Thursday, August 2, 2012

Adap-Adap Berpuasa Ramadhan


السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini... mari kira sama-sama meneliti Adap-Adap Berpuasa...

HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: “Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan.”
Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.
Ulama Salaf berkata: “Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa.”
Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.
Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.
Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (riwayat Muslim).
Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.
Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.
Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.
Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka.

Kita juga dianjurkan untuk memenuhi adap-adap lain ketika berpuasa seperti:

1. Berbuka apabila masuk waktu maghrib.
Diriwayatkan dari Umar bin al-khattab RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila malam sudah tiba dari arah sini dan siang telah pergi dari arah sini, sedang matahari sudah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

 2. Mendahulukan makan dari solat Maghrib.
Diriwayatkan dari Anas, ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila makan malam telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat Maghrib, janganlah mendahulukan solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

3. Mempercepatkan waktu berbuka.
Diriwayatkan dari Sahal bin Sa’ad: Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: Manusia (Umat Islam) masih dalam keadaan baik selama mentakjilkan (menyegerakan) berbuka.(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

4. Berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (kurma basah) sebelum solat.
Diriwayatkan dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW berbuka dengan makan beberapa ruthaab sebelum solat, kalau tidak ada maka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.(Hadis riwayat Abu Daud & al-Hakim)

5. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.
Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”.
(Hadis riwayat al-Baihaqi & Ibnu Khuzaimah)

6. Membaca doa berbuka puasa. Doanya adalah seperti berikut:
Allahumma laka somtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin

Maksudnya: Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.

7. Tidak makan dengan sifat tamak dan gelojoh. Seharusnya kita menghayati doa yang kita baca sebelum berbuka yang mana kita dapat berbuka puasa dengan rahmat Allah dan apa yang dimakan adalah rezeki dariNya. Kita perlu bersyukur dengan pemberiannya. Sebaik-baiknya makanlah sekadar yang perlu agar ianya tidak memudaratkan diri dan mengganggu kita menjalani ibadah pada sebelah malam.

8. Mengelakkan pembaziran dalam penyediaan juadah berbuka. Salah satu daripada hikmah difardhukan ibadah puasa adalah supaya kita dapat berjimat cermat. Tidak seharusnya kita berbelanja besar semata-mata untuk menyediakan juadah berbuka. Adalah lebih afdhal sekiranya sebahagian peruntukkan yang ada digunakan untuk bersedekah.

Semoga kita dilimpahi dengan keberkatan dan mencapai tahap ketaqwaan melalui ibadah puasa ini...Insya'Allah... 

No comments: