Tuesday, June 12, 2012

Apa KPI kita...?

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Minggu lalu, lawatan ke TV AlHijrah telah memberikan satu lagi ilmu berguna kepada saya dan semua peserta hendaknya. Ketika rancak tanyakan soalan kepada salah seorang staf di stesen TV AlHijrah, saya mendapat maklumat bahawa Key Performance Indicator (KPI) yang paling utama harus dipenuhi untuk menjadi staf di organisasi tersebut ialah solat 5 waktu. Mereka juga digalakkan menunaikan solat Dhuha.... Wahhhh!!! menarik kan.... tak banyak organisasi (mungkin juga tiada, kecuali di TV AlHijrah) yang menetapkan KPI sebegini pada setiap orang stafnya hari ini...

Lalu, berblogwalking menemukan saya dengan artikel-artikel yang menarik ini.... Jom kita baca bersama: 

Artikel bertajuk "KPI seorang MUKMIN" hasil karangan Ustaz Hamizul dipetik dari http://www.hamizul.com
Bagaimana pula dengan KPI kita terhadap agama Islam? Inilah yang menjentik naluri saya, kala usai mendengar sebuah kuliah subuh baru-baru ini. Ustaz berkenaan dengan santai mempersoalkan para audiens, sejauh manakah umat Islam hari ini mengetahui KPI mereka yang telah Allah SWT sediakan dan sejauh manakah pula umat Islam memahami dan memberikan komitmen demi memenuhi KPI itu?

Mungkin kita sendiri, yang biarpun kala ini menjawat jawatan baik  di organisasi, tidak terlintas pun betapa Islam telah menyediakan KPI bagi semua umatnya. Kita merasakan Islam hanya menitik beratkan aspek ibadah semata-mata, solat, puasa, zakat dan haji. Alangkah dangkalnya idea tersebut.

Percayalah, Islam yang Nabi Muhammad SAW bentangkan di hadapan kita, adalah penyelesai masalah seluruh manusia. Jika Islam hanya menyangkut soal solat, puasa, zakat dan haji semata, masakan Perlembagaan Madinah digubal nabi demi mengelola kehidupan manusia di Madinah dan diiktiraf perlembagaan pertama di dunia.

Maka, dalam hal KPI seorang mukmin ini, ia menyangkut paut kelangsungan hidup manusia – sama ada secara individual mahu pun sesama manusia lain. KPI berkenaan, digariskan oleh Allah SWT secara terang menerusi deklarasi-Nya di dalam al-Quran. Perhatikan deklarasi Allah:

Sesungguhnya hanya golongan beriman yang mempunyai ciri-ciri inilah yang bakal beroleh kejayaan, di dunia dan akhirat, iaitu:

1) Orang-orang yang beroleh kusyuk di dalam solatnya
2) Orang-orang yang tidak lalai dalam kehidupannya
3) Orang-orang yang menunaikan zakatnya
4) Orang-orang yang menjaga kemaluannya (kehormatannya)
5) Orang-orang yang menjaga amanah
6) Orang-orang yang memelihara janji
7) Orang-orang yang sentiasa memelihara solatnya
(surah al-Mukminun, ayat 1-9)

KPI yang Allah SWT gariskan ini sudah lama disuratkan di dalam kitab suci-Nya. Sama ada kita perasan atau tidak, ia tergantung kepada sejauh manakah usaha kita untuk mencarinya. Di hari akhirat kelak, kesemua KPI ini akan dibentangkan kembali di mahkamah Allah rabbul jalil, lalu kala itu akan dinilai sejauh manakah kita sudah berusaha memenuhi sasarannya – sama ada di bawah sasaran, melebihi jangkauan atau cukup-cukup makan!

Atas kepentingan itulah, Allah SWT menggesa kita agar tidak menjadikan kehidupan di atas dunia hanyalah sebagai suka-suka dan penuh dengan permainan semata-mata. Hidup mengejar mata benda tidak akan pernah puas, seperti mana dikalamkan di dalam sebuah hadis: “Seandainya manusia memiliki sebuah lembah berisi harta, tentu mereka masih menginginkan harta yang banyak seperti pula. Mata manusia (itu) hanya akan penuh, jika diisi dengan tanah (terhenti keinginannya sehinggalah dia mati – penulis),” (hadis riwayat Bukhari)

Inilah dia tips yang mampu menyelamatkan seluruh umat manusia. Mereka bukan sekadar wajib menjadi seorang muslim, tetapi mesti berusaha menjadi seorang mukmin. Namun, status mukmin belum dipastikan selamat, sehinggalah si mukmin itu menepati piawaian ‘Deklarasi al-Mukminun’ seperti mana yang telah digazetkan di dalam al-Quran.

Justeru itu, marilah kita berusaha memenuhi keperluan KPI Allah SWT ini. Andai kita berusaha, pasti ada jalannya. Seperti mana peribahasa Melayu mengungkapkan: “Lulus angan dilakukan, lulus kaki dilangkahkan, biar bersimbah peluh di muka, jangan tersingkap kain basahan.” Maknanya, jangan sekadar berangan-angan; tapi lakukan penuh kesungguhan. Bila sudah melakukan, jangan pula sekerat jalan. Wallahua’lam.

Artikel karangan Ustaz Pahrol Mohd. Juoi yang bertajuk "Solat Sebagai Bekalan Hidup" dipetik dari http://keranakasihnabi.blogspot.com

Hari ini, jika diperhatikan orang tak rasa rugi kalau tak solat, tapi kalau tak makan, dia akan rasa rugi (lapar). Perjalanan hidup kita ini makin lama semakin meletihkan, pangkal sudah jauh ditinggalkan namun hujungnya belum kelihatan. Bebanan semakin bertambah – dari seorang anak kepada dua dan seterusnya. Umur meningkat dan tenaga semakin berkurangan, sebab itulah kita perlukan bekalan. Sepertimana seorang musafir, walaupun sudah tahu tujuan dan ke mana yang ingin dituju, tanpa bekalan mencukupi, dia takkan sampai.

Jadi solat merupakan makanan rohani dalam perjalanan kita menuju Allah SWT. Tanpa makanan rohani, kita akan berasa lesu, jemu dan sebagainya. Solat juga merupakan 'talian hayat' kita dengan Allah SWT. Tanpa solat, kita seumpama layang-layang tanpa tali, yang bila-bila masa saja boleh jatuh tersangkut di pokok ataupun terhempas ke bumi. Solat juga merupakan 'silah' (hubungan) kita dengan Allah. Allah akan menjaga kita sebagaimana kita menjaga Allah. Oleh itu cara menjaga Allah ialah dengan menjaga solat.

Solat juga dikatakan sebagai tiang agama (Diin). Agama di sini merangkum sistem hidup yang luas termasuk sistem pendidikan, politik, ekonomi, hiburan dan sebagainya. Jadi tanpa solat, sistem kehidupan kita akan goyah dan menjadi kucar-kacir – contohnya ekonomi akan jatuh, gejala sosial berleluasa, kejahatan bermaharajalela. Jadi bila kita lihat permasalahan sebegini di sekeliling kita, itu sebenarnya merupakan satu petunjuk bahawa solat di kalangan masyarakat tidak 'selesai'. Ada satu ungkapan orang bijksana: 'Untuk baiki dunia, perlu baiki manusia. Untuk baiki manusia, perlu baiki hatinya. Dan untuk baiki hati manusia, kena baiki solatnya.' Orang yang solat, hatinya dekat dengan Allah. Jadi, jika kita sendiri atau ada orang datang kepada kita, mengadu yang kehidupannya kucar-kacir dan bagaimana cara untuk memperbetulkannya. Jawapan yang paling baik untuk diberikan adalah perbaiki solat. Jika solat dijaga dengan baik, InsyaAllah akan ada kesan secara langsung untuk kita mengubah aspek lain dalam kehidupan. Oleh itu, perlu dimulakan dengan solat.

Kita ada mendengar daripada dapatan kajian yang dilakukan di Malaysia yang menyatakan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian, dan setiap 18 minit, seorang anak luar nikah dilahirkan. Jadi penyebab utama kepada perkara ini adalah urusan solat yang tidak selesai. Allah telah berjanji bahawa solat akan membantu kita mencegah perkara mungkar seperti zina, pergaulan bebas dan sebagainya. Jika dilihat dalam sejarah yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang lebar, mafhumnya: Abu Hurairah bertanya kepada Nabi SAW: “Bagaimana keadaan seorang yang solat tapi masih mencuri?” Nabi menjawab, “Solat itu akan lambat-laun mencegahnya daripada mencuri.” Jadi ertinya, dalam solat itu ada 'kuasa' untuk membuatkan seseorang itu meninggalkan kejahatan. Oleh itu perlunya kita berterusan solat.

Dalam satu kisah lain pula, Sayyidina Umar Al-Khattab, ketika ingin memilih pegawai penting semasa pemerintahannya, menjadikan solat sebagai penanda-aras atau 'KPI'. Beliau percaya bahawa sesiapa yang menjaga solat akan menjaga hukum-hukum Allah yang lain. Sebaliknya orang yang berani meninggalkan solat, berkemungkinan tidak akan menjaga hukum-hukum Allah yang lain pula. Sebab itulah solat itu dikatakan sebagai 'kepala' ibadah. Sebagai analogi, setiap negara ada angkatan tenteranya sendiri untuk menjaga keselamatan negara. Bahkan ada ungkapan bijak-pandai yang mengatakan bahawa cara terbaik menjaga keamanan adalah dengan sentiasa bersiap-sedia untuk berperang. Jadi tentera perlu sentiasa berlatih dan berada dalam keadaan siap-sedia. Tiada kompromi untuk mereka walaupun dalam realitinya negara berada dalam keadaan aman dan peperangan yang pernah berlaku sedikit sekali. Jadi kita sebagai manusia sebenarnya sentiasa berperang dengan syaitan yang tak pernah tidur atau letih untuk menyesatkan kita. Oleh itu kita perlu lebih bersiap-sedia daripada askar yang berlatih setiap hari walaupun tidak tahu bila akan berperang. Jadi latihan terbaik bagi kita adalah semasa kita solat. Syaitan sangat licik, tak pernah mengalah, jadi cara terbaik untuk kita berlindung daripadanya adalah dengan berlindung dengan Allah. Jadi jika kita dekat dengan Allah, syaitan akan 'takut' untuk mendekati kita. Solat itulah angkatan tentera untuk kita. Sebab itulah dikatakan 'When God is your friend, who is your enemy?'.

Apabila kita akrab dengan Allah, kita akan dekat dengan kekayaan. Kekayaan ini tak semestinya kekayaan material tetapi kekayaan yang lebih utama seperti ketenangan jiwa, kebahagiaan, kemudahan rezeki, kemuliaan dan kejayaan. Inilah bentuk kejayaan yang lebih sempurna kerana merangkumi kejayaaan material dan rohani. Sebab itulah dalam laungan azan, kita diseru untuk solat agar mendapat kejayaan. Dalam surah Al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;”
 
Soalan & Jawapan:

Soalan: Terima kasih, penjelasan ustaz mudah difahami. Zaman sekarang, ramai tidak perasan yang dia telah berkawan dengan syaitan. Jadi bagaimana untuk mengatasinya, adakah perlu ada roh dalam solat kita? Atau perlukan gabungan ilmu, iman, amal dan taqwa untuk mengatasinya?

Jawapan: Ada dua musuh dalam diri (batin) kita iaitu nafsu dan syaitan. Jika kita berjaya kalahkan musuh batin, akan mudahlah untuk mengalahkan musuh luaran. Tetapi, kadang-kadang manusia tertipu dan mampu membakar bendera Yahudi tetapi tidak mampu menolak selimut untuk bangun solat Subuh. Syaitan sangat licik dan kita takkan mampu melawannya. Nabi Adam dan Siti Hawa juga termakan pujukan syaitan. Walaupun Allah izikan syaitan menggoda kita, tapi Allah janjikan perlindungan kepada mereka yang hatinya ikhlas kerana Allah SWT. Bab berkaitan ikhlas telahpun dibincangkan dalam tajuk tujuan hidup sebelum ini. Untuk ikhlas bukanlah kita semata-mata menanti, tetapi kita perlu mencarinya. Ikhlas ada kaitan dengan pelajaran tauhid dan perlu melalui proses penghayatan, mujahadah, muqarrabah. Sila rujuk kuliah sebelum ini untuk perincian.

Dalam konteks perbincangan petang ini, untuk menghadapi syaitan, kita mohon berlindung dengan membaca A'uzubillahiminassyaitonirrajim. Imam Ghazali juga meminta kita membaca surah An-Nas sebelum memulakan solat sebagai pendinding. Sebagai metafora, jika ada anjing yang besar menyalak kepada kita, pastinya kita takut untuk menghadapinya. Tapi jika kita boleh beritahu tuan punya anjing untuk memanggil anjing tersebut, tentulah hilang rasa takut tadi. Begitulah juga dalam menghadapi syaitan, kita mohon perlindungan dengan Allah dan InsyaAllah kita akan diberi kekuatan.

Cara terbaik untuk dekat dan mohon perlindungan pada Allah adalah melalui solat. Godaan syaitan bertujuan mengganggu hati kita. Jadi hati menjadi rebutan antara syaitan dan malaikat. Bila hati mengingati Allah, InsyaAllah bisikan malaikat dan ilham-ilhamnya yang baik yang akan kita dengar. Sebaliknya tanpa solat, bisikan jahat syaitan yang akan menang. Sebab itulah dikatakan hati kita ini berbolak-balik sifatnya. 

Rangkuman ilmu, iman, amal dan taqwa penting menghadapi syaitan. Untuk solat contohnya, perlu ada ilmu dahulu. Tapi dengan hanya ilmu tanpa iman, seseorang takkan solat juga. Jadi amal juga penting untuk dilakukan. Setelah itu baru akan datang taqwa sebagai kekuatan kita. Sebab itu, Nabi SAW pernah menunjukkan bahawa taqwa itu berada di dalam dada dan itu boleh menjadi kekuatan untuk kita menghadapi syaitan. Kita takkan mampu berdepan secara terus kerana kita tak nampak syaitan tapi syaitan nampak kita. Sepertimana dua orang peninju yang seorang matanya dibuka dan seorang lagi ditutup, sudah pastilah peninju yang terbuka matanya akan menang. Oleh sebab itulah kita perlu akrab dengan Allah melalui solat agar kita diberi perlindungan.

Soalan:  Saya solat tapi kadang-kadang tertinggal. Rasanya banyak yang dah ditinggalkan, saya rasa bersalah tapi tak mampu mengqada'kan. Jadi apa yang perlu dilakukan?

Jawapan: Mengikut mazhab Syafie, solat yang ditinggalkan perlu diqada'. Bagaimana banyak sekalipun, qada'lah yang termampu kerana itu adalah hutang kita dengan Allah. Jika rasa bersalah tapi rasa berat untuk mengqada', itu sebenarnya belum benar-benar rasa bersalah lagi. Sepatutnya jika betul rasa bersalah, kita mesti bersemangat untuk memperbetulkan kesalahan. Bak kata pepatah 'Love is a verb, not a word'. Oleh itu sebagai bukti cinta kepada Allah, kena ada tindakan yang menyusul. Jika hanya menyebut di bibir, itu hanya sekadar justifikasi kita mencari alasan untuk tidak mengerjakannya. Jika betul rasa bersalah timbul dari hati, hati akan mengarah anggota untuk melakukan sesuatu.

Soalan: Mohon pandangan ustaz adakah benar solat yang dikerjakan adalah yang tersurat, dan usaha dan ikhtiar kita merupakan yang tersirat?

Jawapan: Mungkin soalan yang ditanya: Adakah solat itu terjemahan kehidupan kita? Namun, saya lebih suka untuk menghuraikan apakah hubungan solat dengan kehidupan luar solat kita. Dalam Al-Quran, kita diminta untuk 'mendirikan' solat, bukan mengerjakan solat. Ada beza antara keduanya.

Mendirikan solat tidak sekadar melakukan solat dengan sempurna rukun dan tertibnya, tetapi termasuk menghidupkan roh solat ketika di luar solat. Contohnya, kita kena kusyuk dalam solat kerana kusyuk itulah roh solat. Andainya kita lalai dalam solat, bermakna kita mempersembahkan jasad tanpa roh, seumpama bangkai, kepada Allah. Ini sungguh biadab dan salah untuk dilakukan.

Kusyuk bermaksud hati, dan seluruh pancaindera fokus patuh mengingati Allah. Kepatuhan ini akan menjadikan kita juga patuh pada Allah di luar solat. Dalam solat kita kena jaga 3 fokus: mata supaya memandang tempat sujud, dada supaya menghadap kiblat dan hati kita supaya mengingati Allah. Mata yang liar ketika solat, makruh hukumnya. Dada, jika teralih daripada kiblat, akan membatalkan solat. Jika hati pula yang teralih daripada mengingati Allah, solat kita akan hilang nilainya.

Sebagai kesan di luar solat pula, kekusyukan kita akan membantu kita fokus dengan tujuan hidup kita. Maksudnya seluruh tenaga kita akan dikeluarkan untuk beribadah kepada Allah SWT. Tetapi mengapa walaupun kita sudah berpuluh tahun solat dan berlatih fokus, mata kita masih liar di luar solat. Ini menunjukkan telah terputus hubungan antara ibadah dengan kesannya di luar solat.

Sepatutnya hubungan ini berterusan, jadi betullah bahawa cara kehidupan kita merupakan kesan ibadah kita. Masa kita sujud, kita buang semua keegoan dengan meletakkan kepala yang kita hormati ke tanah. Masa ini jugalah seseorang hamba itu paling hampir dengan Allah SWT. Jadi bagaimana kesan sujud itu di luar solat? Sepatutnya kesan tunduk kepada Allah itu juga kita praktikkan dalam semua bidang kehidupan yang lain. Contohnya, sistem kewangan, hiburan dan semuanya mesti tunduk pada hukum Allah. Sebab itu jika seseorang itu menjaga bilangan rakaat solatnya betul-betul, mengapa ketika bekerja timbul isu curi tulang? Ini menunjukkan impak solat tidak kelihatan di tempat kerja, sedangkan kita ingin menjadikan kerja sebagai ibadah dan pejabat sebagai sejadah.

Soalan: Mengapa ramai pesakit (yang tidak serius sekalipun) mengabaikan solat dan bagaimana mengatasinya?

Jawapan: Pada pendapat saya, penyakit paling banyak yang dihidapi rakyat Malaysia ialah penyakit hati – iaitu apabila seseorang itu tidak mengenal Allah, dan tidak akur dengan perintah Allah. Solat ini tiada alasan untuk meninggalkannya, tak kita ketika sakit atau sihat. Walau dengan isyarat mata sekalipun kita wajib tunaikan solat. Kenapa? Hati yang tidak mengingati Allah akan mati. Bila hati mati, hati menjadi lemah dan menjadi seumpama layang-layang yang putus tali. Jika kaya sekalipun, jiwanya akan kosong. Jika miskin pula, jiwanya menderita dan tertekan dengan kemiskinan yang dihadapi.

Orang yang jauh dari Allah, takkan berasa tenang dalam apa jua keadaan. Tetapi orang yang akrab dengan Allah, jika kaya dia bersyukur, jika miskin dia sabar, jika jadi pemimpin dia adil, jika jadi pengikut, dia setia, jika seorang suami, dia penyayang, jika seorang isteri, dia taat. Jadi saya menyeru kepada pesakit dan orang yang menjaga orang sakit, ingatlah untuk mendirikan solat. Bahkan ketika sakitlah paling utama untuk mengingati Allah. Kesakitan itu sebenarnya sebagai ujian untuk mengingati Allah.

Soalan: Mohon petua untuk tidak tinggalkan solat?

Jawapan: Tiada petua sebenarnya, sebab segala yang Allah perintahkan, kita wajib laksanakan. Cuma sebagai motivasi, jika seseorang tidak dapat melakukan sesuatu perkara, ada dua saja sebab. Satu, dia tidak betul-betul menginginkan perkara itu, atau tiada 'burning desire'.

Jadi jawapan jujur kenapa kita tak solat adalah kerana kita tak rasa kita perlukan Tuhan. Cuba kita wujudkan perasaan perlukan Tuhan dalam diri. Sebagai analogi, katakan hari ini kita tertinggal 'handphone' di rumah, pasti kita resah-gelisah duduk di pejabat. Sepatutnya kita juga begitu dengan Allah. Solat itu sebagai penghubung dengan Allah. Orang yang rasa tak perlukan Tuhan merasakan dirinya kuat. Sepatutnya sebagai hamba yang lemah, kita perlukan bantuan Allah Yang Maha Kuat, Maha Kaya.

Kedua, dia tak 'pay the price' untuk perkara itu. Sepertimana 'handphone' yang perlu dibeli, dicaj, kita juga mengorbankan sesuatu (masa, tenaga) untuk solat. Kita kena letakkan Allah sebagai perkara terpenting dalam hidup, barulah perkara lain boleh ditinggalkan demi mengerjakan solat.

Soalan: Mohon pencerahan ustaz tentang persoalan solat sunat terawih. Kita dikhabarkan bahawa fadhilat solat sunat seperti yang diberitahu sebelum ini merupakan hadis palsu. Tetapi untuk fadhilat solat tahajjud pula ada nasnya dalam Al-Quran. Jadi bagaimana kedudukan solat sunat terawih ini?

Jawapan: Ini soal hukum dan telahpun dibahaskan. Betul tentang fadhilat yang dikabarkan sebagai hadis palsu. Namun, kita bukan sekadar tengok Al-Quran dan hadis, tetapi kita juga tengok contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat. Dalam sirah, Sayyidina Umar sendiri melakukan solat sunat terawih secara berjemaah. Jadi siapalah kita untuk membandingkan diri dengan Sayyidina Umar? Jadi eloklah kita ikut apa yang ditunjukkan dan jika terdapat perbezaan pandangan, eloklah kita berlapang dada sahaja.

Kesimpulan:

Saya ingin berpesan pada diri dan semua, agar kita meletakkan solat sebagai perkara terpenting dalam kehidupan. Kemungkaran terbesar yang kita hadapi hari ini ialah kemungkaran meninggalkan solat. Mengikut kajian hari ini, 80% rakyat Malaysia tidak solat. Ini nombor yang sangat besar. Orang yang tidak solat sedang membakar dirinya, dan orang sekelilingnya. Jadi marilah semua kembali kepada Allah dan wujudkan keperluan kita kepada Allah. Ramai orang meninggalkan solat kerana merasakan tidak memerlukan Tuhan dalam kehidupan mereka. Allah SWT lebih daripada segala-galanya, dan kita perlu bergantung sepenuhnya dengan Allah. Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu. Jaga solat, pasti Allah menjaga hubunganmu dengan orang lain.

Semoga perkongsian ilmu ini mampu memperbaiki diri ini.... Semoga KPI kepada Allah lebih diutamakan daripada semua perkara di dunia...InsyaAllah...

Sumber:

No comments: