Thursday, May 31, 2012

Hari Tanpa Tembakau Sedunia...

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Selamat menyambut Hari Tanpa Tembakau Sedunia.....

Hari Tanpa Tembakau Sedunia telah mula disambut sejak 1987, menonjolkanrisiko kesihatan  dan dikaitkan dengan penggunaan tembakau dan menyokong kepada dasar-dasar yang berkesan untuk mengurangkan penggunaan.

Penggunaan tembakau menjadi punca kedua kematian di seluruh dunia (selepas hipertensi) dan pada masa ini bertanggungjawab untuk membunuh satu dalam 10 orang dewasa di seluruh dunia.

Hasil kajian Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan pada abad ke-21 ini satu billion penduduk akan mati akibat merokok. Bukti saintifik menunjukkan rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun dan menjadi ancaman utama kepada kesihatan perokok dan kesejahteraan masyarakat. Laporan dan hasil kajian berkenaan amat membimbangkan.


Kesan Merokok

1)  Memberi kesan kepada kesihatan diri yang boleh menyebabkan anda menghidap penyakit yang berbahaya dan berisiko tinggi.
2)  Memberi kesan kesihatan kepada masyarakat sekeliling yang tidak merokok kerana terdedah kepada asap rokok.
3)  Membazir wang dan membeban diri untuk terus membeli rokok.
4)  Membebankan diri dan keluarga kerana membiayai kos rawatan perubatan akibat penyakit berkaitan rokok.
5)  Tahap IQ anak perokok atau yang terdedah dengan asap rokok dikatakan lebih rendah berbanding yang tidak terdedah dengan asap beracun itu.


Tips Berhenti Merokok

1)  Kunyah gula-gula getah dan buah-buahan (cuba elakkan yang manis)
2)  Melakukan aktiviti sihat seperti bersenam, berjogging dan merentas hutan adalah antara cara yang boleh mengalihkan ketagihan merokok.
3)  Elakkan bergaul dengan rakan-rakan perokok
4)  Mandi sekerap mungkin / basuh tangan dengan kerap (tangan basah mengelak dari merokok)
5)  Sentiasa mendapatkan maklumat dalam akhbar atau media massa mengenai keburukan merokok dan insaf mengenainya.
6)  Ingatlah insan tersayang di sekeliling anda yang menyedut asap dari rokok  anda( boleh memudaratkan kesihatan mereka)
7)  Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha untuk berhenti merokok.

Bahan asas sebatang rokok adalah daun tembakau. Pada asasnya, daun tembakau adalah tergolong di dalam perkara yang diharuskan (hukum asal setiap perkara adalah harus). Walau bagaimanapun, selepas ahli-ahli perubatan membuat kajian dan penyelidikan mengenai daun tembakau yang dibakar, jelas menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan sampingan yang akan mendatangkan mudarat kepada mereka yang terdedah dengannya.

Kesan daripada penemuan ini, maka hukumnya telah berubah menjadi haram kerana di dalam Islam setiap perkara yang mendatangkan mudarat perlu dihindari dan dihapuskan (Ad-Darar Yuzal). Di dalam hal ini, Allah Subhanahu Wa Ta'ala ada menjelaskan di dalam Al-Quran mengenai larangan memudaratkan diri dalam firmannya yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan”.
(Surah Al-Baqarah : 195)

Di samping itu juga, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda, maksudnya:
“Tidak boleh membuat mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”
[Hadis Riwayat Ahmad, al-Daraquthni, Ibn Majah dan lain-lain)

Berasaskan kepada dua sumber hukum di atas, jelaslah kepada kita bahawa setiap perkara yang memudaratkan kepada diri atau kepada orang lain adalah diharamkan di dalam Islam.

Perokok bukan sahaja mendedahkan dirinya sahaja kepada penyakit, malah ia turut melibatkan diri individu yang lain yang berada di sekelilingnya. Atas sebab inilah yang menyebabkan rokok dihukumkan haram di dalam Islam.

Selain ia memudaratkan, membeli rokok juga merupakan satu pembaziran.  Sikap membazir amat dilarang di dalam Islam. Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawa orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu adalah bersifat kufur terhadap Tuhannya.

Sebagai ringkasnya, pengharaman rokok bukanlah disebabkan ia adalah benda yang najis. Tetapi pengharamannya adalah lebih kepada kemudaratan yang dibawa olehnya, iaitu asab yang mengandungi bahan-bahan beracun yang memberi kesan terhadap sistem pernafasan manusia. Malah, ia turut memudaratkan mereka yang berada di sekeliling perokok tersebut. mengikut kajian ahli perubatan, orang yang menghidu asab rokok akan menerima kesan yang lebih bahaya daripada diri perokok itu sendiri. Dan ini amat dilarang di dalam Islam.

Mengenai adakah rokok membatalkan solat, ia tidak membatalkan solat kerana ia tidak tergolong di dalam najis yang boleh membatalkan solat. Namun begitu, bagi perokok ia berkemungkinan menyebabkan para jema’ah terganggu kesan daripada bau rokok yang tidak menyenangkan. Ia juga termasuk perkara yang turut dilarang.

Wallahu 'Alam.

No comments: