dosa tersebut. Hakikatnya, kita akan menjadi lebih baik tanpa kita sedar, dengan izin Allah, insyaAllah. Jadi jangan takut untuk menegakkan "Amar Maaruf & Nahi Mungkar" itu. Sambil kita berusaha, kita juga perlu berdoa agar hati mad'u (orang yang didakwahkan) itu dibukakan hatinya oleh Allah & doakan juga moga Allah tetapkan hati kita untuk melakukan apa yang kita seru & kita tegur itu..
Wahai pemuda pemudi Islam, kalaulah tujuan kehidupan kita ini hanya untuk kesenangan diri sendiri, semuanya untuk diri sendiri, tentulah ia sangat mudah & lapang. Namun, cuba kita hidup untuk ummah. 
Fikirkan apa yang boleh kita sumbangkan untuk ummah. Lakukan kerja-kerja yang memberi kebaikan kepada ummah. Gerakkan pencegahan maksiat dan kemungkaran yang membarah dalam celah-celah ummah. Pastilah kita akan tahu, bahawa peranan kita itu tidak mudah. Kita punya peranan, lalu, jiwailah peranan itu!

Di USM, dalam talk tentang Palestin tempohari: Mahasiswa dan Agenda Pembebasan Palestina oleh YDP MPP Unimas, Akhi Muhammad Mus'ab, beliau ada berbicara bab ini. Mendengar kata-kata perkongsian beliau membuatkan betapa selama ini berapa cebis benar usaha kebanyakan dari kita dalam membantu saudara-saudara kita di Palestin.

Usaha boikot pun masih ramai yang tidak jayakan. Bayangkan, hanya untuk menahan nafsu dari memakan McDonalds pun kita tak berdaya, jangan bermimpilah untuk bercakap soal agenda membantu saudara kita di Palestin. Akui sahajalah, kita terlalu lemah!
Kalau hendak menahan diri dari ber-couple dengan lelaki/perempuan bukan mahram kita pun kita masih tidak kuat, jangan beranganlah hendak bicara soal usaha membanteras zina dalam kalangan ummah kita, 
Allahurobbi...
Anak-anak kecil di Somalia yang kebuluran, anak-anak kecil di Palestin yang ketakutan, mereka tahfiz, hafal al-Quran. Sekecil-kecil mereka sudah tahu apa itu syahid di jalan Allah. Mereka sudah berniat untuk syahid, untuk mati syahid kerana Allah.
Sedangkan kita di sini..? Sangat enak dibuai dengan hiburan yang melalaikan. Dari sekecil remaja belum baligh hinggalah ke umur emas, semua rancangan pun berbentuk hiburan.

Hal-hal beginilah yang menyebabkan kita lupa apa sebenarnya tujuan kehidupan kita, iaitu 3 matlamat mutlak di atas.

Kita lebih kenal artis-artis K-pop dari pejuang Islam Salahuddin al-ayubbi, Saad bin Waqas, Khalid al-Walid. Paling menyedihkan, kita lebih ingat tarikh lahir artis pujaan kita dari tarikh lahir baginda Rasulullah saw pun.. 
Allahurobbi... layakkah kita ini dipanggil ummat Rasulullah saw yang mulia itu? Kita inikah yang sangat dirindui dan disayangi oleh baginda Rasul. Kita inikah yang disebut-sebut baginda waktu di hujung hayat baginda..? Kita inikah ummat itu?
Apabila tanya hal-hal artis, semua khatam. Biografi semua tahu, tanya hal-hal keduniaan semua pakar. Tapi bila disuruh mengaji, tanya syarat istinjak, pembahagian najis, tanya tajwid nun mati bertemu ba apa dia, semua garu kepala. Majoriti ahli dunia hanya pandai ilmu dunia, tapi jahil bab akhirat. [Ustaz Azhar Idrus]
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah & rasul & juga janganlah kamu mengkhianati amanah yang telah dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." [surah ke-8; al-Anfal; ayat 27]

Mari sahabat-sahabat, saudara-saudariku yang dikasihi Allah sekalian,
Selalulah memuhasabahkan diri dengan tiga soalan mudah. iaitu;

1 - Dari mana kita datang?
2 - Mengapa kita didatangkan?
3 - Ke mana kita akan pergi?

Jawapan kepada persoalan ini, adalah yang menentukan kita ini siapa, dan membantu kita dalam memilih tindakan yang hendak kita lakukan di atas dunia.

Berkerutkah dahi memikirkan jawapan kepada soalan di atas?

Padahal, jawapannya sangat senang. Kita datang dari Allah, Kita didatangkan kerana Allah. Dan kita akan dikembalikan kepada Allah. 

Setakat saat ini... apakah sumbangan kita kepada Islam agaknya? Berapa banyak sudah masa, tenaga, harta kita digunakan ke jalan Allah? Atau semuanya hanya dihabiskan untuk diri sendiri?
Saidina Abu Bakar ada berkata; Barangsiapa yang masuk ke dalam kubur tanpa ilmu dan amal sebagai bekal. Maka, dia seperti pergi ke tengah laut dan terjun ke dalamnya tanpa perahu dan pelampung. 
Saudara-saudari seagamaku yang dikasihi Allah sekalian,
Dinamakan kita sebagai insan kerana kita ini selalu melakukan kesilapan dan kesalahan. Sebab itulah kita tak bernama Nabi & Rasul. Kerana kita memang bukan nabi & rasul yang suci dari dosa (maksum). Nabi manusia seperti kita, namun dia istimewa, luar biasa, special di sisi Allah.
Oleh itu, kalau kita melakukan kesilapan, selalulah bermuhasabah. Kembali semula kepada fitrah bahawa manusia melakukan kesilapan. Belajar dari kesilapan tersebut untuk menjadi manusia yang lebih bermanfaat kepada orang lain.
Dan yang jelasnya, kalau kita sudah tahu ilmu kita sedikit, amal pun kurang, berusahalah keluar, gerakkan kaki ke Majlis-majlis ilmu, kuliah agama, ceramah, forum dan sebagainya. Ini juga salah satu usaha menambah ilmu & memperbaharui iman. Bukannya merungut "Aku masih jahil, tak layak jadi pendakwah", lalu menjadi katak di dalam gelas! Sekadar duduk di bilik dan mengadap laptop 24 jam! [Nasihat ini saya tak ingat saya baca di mana]

Tidak boleh menyumbang banyak, kita sumbangkan sedikit. Asalkan kita menyumbang sesuatu. Ambillah ibrah dari kisah burung kecil yang berusaha memadamkan api yang membakar tubuh Nabi Ibrahim Alaihisalam.
Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.

Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu:
 
“Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.”

Lalu dijawab oleh burung berkenaan:
 

“Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Nah! Itu burung... Adakah kita manusia ini menyedari hakikat tersebut? 

Menjadi penyeru. Menyampaikan kebaikan & mencegah yang mungkar ini perlukan 3 perkara;
1) Ilmu
2) Iman
3) Amal
Selain itu, perlukan kesabaran, adab dan akhlak untuk mengiringi 3 perkara di atas. Contohilah Nabi SAW yang sentiasa berakhlak dalam menyeru kebaikan (berdakwah) dan mencegah yang mungkar. Hatta sewaktu baginda dibaling dengan batu dan najis, baginda masih menolak pelawaan gunung untuk menghempap ummatnya yang derhaka itu. Begitulah agung & sucinya hati Rasulullah. Yang mana kebanyakan manusia kembali menganut Islam kerana cair dengan kehebatan sabar dan kemantapan akhlak baginda yang terpuji.
Berdasarkan hadis, inisiatif untuk mencegah kemungkaran ini dengan 3 anggota; iaitu yang paling baik dengan menggunakan tangan, jika tidak mampu, gunakanlah lidahmu, jika masih tidak mampu, gunakanlah dengan hati iaitu dengan membenci maksiat itu dan berdoa agar pelakunya diberikan Hidayah. Inilah selemah-lemah iman.
Sahabat-sahabatku yang dimuliakan Allah sekalian,

Satu hakikat yang perlu kita pasakkan di dalam hati, bahawa jalan dakwah & islah (pencerahan) ini, jalan mujahadah ini bukan senang. Bukan sedikit masa, tenaga, wang ringgit yang perlu dikorbankan. Malah, terkadang membanjirnya air mata & keringat. 
Allah tak pernah menjanjikan jalan ini mudah & indah. Allah tidak pernah kata berjuang ke jalanNya itu adalah senang & seketika. Allah tak pernah janji perkara itu. Namun, Allah banyak menjanjikan balasan-balasan yang setimpal dengan kepayahan yang dihadapi oleh hamba-hambaNya yang berjuang di jalanNya, insyaAllah.

Jangan harapkan sekali kita menasihati mad'u kita, mereka dapat terus menerima nasihat kita seperti kain yang menyerap air yang tumpah. Jangan kita harapkan dengan sekali kita menegur itu mereka akan terus berubah. Kalaulah dakwah & islah semudah itu... tentulah Rasulullah saw tidak perlukan 23 tahun untuk menyebarkan risalah Islam di dunia ini...

Allah berfirman; "Barangsiapa mengkehendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami akan segerakan baginya (di dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela & terusir." [surah al-Isra' (7): ayat 18]

Pilihlah, kita mahu bersenang-senang di dunia & menderita di akhirat, atau mahu bersusah payah di dunia & bersenang-senang selamanya di syurgaNya tanpa keluh kesah?
"...Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu & sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami." [Al-Kahfi (18): 10]
Ya Allah, terimalah semua amalan kami sejak kami masih di dunia lagi. Kuatkanlah hati kami untuk terus di jalan ini. Moga kami akan dapat bertemu dengan Rasulullah saw di dalam syurgaMu dan meminum air dari tangan baginda yang akan menghilangkan haus kami buat selama-lamanya. insyaAllah.
Akhirul kalam, 
Apalah gunanya kita kaya, kalau harta itu tak digunakan untuk Islam. Apalah gunanya kita pandai, andai tak dimanfaatkan kepada Islam. Apalah gunanya kita popular & cantik, andai kita menjadi fitnah kepada Islam. Apalah gunanya kita berkedudukan & berpangkat besar andai kita gagal melaksanakan hukum hakam Islam.
Suatu saat nanti, kita akan berhenti untuk bekerja dengan manusia. Namun, tak akan pernah kita berhenti bekerja untuk Allah. 'Pencen'nya kita nanti hanyalah selepas kita mati. Selagi nyawa dikandung badan, usaha berdakwah & islah itu perlu tetap diteruskan...

Renungilah...
Kalau kita hidup tiada apa-apa sumbangan untuk Islam... 

Apalah maknanya kita hidup selama ini?
Maafkan semua kekurangan saya,
Wallahu'alam..  Kerana Dia Lebih Mengerti.


Ilham & rujukan:

1) Status FB Hilal Asyraf (Official)
2) Blog
3) Cebisan pengisian ceramah Ustaz Naim di dalam Usrah Kubro Ahad lepas.
4) Rancangan Lau Kana Bainana [Tv AlHijrah]
5) Cebisan pengisian kuliah maghrib Ustaz Azhar Idrus di penang yang lalu. 
6) Talk Mahasiswa & Agenda Pembebasan Palestin 
 
p/s: Entri ini terbengkalai sejak Isnin yang lepas oleh kerana lemahnya diri memanfaat luangnya masa dalam kesibukan. Namun, alhamdulillah, Allah akhirnya beri kekuatan untuk menyambung semula nukilan. Semoga bermanfaat. 



Sesungguhnya entri ini dipetik secara langsung agar isinya tidak lari dari penyampaian maksud oleh pemilik asalnya.... Semoga semua yang membaca mendapat ilmu yang baik...dan  mendapat keberkatanNya... amin

No comments: