~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.tHari ini saya berkesempatan mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Zawiyah binti Hassan yang bertajuk Wanita sebagai isteri, ibu dan idola kepada ahli keluarganya yang diadakan di Dewan Serbaguna tingkat 9 Blok E12, Parcel E, Putrajaya.
Antara isi kandungan ceramah selama 1jam 30 minit tersebut ialah:
Wanita merupakan makhluk yang diangkat martabatnya dalam Islam. Jadi untuk menjadi seorang wanita yang mampu menjadi idola dalam keluarga haruslah mempertingkatkan martabat di mata suami dan anak-anak dengan memelihara solat.
Solat merupakan suatu bentuk perhubungan antara hamba dengan Penciptanya. Sekiranya kita menghormati hubungan kita dengan Pencipta tentu hubungan sesama makhluk yang diciptakan tiada lagi masalah kerana sesiapa yang memelihara solat, solat itu akan menjadi cahaya baginya yang merupakan petunjuk ke jalan yang selamat.
Untuk menjadikan seseorang wanita itu sebagai seorang idola, dia perlu ada ciri-ciri isteri solehah. Antaranya:
- Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.
- Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga.
- Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya.
- Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.
- Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang
ramai.
Selain daripada itu, wanita juga perlu mempunyai akhlak dan ilmu dalam membentuk institusi keluarga yang kukuh dan bahagia. Jadi sebagai seorang wanita, kita perlu bijak mencari ruang dan peluang + izin suami masing-masing agar dapat menambah ilmu keduniaan dan akhirat agar dapat membantu ahli keluarga kita seimbang dunia dan akhirat.
Wanita juga harus menjaga kesihatan untuk menjamin kestabilan dan kerukunan sesebuah keluarga. Kita disarankan agar berikhtiar menyembuhkan segala kesakitan agar penyakit tidak merebak dan merosakkan kebahagiaan keluarga. Wanita juga harus bijak merancang pemakanan ahli keluarga agar semua ahli keluarga berada dalam keadaan sihat sentiasa.
Sebagai kesimpulan daripada ceramah ini, kebahagiaan dan kesejahteraan sesebuah keluarga bertitik tolak dari seorang wanita yang berperanan sebagai isteri, ibu dan idola dalam keluarganya. Jadi wahai rakanku... ayuhlah kita terus menjadi wanita yang berjaya, isteri yang solehah yang mampu menjadi idola kepada anak-anak.
No comments:
Post a Comment