السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Bulan Syaaban muncul
lagi. Syaaban menandakan umat Islam semakin menghampiri Ramadhan.
Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan
Malam nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan
musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan
Syaaban, dan terutamanya pada malam kelima belasnya. Sebelum itu,
marilah kita sama-sama mendalami dan mengenali sedikit sebanyak info
tentang bulan Syaaban ini.
PENGERTIAN SYAABAN
Bulan
Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab. Bulan Syaaban juga
merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah
menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk
meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan
untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan
adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban
dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan
masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan
untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya
Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang.
Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban
dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah;
Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab,
“Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana
dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)
MALAM NISFU SYAABAN
Nisfu
dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah
bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu
siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam
Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas
malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi
S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah
hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
“Rasulullah S.A.W telah
bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama
sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat
demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian
aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah
aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku
pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu
daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu
memuji diriMu sendiri.”
Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :
Ertinya : “ Apabila
tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya
(melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt
(turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari
terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari
kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya.
Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan
rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala,
maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini
dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.
Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a.
“Malam
ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah
datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan
kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi
rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”
Hari
nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama
setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.
Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula
sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb
Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).
Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:
1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban)
1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban)
Solat sunat nisfu
sya'aban, 2 rakaat
Rakaat 1 : baca Al-Fatihah & surah Al-Qadar 1x
Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3x
2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya (15 Sya'aban)
i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah
ii) Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah
iii) Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman & pohonlah segala yang baik.
Kemudian baca Istighfar 11x & selawat 11x Baca doa nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk)
3. Baca surah ikhlas 1000x
4. Berpuasa pada siangnya
Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama2 malam Nisfu Syaaban sebanyak 22.
Antaranya yg termasyhur adalah:
1. Malam Dimustajabkan Doa
2. Malam Pembahagian Takdir
3. Malam Rahmat
4. Malam Berkat
5. Malam Pengampunan (Taubat)
6. Malam Penebusan
7. Malam Syafaat
8. Malam Penulisan
9. Malam Keagungan dan Kemuliaan
10. Malam Rezeki
11. Malam Hari Raya Para Malaikat
12. Malam Penghidupan
FADHILAT BULAN SYAABAN
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
- Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana
yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar
untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan
yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda
mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan
mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Barangsiapa
berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada
pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala
mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti
orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
- Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita
sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan
berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.:
"Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah,
taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah
Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu
dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
- Bertaubat
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:
"Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban,
diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan
Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti
pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan
puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.”
Sabda Nabi s.a.w.:
“Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban,
kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka
di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.
PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN
Mengenali
bulan Syaaban tanpa mengetahui peristiwa penting yang berlaku di bulan
Syaaban terasa tidak lengkap. Terdapat beberapa peristiwa penting yang
berlaku sepanjang bulan Syaaban. Antaranya ialah malam Nisfu Syaaban,
penukaran arah kiblat, dan peperangan bani Mustaliq.
Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para
hambaNya dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan
tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas
dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga
adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan
usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk
kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan.
Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah
peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum
datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa
senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit
dan masa hidup sebelum datangnya mati.
No comments:
Post a Comment