السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Di pagi Jumaat yang mendamaikan.... bersama rintik hujan membawa seribu rahmat kepada alam.... ingin saya berkongsi satu ilmu yang telah terlebih dahulu diemailkan kepada saya oleh seorang pegawai di jabatan saya (Encik Adnan bin Husin - Thanks boss... semoga diberkati Allah)
Sahabat yang dirahmati Allah.
Di bawah ini dipetik dua tajuk dari kitab Riyadhus Sholihin karangan Imam Nawawi r.a. sebagai peringatan kpd kita tentang hubungan kita dengan Allah S.w.t. dan sesama saudara Islam kita. Adakah kita sudah cukup sayang atau cinta kepada sesama saudara Islam kita?
Sebagai contoh, jika kita mengajak orang lain kepada kebaikan, adakah kita mengajak dia kerana kita sayang kepadanya atau kerana kita mahu tunjuk kita baik dan benci kepada mereka-mereka yang tidak mendengar kata-kata kita? Sehingga masing-masing mendabik dada mengatakan bahawa cara dia sahaja yang betul dan bersikap terlampau keras terhadap sesama Islam walaupun hanya berbeza pendapat dalam perkara cabang.
Begitu juga halnya dengan kekeluargaan, adakah kita lupa bahawa setiap mukmin dan muslim itu bersaudara? Maka mengapa kebanyakan dari kita sekarang ini masih lagi berpegang kepada keluargaku keluargaku, keluargamu keluargamu? Lupakah bahawa kita semua berasal dari Nabi Adam a.s dan Hawa a.s? Kita hanya bergotong royong dan bermuafakat sesama saudara apabila mengadakan kenduri dan majlis-majlis tertentu sahaja. Tetapi mengapa masing-masing tidak cuba untuk menyelesaikan masalah masing-masing sepertimana jika keluarga kita sendiri yang menghadapi masalah? Sememangnya kita sudah terdidik dari zaman dahulu lagi iaitu terkurung dengan keluarga pertalian darah yang dekat semata-mata dan terpisah dari saudara-saudara lain. Tiada lagi ukhuwwah Islamiyyah yang sebenar-benarnya.
Kerana apa? Kerana masing-masing terlalu sibuk mengejar urusan dunia, projek sana projek sini, bisnes sana bisnes sini, mana la cukup masa untuk memikirkan tentang semua ini. Sedangkan ramai saudara-saudara kita diluar sana yang terpinggir, tersisih dan terbengkalai. Apa yang masing-masing kita kejar sangat di dunia yang sementara ini sebenarnya?
“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadith Riwayat Bukhari
“Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” Hadith Riwayat Bukhari
1 – Keutamaan Mencintai Kerana Allah Dan Menganjurkan Sikap Sedemikian, Juga Memberitahukannya Seseorang Kepada Orang Yang Dicintainya Bahawa Ia Mencintainya Dan Apa Yang Diucapkan Oleh Orang Yang Diberitahu Sedemikian Itu.
Allah Ta’ala berfirman:
“Muhammad adalah Rasulullah dan orang-orang yang beserta Muhammad itu mempunyai sikap keras (tegas) terhadap kaum kafir, tetapi saling kasih-mengasihi antara sesama kaum mu’minin…….” Surah al-Fath : 29
Allah Ta’ala berfirman pula:
“Dan orang-orang yang telah lebih dulu dari mereka bertempat tinggal dalam kampung – Madinah – serta beriman, mereka menunjukkan kasih-sayang kepada orang yang berpindah ke kampung mereka itu.” (al-Hasyr: 9)
Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
“Ada tiga perkara, barangsiapa yang tiga perkara itu ada di dalam diri seseorang, maka orang itu dapat merasakan manisnya keimanan iaitu:
1) jikalau Allah dan RasulNya lebih dicintai olehnya daripada yang selain keduanya,
2) jikalau seseorang itu mencintai orang lain dan tidak ada sebab kecintaannya itu melainkan kerana Allah, dan
3) jikalau seseorang itu membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya kalau dilemparkan ke dalam api neraka.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Ada tujuh macam orang yang akan dapat diberi naungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari tiada naungan melainkan naunganNya (yakni pada hari kiamat), iaitu:
1) imam – pemimpin atau kepala – yang adil,
2) pemuda yang membesar (sejak kecil) dalam beribadat kepada Allah Azza wa jalla,
3) seseorang yang hatinya tergantung kepada masjid-masjid,
4) dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah, keduanya berkumpul atas keadaan yang sedemikian serta berpisah pun demikian pula,
5) seseorang Ielaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan serta kecantikan wajah ataupun sebaliknya yakni yang diajak itu ialah wanita oleh seorang Ielaki, lalu ia berkata:
“Sesungguhnya saya ini takut kepada Allah,”
6) seseorang yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu (tidak menampak-nampakkannya), sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya
dan
7) seseorang yang ingat kepada Allah di dalam keadaan sepi lalu melelehkan airmata dari kedua matanya.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman pada hari kiamat: “Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka itu akan saya beri naungan pada hari tiada naungan melainkan naunganKu sendiri.” (Riwayat Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, engkau semua tidak dapat masuk syurga sehingga engkau semua beriman dan engkau semua belum disebut beriman sehingga engkau semua saling cinta-mencintai. Sukakah engkau saya beri petunjuk pada sesuatu yang apabila itu engkau semua lakukan, maka engkau semua dapat saling cinta-mencintai? Sebarkanlah ucapan salam antara engkau semua.” (Riwayat Muslim)
Dari Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang Ielaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan,” kemudian dihuraikannya Hadis itu sampai kepada sabdanya: “Sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah.” (Riwayat Muslim)
Dari Albara’ bin ‘Azib radhiallahu’anhuma dari Nabi s.a.w. bahawasanya beliau bersabda mengenai golongan sahabat Anshar:
“Tidak mencintai kaum Anshar itu melainkan orang mu’min dan tidak membenci mereka itu melainkan orang munafiq; barangsiapa yang mencintai mereka, maka ia dicintai oleh Allah dan barangsiapa membenci mereka, maka mereka dibenci oleh Allah.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Mu’az r.a., katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Allah ‘Azzawajalla berfirman:
“Orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagunganKu, maka mereka itu akan memiliki mimbar-mimbar dari cahaya yang diinginkan pula oleh para nabi dan para syahid (mati dalam peperangan untuk membela agama Allah).”
Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
Dari Abu ldris al-Khawlani rahimahullah, katanya: “Saya memasuki masjid Damsyik, tiba-tiba di situ ada seorang pemuda yang bercahaya giginya – yakni suka sekali tersenyum – dan sekalian manusia besertanya.
Jikalau orang-orang itu berselisih mengenai sesuatu hal, mereka lalu menyerahkan persoalan itu kepadanya dan mereka mengeluarkan huraian dari pendapatnya, kemudian saya bertanya mengenai dirinya, lalu menerima jawapan: “Ini adalah Mu’az bin Jabal. Setelah hari esoknya, saya datang pagi-pagi sekali, lalu saya dapati Mu’az sudah mendahului saya datang paginya. Ia saya temui sedang bersembahyang. Kemudian saya menantikannya sehingga ia menyelesaikan shalatnya.
Seterusnya saya pun mendatanginya dari arah mukanya, lalu saya mengucapkan salam padanya, kemudian saya berkata: “Demi Allah, sesungguhnya saya ini mencintaimu kerana Allah.” Ia berkata: “Kerana Allahkah?” Saya menjawab: “Ya, kerana Allah.” Ia berkata: “Kerana Allah?” Saya menjawab: “Ya, kerana Allah.” Mu’az lalu mengambil belitan selendangku, kemudian menarik tubuhku kepadanya, terus berkata: “Bergembiralah engkau, kerana sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman – dalam Hadis Qudsi: “Wajiblah kecintaanKu itu kepada orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana Aku, duduk-duduk bersama kerana Aku, saling ziarah-menziarahi kerana Aku dan saling hadiah-menghadiahi kerana Aku.”
Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Almuwaththa’ dengan isnadnya yang shahih.
Sabda Nabi s.a.w.: Hajartu ertinya berpagi-pagi sekali mendatangi, ini adalah dengan syaddahnya jim. Sabdanya s.a.w.: Aallahi, faqultu: Allah. Yang pertama dengan hamzah mamdudah untuk istifham – pertanyaan, sedang yang kedua tanpa mad.
Dari Abu Karimah iaitu al-Miqdad – di sebagian naskhah disebut al-Miqdam-bin Ma’dikariba r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:
“Jikalau seseorang itu mencintai saudaranya, maka hendaklah memberitahukan pada saudaranya itu bahawa ia mencintainya.”
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Tirmidzi dan Tirmidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.
Dari Mu’az r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengambil tangannya dan bersabda:
“Hai Mu’az, demi Allah, sesungguhnya saya ini mencintaimu. Kemudian saya hendak berwasiat padamu hai Mu’az, iaitu: Janganlah setiap selesai shalat meninggalkan bacaan – yang ertinya:
Ya Allah, berilah saya pertolongan untuk tetap mengingatMu serta bersyukur padaMu, juga berilah saya pertolongan untuk Beribadat yang sebaik-baiknya padaMu.”
Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Nasa’i dengan isnad shahih.
Dari Anas r.a. bahawasanya ada seorang lelaki yang berada di sisi Nabi s.a.w., lalu ada seorang lelaki lain berjalan melaluinya, lalu orang yang di dekat beliau berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya saya mencintai orang ini.” Nabi s.a.w. bertanya: “Adakah engkau sudah memberitahukan padanya tentang itu?” Ia menjawab: “Tidak – belum saya beritahukan.” Nabi s.a.w. bersabda: “Beritahukanlah padanya.” Orang yang bersama beliau s.a.w. lalu menyusul orang yang melaluinya tadi, lalu berkata: “Sesungguhnya saya mencintaimu.” Orang itu lalu menjawab: “Engkau juga dicintai oleh Allah yang kerana Allah itulah engkau mencintai aku.”
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad shahih.
2 – Tanda-tanda Kecintaan Allah Kepada Seseorang Hamba Dan Anjuran Untuk Berakhlak Sedemikian Serta Berusaha Menghasilkannya
Allah Ta’ala berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad), jikalau engkau semua mencintai Allah, maka ikutilah saya, tentu engkau semua dicintai oleh Allah, serta Allah mengampuni dosamu semua dan Allah itu adalah Maha Pengampun lagi Penyayang,” (ali-lmran: 31)
Allah Ta’ala berfirman pula:
“Hai sekalian orang yang beriman, siapa yang bermurtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan kaum yang dicintai olehNya dan mereka pun mencintaiNya. Mereka itu bersikap lemah-lembut kepada kaum mu’minin dan bersikap keras terhadap kaum kafirin. Mereka berjihad fi sabilillah dan tidak takut celaan orang yang suka mencela. Demikian itulah keutamaan Allah, dikurniakan olehNya kepada siapa yang dikehendakiNya dan Allah adalah Maha Luas kurniaNya serta Maha Mengetahui.” (al-Maidah: 54)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman – dalam Hadis Qudsi: “Barangsiapa yang memusuhi kekasihKu, maka Aku memberitahukan padanya bahawa ia akan Kuperangi – Kumusuhi. Tidaklah seseorang hambaKu itu mendekat padaKu dengan sesuatu yang amat Kucintai lebih daripada apabila ia melakukan apa-apa yang telah Kuwajibkan padanya. Tidaklah seseorang hambaKu itu mendekat padaKu dengan melakukan hal-hal yang sunnah, sehingga akhirnya Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, maka Akulah telinganya yang ia pakai untuk mendengarkan, Akulah matanya yang ia pakai untuk melihat, Akulah tangannya yang ia pakai untuk mengambil dan Aku pulalah kakinya yang ia pakai untuk berjalan. Jikalau ia meminta sesuatu padaKu, pasti Kuberi dan jikalau ia mohon perlindungan padaKu, pasti Kulindungi.” (Riwayat Imam Bukhari)
Makna lafaz Aadzantuhu ertinya: “Aku (Tuhan) memberitahukan kepadanya (yakni orang yang mengganggu kekasihKu itu) bahawa aku memerangi atau memusuhinya, sedang lafaz Ista’aadzanii, ertinya “Ia memohonkan perlindungan padaKu.” Ada yang meriwayatkan dengan ba’, lalu berbunyi Ista-aadza bii dan ada yang meriwayatkan dengan nun, lalu berbunyi Ista-aadzanii.
Keterangan:
Hadis sebagaimana di atas itu sudah tercantum dalam no. 85 dengan huraian sekadarnya. Namanya Hadis Qudsi yakni yang menyatakan firman-firman Allah selain yang tercantum dalam al Quran. Dalam Hadis ini dijelaskan betapa tingginya darjat seseorang itu apabila telah diakui sebagai kekasih oleh Allah Ta’ala atau yang lazim disebut waliullah.
Banyak orang yang salah pengertian perihal siapa yang dapat disebut waliullah (wali Allah) itu. Sebahagian ada yang mengatakan bahawa waliullah ialah seperti dukun yang dapat menyembuhkan beberapa orang sakit atau yang dapat meneka nasib seseorang di kemudian harinya, atau orang yang tidak mudah ditemui kerana selalu menghilang-hilang saja dan siapa yang ditemui olehnya adalah orang yang bahagia, dan bahkan ada yang mengatakan bahawa waliullah itu tidak perlu bersembahyang dan berpuasa sebab sudah menjadi kekasih Allah. Persangkaan bagaimana di atas itu tidak benar, sebab memang tidak sedemikian itu sifatnya waliullah.
Maka yang lebih dulu perlu kita ketahui ialah: Siapakah yang sebenarnya dapat disebut waliullah atau kekasih Allah itu? Jawabnya: Dalam al-Quran, Allah berfirman:
“Tidak ada yang dianggap sebagai kekasih Allah, melainkan orang-orang yang bertaqwa kepadaNya.”
Alangkah ringkasnya pengertian waliullah itu, tetapi benar-benar dapat menyeluruhi semua keadaan.
Kalau ada pengertian waliullah selain yang difirmankan oleh Allah sendiri itu, jelaslah bahawa itu hanyalah penafsiran manusia sendiri dan tidak berdasarkan kepada agama sama sekali. Waliullah yang berupa orang-orang yang bertaqwa kepada Allah itulah yang dijamin oleh Allah akan mendapatkan perlindungan dan penjagaanNya selalu dan siapa saja yang hendak memusuhinya, pasti akan ditumpas oleh Allah, sebab Allah sendiri menyatakan permusuhan terhadap orang tadi.
Sekarang bagaimanakah taraf pertamanya agar supaya kita dikasihi oleh Allah?
Jawabnya: Mendekatkan (bertaqarrublah) kepada Allah dengan penuh melakukan segala yang difardhukan (diwajibkan). Inilah cara taqarrub yang sebaik-baiknya dalam taraf permulaan. Kemudian sempurnakanlah taqarrub kepada Allah Ta’ala itu dengan jalan melakukan hal-hal yang sunnah-sunnah. Kalau ini telah dilaksanakan, pastilah Allah akan menyatakan kecintaanNya.
Selanjutnya, apabila seseorang itu telah benar-benar bertaqarrub kepada Allah dan Allah sudah mencintainya, maka baik pendengarannya, penglihatannya, tindakan tangan dan kakinya semuanya selalu mendapatkan petunjuk dari Allah, selalu diberi bimbingan dan hidayah serta pertolongan oleh Allah.
Bahkan Allah menjanjikan kalau orang itu meminta apa saja, pasti dikabulkanNya, mohon perlindungan dari apa saja, pasti dilindungiNya. Dengan demikian, maka seringkali timbullah beberapa macam karamah dengan izin Allah.
Karamah ialah sesuatu yang nampak luar biasa di mata umum yang dapat dilakukan oleh seseorang waliullah itu, semata-mata sebagai suatu kemuliaan atau penghargaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Tetapi ingatlah bahawa tidak seorang waliullah pun yang dapat mengetahui bahawa dirinya itu menjadi waliullah.
Kalau seseorang sudah mengatakan sendiri bahawa dirinya itu waliullah, jelaslah bahawa ia telah tertipu oleh anggapan atau persangkaannya sendiri dan sudah pasti ia telah tertipu oleh ajakan syaitan yang menyesatkan.
Selain itu, bagaimana juga hal-ehwal dan keadaan seseorang waliullah itu, pasti ia tidak dapat mengetahui hal-hal yang ghaib, misalnya mengetahui apa yang tersimpan dalam hati orang lain, mengetahui nasib orang di kemudian harinya, kaya miskinnya dan lain-lain lagi.
Dalam al-Quran, Allah berfirman:
“Allah yang Maha Mengetahui perkara ghaib, maka tidak diberitahukanlah keghaiban-keghaiban itu kepada siapa pun jua, selain kepada Rasul yang dipilih olehNya.”
Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya:
“Jikalau Allah Ta’ala itu mencintai seseorang hamba, maka Dia memanggil Jibril untuk memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu (hai Jibril) si Fulan itu. Jibril lalu mencintainya, kemudian ia mengundang kepada seluruh penghuni langit memberitahu bahawa Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua (hai penghuni-penghuni langit) si Fulan itu. Para penghuni langit pun lalu mencintainya. Setelah itu diletakkanlah penerimaan baginya (yang dimaksudkan ialah kecintaan padanya) di kalangan penghuni bumi.” (Muttafaq ‘alaih)
Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala apabila mencintai seseorang hamba, lalu memanggil Jibril kemudian berfirman: “Sesungguhnya Saya mencintai si Fulan, maka cintailah ia.” Jibril lalu mencintainya. Seterusnya Jibril memanggil pada seluruh penghuni langit lalu berkata: “Sesungguhnya Allah mencintai si Fulan, maka cintailah olehmu semua si Fulan itu.” Orang itu pun lalu dicintai oleh para penghuni langit. Selanjutnya diletakkanlah penerimaan (kecintaan itu baginya dalam hati para penghuni bumi.) Dan jikalau Allah membenci seseorang hamba, maka dipanggillah Jibril lalu berfirman: “Sesungguhnya Saya membenci si Fulan itu, maka bencilah engkau padanya.”Jibril lalu membencinya, kemudian ia memanggil semua penghuni langit sambil berkata: “Sesungguhnya Allah membenci si Fulan, maka bencilah engkau semua padanya.” Selanjutnya diletakkanlah rasa kebencian itu dalam hati para penghuni bumi.”
Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengirimkan seseorang untuk memimpin sepasukan tentera ke medan peperangan. Orang itu suka benar membaca untuk kawan-kawannya dalam shalat mereka dengan “Qulhu wallahu ahad” sebagai penghabisan bacaannya. Setelah mereka kembali, hal itu mereka sampaikan kepada Rasulullah s.a.w., lalu beliau bersabda: “Cuba tanyakanlah pada orang itu, mengapa melakukan yang semacam itu?” Mereka sama bertanya padanya, kemudian orang itu menjawab: “Sebab itu adalah sifatnya Allah yang Maha Penyayang, maka dari itu saya senang sekali membacanya.”
Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w. (setelah diberitahu jawapan orang itu): “Beritahukanlah padanya bahawasanya Allah Ta’ala mencintainya.” (Muttafaq ‘alaih)
Tamatlah di atas petikan dari kitab Riyadhus Sholihin.
Dalil-dalil lain lagi mengenai kecintaan Allah terhadap makhluk dan anjuran berkasih-sayang
Perkataan ‘AlHubb’ iaitu kasih sayang / cinta disebut sebanyak 88 kali di dalam AlQuran. Hanya sekali disebut cinta yang merujuk kepada cinta antara lelaki dan wanita, iaitu dalam Surah Yusuf, ayat 30, yang bermaksud ; ““Dan wanita-wanita di kota berkata: ‘Isteri Al-Aziz menggoda teruna (angkat)nya. Dia sudah dilamun cinta berahi. Kami berpendapat beliau terang-terang telah menyimpang.”
Para ulama telah membahagikannya kepada beberapa martabat. Yang tertinggi ialah cinta kepada Allah, Rasul, agama dan jihad fisabilillah. Ini disebut “Al-Hub ul A’la“. Orang yang menghayati cinta tertinggi ini redha berbuat apa sahaja demi Allah. Sebab itu, golongan yang mempunyai cinta tertinggi ini tidak akan memilih jalan yang tidak disukaiNya kerana Allah S.W.T berfirman, “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata.” Surah Al Ahzaab : Ayat 36
Juga Allah S.w.t berfirman yang maksudnya, “…..dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka mengikut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka.” Surah Al Maa-idah : Ayat 49
Cinta di tahap kedua disebut “Al-Hub Al-Ausat” atau cinta tahap pertengahan yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat dan sebagainya. Cinta seperti ini juga diperlukan dalam masyarakat manusia dan digalakkan oleh Allah S.W.T. Umpamanya mengasihi ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, saudara-mara dan sesama akan mewujudkan suasana rukun damai dan harmoni. Tanpa cinta dalam martabat ini, tidak mungkin sebuah keluarga akan mendapat kebahagiaan. Akibat daripada itu sudah pasti tidak akan ada zuriat yang dapat dilahirkan, dan tidak mungkin kukuh hubungan atau jalinan kemasyarakatan.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” Surah Ar-Ruum : Ayat 21
“Allah suka orang-orang yang berbuat baik.” Surah Al baqarah : Ayat 195
“Allah suka orang yang mengamalkan kebersihan.” Surah At Taubah : Ayat 108
“Allah suka orang yang berjuang di jalan-Nya.” Surah As Shaaf : Ayat 4
“Allah suka orang-orang yang adil.” Surah Al Mumtahanah : Ayat 8
”Dan berapa banyak nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.” Surah Aali Imran : ayat 146
“Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih disukai Allah daripada harum minyak kasturi.” Hadith riwayat Bukhari.
“Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain.” Hadis riwayat Muslim
“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.
Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” Hadith riwayat Ibnu Abi Dunya
“…dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Surah an-Nur : ayat 22
“… dan jika kamu maafkan dan kamu santuni serta ampuni (mereka), maka sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” Surah at-Taghaabun : 14
Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: “Di antara doa Nabi Daud ’alihis-salaam ialah: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat menghantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih ku cintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” Dan bila Rasulullah shollallahu ’alaih wa sallam mengingat Nabi Daud ’alihis-salaam beliau menggelarkannya sebaik-baik manusia dalam beribadah kepada Allah.” Hadith riwayat Tirmidzi
Doa Nabi Daud a.s dalam memohon cinta dari Allah S.w.t
Imam Ibnu Qayyim AlJauziyyah rahimahullah pernah berkata bahawa bahawa “cinta kepada Allah itu ibarat pohon dalam hati, akarnya adalah merendahkan diri di hadapan Dzat yang dicintainya, batangnya adalah mengenal nama dan sifat Allah, rantingnya adalah rasa takut kepada Nya, daunnya adalah rasa malu terhadap-Nya, buah yang dihasilkan adalah taat kepadaNya Dan penyiramnya adalah dzikir kepadaNya. Bila pun jika amalan-amalan tersebut berkurang maka berkurang pula lah mahabbahnya kepada Allah”.
Tahap-tahap menuju kepada cinta Allah menurut Imam Ibnu Qayyim;
1. Membaca al-Qur’an dengan merenung dan memahami kandungan maknanya sesuai dengan maksudnya yang benar. Itu tidak lain adalah renungan seorang hamba Allah yang hafal dan mampu menjelaskan al-Qur’an agar difahami maksudnya sesuai dengan kehendak Allah swt. Al-Qur’an merupakan kemuliaan bagi manusia yang tidak dapat ditandingi dengan kemuliaan apa pun. Ibnu Sholah mengatakan “Membaca Al-Qur’an merupakan kemuliaan, dengan kemuliaan itu Allah ingin memuliakan manusia di atas mahluk lainnya. Bahkan malaikat pun tidak pernah diberi kemuliaan seperti itu, malah mereka selalu berusaha mendengarkannya dari manusia”.
2. Taqarrub kepada Allah S.w.t, melalui ibadah-ibadah sunnah setalah melakukan ibadah-ibadah fardhu. Orang yang menunaikan ibadah-ibadah fardhu dengan sempurna mereka itu adalah yang mencintai Allah. Sementara orang yang menunaikannya kemudian menambahnya dengan ibadah-ibadah sunnah, mereka itu adalah orang yang dicintai Allah. Ibadah-ibadah sunnah untuk mendekatkan diri kepada Allah, diantaranya adalah: shalat-shalat sunnah, puasa-puasa sunnah, sedekah sunnah dan amalan-amalan sunnah dalam Haji dan Umrah.
3. Mengamalkan zikir kepada Allah dalam segala tingkah laku, melalui lisan, kalbu, amal dan perilaku. Kadar kecintaan seseorang terhadap Allah tergantung kepada kadar zikir kepadaNya. Zikir kepada Allah merupakan syiar bagi mereka yang mencintai Allah dan orang yang dicintai Allah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah aza wajalla berfirman :”Aku bersama hambaKu, selama ia mengingatKu dan kedua bibirnya bergerak (untuk berzikir) kepadaKu”.
4. Cinta kepada Allah melebihi cinta kepada diri sendiri. Mengutamakan cinta kepada Allah di atas cinta kepada diri sendiri, meskipun dibayangi oleh hawa nafsu yang selalu mengajak lebih mencintai diri sendiri. Ertinya ia rela mencintai Allah meskipun berisiko tidak dicintai oleh mahluk. Inilah darjat para Nabi, di atas itu darjat para Rasul dan di atasnya lagi darjat para rasul Ulul Azmi, lalu yang paling tinggi adalah darjat Rasulullah Muhammad S.a.w. sebab beliau mampu melawan kehendak dunia seisinya demi cintanya kepada Allah.
5. Kesinambungan musyahadah (menyaksikan) dan ma’rifah (mengenal) Allah s.w.t. Penglihatan kalbunya terarah kepada nama-nama Allah dan sifat-sifatNya. Kesedaran dan penglihatan kalbunya berkelana di taman ma’rifatullah (pengenalan Allah yang paling tinggi). Barang siapa ma’rifah kepada asma-asma Allah, sifat-sifat dan af’al-af’al Allah dengan penyaksian dan kesedaran yang mendalam, nescaya akan dicintai Allah.
6. Menghayati kebaikan, kebesaran dan nikmat Allah lahir dan batin akan menghantarkan kepada cinta hakiki kepadaNya. Tidak ada pemberi nikmat dan kebaikan yang hakiki selain Allah. Oleh sebab itu, tidak ada satu pun kekasih yang hakiki bagi seorang hamba yang mampu melihat dengan mata batinnya, kecuali Allah s.w.t. Sudah menjadi sifat manusia, ia akan mencintai orang baik, lembut dan suka menolongnya dan bahkan tidak mustahil ia akan menjadikannya sebagai kekasih. Siapa yang memberi kita semua nikmat ini? Dengan menghayati kebaikan dan kebesaran Allah secara lahir dan batin, akan menghantarkan kepada rasa cinta yang mendalam kepadaNya.
7. Ketundukan hati secara total di hadapan Allah, inilah yang disebut dengan khusyu’. Hati yang khusyu’ tidak hanya dalam melakukan sholat tetapi dalam semua aspek kehidupan ini, akan menghantarkan kepada cinta Allah yang hakiki.
8. Menyendiri bersama Allah ketika Dia turun. Bilakah itu? Iaitu saat sepertiga terakhir malam. Di saat itulah Allah s.w.t. turun ke langit dunia dan di saat itulah saat yang paling berharga bagi seorang hamba untuk mendekatkan diri kepadaNya dengan melaksanakan sholat malam agar mendapatkan cinta Allah. Walaubagaimana pun sifat turunnya Allah S.w.t itu TIDAK SAMA dengan turunnya makhluk dan ianya tidak boleh dibincang-bincangkan bagaimana.
9. Bergaul dengan orang-orang yang mencintai Allah, maka ia pun akan mendapatkan cinta Allah S.w.t.
10. Menjauhi sebab-sebab yang menghalangi komunikasi kalbu dengan Al-Khaliq, iaitu Allah subhanahu wataala.
Antara sebab-sebab untuk mendapatkan cinta dari Allah S.w.t ialah;
- Membaca Al-Qur’an dengan memikir dan memahami maknanya.
- Berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.w.t dengan ibadah sunnah setelah menyelesaikan ibadah yang wajib.
- Selalu mengingati Allah S.w.t , baik dengan lisan, hati mahupun dengan anggota badan dalam setiap keadaan.
- Lebih mengutamakan untuk mencintai Allah S.w.t daripada dirinya ketika hawa nafsunya menguasai dirinya.
- Memahami dan mendalami dengan hati tentang nama dan sifat-sifat Allah.
- Melihat kebaikan dan nikmatNya baik yang lahir mahupun yang batin.
- Merasakan kehinaan dan kerendahan hati di hadapan Allah.
- Beribadah kepada Allah pada waktu sepertiga malam terakhir (di saat Allah turun ke langit dunia) untuk bermunajat kepadaNya, membaca Al-Qur’an , merenung dengan hati serta mempelajari adab dalam beribadah di hadapan Allah kemudian ditutup dengan istighfar dan taubat.
- Duduk dengan orang-orang yang memiliki kecintaan yang tulus kepada Allah dari para ulama dan da’i, mendengarkan dan mengambil nasihat mereka serta tidak berbicara kecuali pembicaraan yang baik.
- Menjauhi/menghilangkan hal-hal yang menghalangi hati dari mengingati Allah Subhannahu wa Ta’ala .
Dan apakah pula cinta yang buruk dan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah S.w.t?
Syirik adalah dosa yang paling dibenci dan tidak diampunkan oleh Allah S.w.t selagi tidak bertaubat dan menyesali dari melakukannya. Sila baca Larangan syirik / mengadakan sekutu bagi Allah S.w.t.
“Allah tidak suka perbuatan orang yang melakukan kerosakan dalam masyarakat.” Surah Al Baqarah : Ayat 205
“Allah tidak suka para pengkhianat yang banyak berbuat dosa.” Surah An Nisaa’ : Ayat 107
Tahap cinta ketiga adalah cinta yang bertaraf rendah, negatif dan memusnahkan manusia atau disebut sebagai “Al-Hub Al-Adna“. Contohnya cinta dan kasih kepada seorang yang zalim, diktator atau orang yang menganggap dirinya sebagai tuhan.
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu…” Surah Al Mumtahanah : Ayat 1
Begitu juga kasih sayang, cinta berahi yang menyebabkan seseorang bergelumang dengan maksiat dan kedurjanaan. Mencintai sesama insan atau lain-lain melebihi cinta kepada Allah, Rasul dan jihad termasuk dalam kategori cinta bertaraf rendah ini.
“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” Suraah At Taubah : Ayat 24
“Tidak akan beriman seorang daripada kamu sehingga aku lebih disayangi daripada hartanya, anaknya dan orang lain.” Hadith riwayat Bukhari
“Tidakkah kamu lihat (wahai Muhammad) orang yang menjadikan tuhannya ialah hawa nafsunya, dan Allah sesatkan dirinya padahal dia berilmu…” Surah Al Jatsiyah : ayat 23
Cinta di tahap ketiga ini termasuk cinta kepada syaitan, memuja dan mematuhi perintah, saranan serta bisikannya. Cinta seperti ini adalah cinta buta yang tidak menguntungkan. Padahal dalam surah Yaasin difirmankan secara jelas bahawa syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Syaitan perlu dimusuhi dan dianggap sebagai musuh sebenarnya. Syaitan telah menyesatkan ramai generasi terdahulu. Ia juga berperanan menyesatkan generasi kini dan akan datang.
Semoga bermanfaat kepada semua...InsyaAllah
No comments:
Post a Comment