Di lorong nan indah ini,kita berkongsi sedikit ilmu dan rasa agar laluan berwarna warni ini mampu kita tempuhi dengan penuh keimanan dihati... Apa yang tertulis di blog ini adalah sedikit kisah kehidupan saya. Apa yang terkesan di hati saya dan peringatan kepada diri saya sendiri dalam usaha memperbaiki diri. Ada yang saya tulis dan ada juga yang saya ambil dan kongsi dari penulis lain. Semoga bermanfaat kepada semua...InsyaAllah
Thursday, July 18, 2013
Mengapa Ada Rasa Dengki...??
Assalamualaikum.....
Terbawa-bawa dengan kisah perasaan hasad dengki yang berlaku dipersekitaran saya kebelakangan ini..... di bulan yang mulia pun masih lagi ada orang yang tidak luntur rasa dengki terhadap orang lain.... Tak faham betul..... Jom kita tambah sedikit ilmu mengenai DENGKI ni dengan membaca kisah DENGKI yang saya ambil daripada : http://facebook.com/mfadli11
SEJARAH DENGKI....
Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir.
Rasulullah ﷺ bersabda; bermaksud: “Sesungguhnya pada nikmat Allah ta’ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah.”
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi ﷺ bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (HR Abu Daud - 4257)
Sabda Nabi ﷺ, ·“Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan hasad dengki.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi).·
Takrif hasad dengki
Imam Nawawi menulis di dalam Riyadhussolehin tentang apa itu hasad, ”Seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini disebut orang dengki.”
Menurut Imam Ghazali, tahap kedengkian itu ada tiga jenis, iaitu:
1. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan ia dapat menggantikannya.
2. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang, sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil bahawa dirinya akan dapat menggantikannya atau memang bukan mudah memperolehinya atau sebab-sebab yang lain. Pokoknya, asalkan orang itu jatuh, ia gembira. Ini adalah lebih jahat dari kedengkian yang pertama.
3. Dia tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang, tetapi ia benci kalau orang itu akan melebihi kenikmatan yang dimilikinya sendiri. Inipun terlarang, sebab jelas dia tidak redha dengan apa-apa yang telah dikurniakan oleh Allah.
Keadaan orang berhasad dengki
Orang yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram. Dia bukan sahaja dimurkai oleh Allah SWT, malah pemikirannya juga sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Sifat dengki akan mewujudkan permusuhan. Manusia seperti ini sentiasa merasakan dialah yang terbaik, jadi dia akan gelisah jika ada orang lain melebihinya.
Paling hina sekiranya dengki itu menyebabkan dorongan kepadanya melakukan sesuatu tindakan semata-mata untuk menjatuhkan orang lain, seterusnya boleh mengundang sifat mazmumah yang lain seperti fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan lain-lain. Malah tidak hairan jika sifat dengki juga boleh mengakibatkan pembunuhan. Semua kejahatan ini akan wujud ekoran dari perasaan hasad dengki selagi ianya tidak dijauhkan.
Firman Allah SWT, “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.” (Al-Falaq: 5)
Hampir semua orang dihinggapi penyakit hasad dengki. Cuma bezanya banyak atau sedikit, bertindak atau tidak. Hatta ulama-ulama pun terkena penyakit ini bahkan lebih berat lagi, hingga di dalam hadis ada dinyatakan, salah satu sebab dari golongan yang masuk neraka itu ialah ulama kerana hasadnya.
Allah SWT menjelaskan tentang orang-orang yang hasad dengki dalam surah Muhammad ayat 29-30:
Patutkah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya)? (Muhammad: 29)
Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan. (Muhammad: 30)
Akibat hasad dengki
1. Merosakkan amalan ketaatan
Dari Abu Hurairah r.a, Nabi ﷺ bersabda: "Jauhi olehmu sekalian akan sifat hasad, kerana sesungguhnya hasad itu menghapuskan beberapa kebaikan ibarat api memakan kayu api dan rumput." (Bukhari dan Muslim)
2. Mendorong melakukan kedurhakaan
Orang yang bersifat hasad (dengki) tidak akan terlepas dari perbuatan memburuk-burukkan orang lain, berdusta, mencaci dan mengumpat. Dari Dhamrah bin Tsa'labah: "Tentu sahaja orang-orang itu baik, selama mana mereka itu tidak saling dengki-mendengki" (Thabrani)
3.Terhalang dari mendapat syafaat
Dari Abdullah bin Basyar, dari Nabi ﷺ:
"Tidaklah termasuk golonganku, si pendengki, orang yang mengadu domba, orang yang mengamalkan ilmu tenung, dan sayapun tidak dari golongan mereka."
Kemudian baginda membaca ayat yang bermaksud: "Orang-orang yang menyakiti hati orang mukmin lelaki mahupun wanita dengan apa-apa yang mereka tidak lakukan (tuduhan palsu), maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan kedustaan dan dosa yang nyata." (Thabrani)
4. Masuk Neraka
Dari Umar dan Anas bin Malik r.a, Nabi ﷺ bersabda:
"Ada enam macam orang yang akan masuk neraka sebelum dihisab, oleh sebab enam jenis perbuatan." Siapakah mereka ya Rasulullah? Baginda menjawab:
1. Para penguasa, kerana tindakan aniaya mereka,
2. Orang Arab oleh sebab sifat asabiyahnya,
3. Para penjajah kerana keangkuhannya,
4. Para pedagang, kerana perbuatan khianat mereka,
5. Orang kampung kerana kebodohannya,
6. Para ulama oleh sebab sifat dengki mereka. (Riwayat Dailamy)
5. Berbuat sesuatu yang akan membahayakan orang lain.
Allah SWT menyarankan agar memohon kepadaNya perlindungan dari kejahatan Syaitan dan kejahatan pendengki.
Firman Allah bermaksud: "Dan dari kejahatan si pendengki apabila dia mendengki" (Al Falaq: 5)
Nabi ﷺ bersabda: "Mintalah pertolongan atas terlaksananya beberapa keperluanmu dengan sembunyi-sembunyi, kerana sesungguhnya tiap-tiap yang mendapat nikmat itu didengki"
6. Menghadapi kesulitan hidup dan bergelumang dengan dosa dan durhaka.
Berkata Ibnus Sammaki: "Saya belum pernah melihat orang yang aniaya, seperti orang yang dianiaya oleh orang yang berbuat dengki, iaitu sulit, fikirannya bingung serta selalu susah."
7. Hati menjadi buta.
Seorang yang hasad dengki seakan tidak dapat memahami hukum Allah lagi asalkan dia dapat melaksanakan kedengkiannya seperti tindakan Qabil membunuh Habil. Berkata Sufyan: "Janganlah engkau menjadi orang yang pendengki serta cepat mengambil kesimpulan."
8. Selalu gagal dalam hidup.
Kata hukama': Orang yang pendengki itu tidak akan jadi pemimpin (selalu menemui kegagalan).
Apakah ada hasad di dalam diri kita?
Tanda adanya hasad dengki dalam diri kita ialah apabila orang lain dapat kejayaan kita sakit hati dan orang lain dapat bencana kita senang hati. Jiwa sentiasa rasa menderita dan terseksa.
Bila wujud hasad dengki dalam diri, akan berlakulah hina menghina, fitnah memfitnah, benci membenci, dendam-mendendam, jahat sangka dan mengadu domba yang semuanya akan mendatangkan dosa-dosa dan menghapuskan kebaikan lainnya. Mungkin ada sedikit kebaikan yang pernah kita buat, semuanya akan terhapus dengan cepat umpama api membakar kayu api atau rumput.
Seseorang yang melayan hasad dengkinya adalah penjahat dan perosak serta pemecah-belah persaudaraan antara manusia. Juga dia seorang yang paling biadab dengan Allah SWT. Sama ada dia sedar atau tidak, dia benci kepada Allah, serta tidak syukur dan redha dengan pemberian Allah.
Dalam sejarah umat Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya. Mereka menaruh hasad dengki kepada beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti pengajiannya. Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara. Tetapi dengan izin Allah, Allah S.W.T. membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata dan beliau dibebaskan.
Kisah ini mengingatkan kepada sebuah hadis, yang menerangkan bukan mudah untuk diiktiraf sebagai ulama, "Kamu tidak akan menjadi seorang ulama hingga ada tiga hal dalam dirimu: Kamu tidak dengki terhadap orang yang (keilmuannya) di atasmu, dan kamu tidak meremehkan orang yang (keilmuannya) ada di bawah kamu, serta kamu tidak mengambil (mencari) dunia dengan ilmu kamu". (HR Ad-Darimi-294)
Walau setinggi mana ilmunya, sebanyak mana sekalipun solatnya, puasanya, hajinya dan hebat perjuangannya tetapi di sisi Allah tetaplah dia ahli Neraka, kerana hakikat orang yang berhasad dengki itu orang yang biadap dengan Allah.
Kalau betul kita beriman kepada Allah dan takutkan Neraka, insaflah akan kejahatan hati-hati kita itu dan marilah kita membaikinya dengan melakukan mujahadatunnafsi. Lawanlah sungguh-sungguh sifat mazmumah itu.
Kalau betul kita beriman kepada Allah dan takutkan Neraka, insaflah akan kejahatan hati-hati kita itu dan marilah kita membaikinya dengan melakukan mujahadatunnafsi. Lawanlah sungguh-sungguh sifat mazmumah itu.
Mengatasi hasad dengki
Di antara langkah-langkah yang mesti kita lakukan sebagai mujahadah terhadap hasad dengki ialah:
1. Setiap kali orang yang kita dengki itu apabila beroleh kejayaan, kita kunjungilah dia untuk mengucap tahniah dan bergembira bersamanya. Sebaliknya apabila orang itu mendapat bencana atau musibah, kita kunjungi pula untuk mengucapkan takziah dan tumpang bersedih bersamanya.
2. Sanjung dan pujilah kebaikan dan keistimewaan orang yang kita hasad dengki itu di belakangnya dan kalau ada kesalahan dan keburukannya kita rahsiakan.
3. Selalulah ziarah dan beri hadiah pada orang yang kita dengki itu. Saling berhadiah itu melahirkan kasih sayang dan menjauhkan permusuhan.
4. Kalau ada orang cuba menjatuhkan orang yang kita dengki itu, kita pertahankan dia. Jangan layan orang (atau syaitan) yang hendak merosakkan mujahadah kita.
5. Berdoalah selalu pada Allah SWT agar memudahkan kita mengubat penyakit dengki yang amat bahaya dalam diri kita itu.
Ingatlah selalu janji Allah SWT, "Dan mereka yang berrnujahadah pada jalan Kami nescaya Kami tunjuki jalan-jalan Kami itu." (Al Ankabut: 69)
Timbul hasad dengki kita pada seseorang ialah kerana orang itu mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang mengatasi apa yang ada pada diri kita. Bila kita terasa orang itu telah mengalahkan kita dalam perjuangan, perlumbaan atau perniagaan maka datanglah dengki itu.
Sepatutnya tidak ada hasad dengki. Kalau kita beriman dengan Allah, yakin akan keadilan-Nya mengatur pemberian kepada hamba-hamba-Nya, kita tidak akan berdengki-dengkian lagi.
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan/irihati (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (An-Nisa':32)
Allah yang melebih dan mengurangkan pemberian-Nya kepada seseorang. Dan Allah adalah adil atas pemberian lebih dan kurang itu. Dia bermaksud menguji kita. Siapa yang sedar dirinya sebagai hamba-Nya, lalu akan sentiasa bersyukur pada nikmat yang diperolehi, redha dengan taqdir dan sabar menghadapi ujian.
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (Al-Mulk: 2)
Kalau Allah lebihkan seseorang itu dari kita, ertinya Allah mahu menguji kita sama ada sabar dan redhakah kita dengan kekurangan yang Allah takdirkan. Dan kalau Allah lebihkan kita dari seseorang, ertinya Allah mahu menguji kita, bersyukurkah kita terhadap nikmat itu atau sebaliknya sombong, bongkak, dan lupa diri sebagai hamba Allah.
Kalau begitu apa perlu hasad dengki? Kalau hasad dengki juga ertinya kita tidak redha dengan Allah. Kita tidak senang dengan peraturan-Nya dan kita tidak menerima kehendak-Nya. Sebab itu orang yang hasad bukan sahaja bermusuh dengan orang yang dihasadkan itu tetapi juga bermusuh dengan Allah. Biadab dengan manusia dan biadab dengan Allah maka layaklah menjadi ahli Neraka.
Antara orang yang hasad dan orang yang kena hasad, yang susah ialah orang yang hasad, lebih-lebih lagi apabila yang dihasad mendapat kejayaan.
Jika kita didengki
Kita boleh memilih antara empat cara ini:
1. Membalas semula kejahatan dengan kejahatan.
Cara ini pastinya bukan cara yang terbaik, malah akan memburukkan keadaan, serta akan terjadi permusuhan yang berpanjangan.
2. Berdiam diri. Tidak perlu membalas, hanya perlu bersabar. Tetapi cara ini amat sukar untuk dibuat. Terpaksa memendam perasaan yang sangat sakit, kecuali jika seseorang itu sudah redha dengan segala ketentuan Allah.
3. Membalas kejahatan kedengkian itu dengan kebaikan. Mampukah kita berbaut baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita? Orang dengki kita, kita beri dia hadiah. Orang susahkan kita, kita tolong dia kembali. Ibarat kalau orang lempar kita dengan najis, kita lempar semula dengan minyak wangi. Sedangkan untuk berbuat baik kepada orang yang amat baik kepada kitapun teramat payah, inikan pula kepada orang yang berlaku jahat kepada kita.
4. Doakan mereka agar diberi hidayah oleh Allah, serta akan insaf dan beriman.
Semoga kita dijauhkan daripada mempunyai perasaan dengki...dan mereka2 yang mempunyai perasaan dengki terhadap kita.....
Ya Allah...
Sesungguhnya ku mohon kemaafan di atas segala salah dan silap ku.... moga diampuni juga segala dosa hambamu yang masih punya rasa dengki....limpahkanlah hidayahmu kepada mereka...
Ya Rabb...
sucikanlah hatiku dari setiap kesempitan... Permudahkanlah urusanku pada setiap jalan... Ameen
~ PERBAIKI DIRI... SUCIKAN HATI... ~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment