Friday, July 20, 2012

JADUAL HARIAN MUKMIN DI BULAN RAMADHAN

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Sempena menyambut Ramadhan ni... Jom kita sesama check apa yang patut kita lakukan sepanjang Ramadhan ni.... 

Kita tidak mahu puasa yang kita tunaikan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Kita mahu puasa itu menatijahkan keredhaan Allah serta mendapat keampunanNYA. Dan itulah janji Nabi saw kalau kita menunaikan puasa dengan SEMPURNA.

حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ *
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang melakukan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu * (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berikut dicadangkan

JADUAL HARIAN MUKMIN DI BULAN RAMADHAN
. 
4.00 PAGI
1. Bangun tidur dan baca doa.
2. Berniat untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan pada hari ini.
3. Mandi dan membersihkan diri.
4. Mengambil wudhu' dan memakai pakaian yang suci dan wangian. 
4.30 PAGI
1. Solat sunat Taubat (التوبة) 2 rakaat).
-Angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa lalu.
2. Solat sunat Tahajjud 2/4… rakaat.
–Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.
3.Solat sunat Hajat 2 rakaat.
-Ketika sujud terakhir sertakan di dalam hati segala hajat ‘DUNIAWI & UKHRAWI.
4. Solat sunat Witir 3, 5, 7, 9 ATAU 11 rakaat.
5.Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita dan menerima amalan kita.
6.Baca dan tadabburlah al- Quran.
7.Berzikir.
8. Masak makanan sahur.

5.15 PAGI
1.Makan sahur
2.Bersiwak atau mengosok gigi dan membersihkan mulut.

5.30 PAGI
1.Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat/berzikir.
2.Solat sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah dan berwirid atau membaca ma’thurat.
3. Baca dan tadabburlah al-Quran.

10.00 PAGI
1.Sembahyang sunat Dhuha 2/4/6/8 rakaat.
2. Bersedekah harta/tenaga.
3. Baca dan tadabburlah al-Quran walaupun beberapa ayat sahaja.

12.45 TGH
1.Bersiap untuk solat Zohor.
2.Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat/berzikir
3.Solat Zohor berjemaah.
4.Laksanakan juga solat sunat Rawatib.
5. Baca dan tadabburlah al-Quran.

4.00 PETANG
1.Bersedia untuk solat Asar.
2.Laksanakan solat sunat Qabliyah.
3.Solat Asar berjemaah.
4.Berwirid atau membaca ma’thurat.
5. Baca dan tadabburlah al-Quran.

5.30 PETANG
1. Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur tanpa berlebih-lebih serta tidak membazir dan boros.
2.Ingatlah walaupun Syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri kita!

6.30 PETANG
1.Siap sedia anak isteri/suami untuk berbuka puasa.
2.Memperbanyakkan doa sebelum berbuka kerana di waktu itu adalah saat dimustajabkan doa.
3.Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak. Solat maghrib berjemaah.

8.00 MALAM
1.Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Tarawih
2.Bacalah Al-Quran dengan penuh tadabburتدبر , seeloknya baca dengan bertadaarus (seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatam-kan Al-Quran. 

11.00 MALAM
1.Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
2.“Berniatlah untuk puasa esok hari .
3.Tidur awal agar dapat bangun awal untuk beribadah.
4.Bacalah doa tidur.
5.Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur.

SEMOGA KITA SEMUA DAPAT MENJALANI IBADAH PUASA TAHUN LEBIH BAIK DARI TAHUN-TAHUN YANG LALU. 

Semoga kita mendapat apa yang dijanjikan oleh ALlah sekiranya berpuasa dengan sempurna iaitu KEAMPUNAN DOSA dan BEBAS DARI NERAKA.

Thursday, July 19, 2012

HEBAT sangatkah kita...??

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Adakalanya kita rasa apa yang kita buat dah betul, tapi ada pula yang kata apa yang kita buat tu adalah salah dan yang dia buat saja yang betul... dan kita pun tak mahu mengalah dan tidak mahu mengaku bersalah akan mengatakan bahawa apa yang orang lain buat adalah salah dan kita lah di pihak yang benar....

Apa yang kita dapat dengan menuding jari sesama sendiri.... adakah jari kita semakin hari semakin kurus dan runcing bila berbuat demikian....? berkemungkinan besar begitu, itu pasal la ramai yang suka tuding jari kepada orang lain...hehehe

Atau adakah dengan berbuat begitu kuasa menaip dan menulis dengan jari jemari kita akan bertambah.... ? wahhh mungkin juga kan... sebab ramai orang yang suka menuding jari kepada orang lain... hebat ni...hihihi


Bukan hanya boleh tuding jari pada orang dirasakan hebat... kalau boleh marah-marah orang lagi lahhhh rasa hebat dan berkuasa kan.... alahaiiii

Mengapa kita ingin menangkan diri sendiri dengan menyalahkan orang lain... ??? nak tunjuk HEBAT..?? Hebat sangat kah kita...? Sehebat  mana pun kita, kita masih perlukan bantuan hayat dari Allah...

Firman Allah bermaksud: "Jangan kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang terlalu membanggakan diri." (Surah Al-Qashash, ayat 76).

Imam Al-Ghazali menyatakan:"Perasaan ujub adalah kecintaan seseorang kepada suatu kurnia dan berasa memilikinya sendiri, tanpa mengembalikan keutamaannya kepada Allah." 
Foto: FB
Sebenarnya bangga dan kagum diri sendiri adalah sifat Iblis yang memandang rendah akan Nabi Adam kerana dijadikan daripada tanah sedangkan dirinya dijadikan daripada api. Firman Allah bermaksud: "Iblis berkata, aku lebih baik daripadanya (Adam), Engkau jadikan aku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan daripada tanah." (surah Saad, ayat 38).


Suka dipuji dan memuji diri adalah sifat mazmumah yang membuahkan sifat riak. Sebenar-benar dan selayak-layak pujian hanya untuk Allah. 

Daripada Khalifah Malik bin Marwan,
"Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat."
 


Segala yang baik itu datangnya dari ALLAH, jadi tak perlulah kita terlalu berbangga dan berasa diri terlalu HEBAT... kerana yang hebat itu hanya ALLAH.

Daripada Amru Al-As r.a.,
"Perkataan itu seperti ubat, kalau sedikit bercakap memberi manfaat, tetapi terlalu banyak bercakap nescaya membunuh."  

Jadi, jangan berkata-kata dengan perkataan yang sia-sia. Jangan banyak mengeluarkan perkataan ketika marah kerana bimbang perkataan yang dikeluarkan adakalanya cetusan daripada syaitan (adalah lebih baik beristigfar).   

Tuesday, July 17, 2012

Jangan Berharap Selain Allah...

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Allah adalah tempat bergantung segala sesuatu, maka kita harus bergantung sepenuhnya hanya pada Allah.  Dan apabila kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah, maka bererti kita tidak akan pernah meminta sedikit pun kepada selain Allah.

Dalam kehidupan kita di dunia, khususnya dalam memenuhi apa yang menjadi hajat hidup kita, masih ada dari kita yang kadang bergantung dan berharap pada makhluk, kerana itu sebagian dari kita sering berusaha sekuat tenaga untuk mendapat simpati dari makhluk. Ini adalah kekeliruan yang sangat besar, karena menggantungkan harapan pada makhluk hanya akan menimbulkan kekecewaan saja.

Pada dasarnya, makhluk yang kita jadikan tumpuan harapan, sebenarnya tidak punya kuasa apapun untuk dapat memenuhi harapan kita, tanpa izin dari Allah. Kerana hanya Allah lah yang membuat segalanya terjadi. Allah jugalah yang mengatur scenario dibalik segala peristiwa. Tidak ada satupun yang terjadi di dunia ini, yang lepas dari pengawasan dan pemantauan-Nya. Jadi seharusnya kita hanya menggantungkan segala harapan hanya kepada Allah SWT, yang mana jiwa kita ini ada dalam genggamannya-Nya.

Jangan pernah berharap dan atau meminta pertolongan kepada makhluk, seberapa hebat pun ia dimata kita. Kerana, sehebat apapun, yang namanya makhluk, tidak akan pernah dapat memberikan pertolongan apapun kepada kita tanpa izin Allah. Dan pada dasarnya, semua mahluk sama dengan kita, iaitu selalu berhajat memohon bantuan pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, makhluk itu sangat lemah dan tidak memiliki daya serta kekuatan apapun selain dari yang diberikan oleh Allah.

Kerana itu, jika kita hendak meminta pertolongan dan perlindungan, maka mintalah pertolongan dan perlindungan hanya kepada Allah, Yang Maha Kuat, Maha Perkasa, dan Maha Melindungi. Kerana itu, kita harus melatih diri untuk tidak bergantung pada makhluk, termasuk pada jabatan, harta, pasangan hidup, dan pertolongan manusia atau makhluk

Perhatikan doa Rasulullah SAW berikut ini :seperti yang disampaikan oleh Abdullah bin Umar ra. Ia mengatakan bahwa Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan untaian doa ini ketika pagi dan sore: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu ampunan dan keselamatan dalam agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutuplah auratku. Lindungilah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku dari hadapanku, dari belakangku, dari sisi kananku, dari sisi kiriku, dari atasku. Aku berlindung dengan keagunganMu diserang dari bawahku.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Perhatikan juga doa yang diucapkan Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra. Yang meminta perlindungan kepada Allah SWT dari segala sisi. Memohon semua kebaikan dan menolak semua kejahatan.
“Ya Allah, peliharalah aku dengan Islam ketika aku berdiri. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku duduk. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku terbaring. Jangan gembirakan orang yang memusuhiku dan yang menyimpan dengki kepadaku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua simpanan kebaikan yang ada di Tangan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu dari seluruh simpanan kejahatan yang ada di Tangan-Mu.” (HR. Al Hakim dalam Al   Mustadrak, I/525)

Hasbunallahu wa ni’mal wakiil, ni’mal maulaa wa ni’man nashiir. Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

Bila bila kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah. Kita akan menyedari, bahawa Allah SWT lah Yang Lebih Berkuasa dari segala makhluk yang berkuasa. Kekuasaan Allah meliputi kekuasaan orang-orang yang berkuasa. Allah lah yang menggenggam jiwa orang-orang yang berkuasa. Allah lah yang menggenggam dunia dan akhirat.

Jadi bila kita telah menyedari dan menerapkan keyakinan itu dalam hidup kita, percayalah, Allah SWT akan memberikan pertolongan dan perlindungan pada kita.  Kekuatan Allah lah yang akan menolong kita, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Kuasa atas segala sesuatu. Hidup kita, pekerjaan kita, lingkungan di sekitar kita, semua berada dalam pantauan Allah, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakan keyakinan hamba-Nya  yang besandar pada-Nya.

Wednesday, July 4, 2012

Nisfu Syaaban...

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...
Bulan Syaaban muncul lagi. Syaaban menandakan umat Islam semakin menghampiri Ramadhan. Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan Malam nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan Syaaban, dan terutamanya pada malam kelima belasnya. Sebelum itu, marilah kita sama-sama mendalami dan mengenali sedikit sebanyak info tentang bulan Syaaban ini.

PENGERTIAN SYAABAN

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab. Bulan Syaaban juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Syaaban dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;

“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)

MALAM NISFU SYAABAN

Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.
 
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:  

“Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.”  

Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :

Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.

Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a.  

“Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”

Hari nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).

Berikut adalah antara amal ibadah di hari Nisfu Sya'aban:

1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban)
Solat sunat nisfu sya'aban, 2 rakaat 
Rakaat 1 : baca Al-Fatihah & surah Al-Qadar 1x 
Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3x

2. Membaca Yasin 3x selepas solat Maghribnya (15 Sya'aban)
i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah
ii) Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah
iii) Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam & mati di dalam iman & pohonlah segala yang baik.

Kemudian baca Istighfar 11x & selawat 11x Baca doa nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk)

3. Baca surah ikhlas 1000x

4. Berpuasa pada siangnya 

Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama2 malam Nisfu Syaaban sebanyak 22.
Antaranya yg termasyhur adalah:
1. Malam Dimustajabkan Doa
2. Malam Pembahagian Takdir
3. Malam Rahmat
4. Malam Berkat
5. Malam Pengampunan (Taubat)
6. Malam Penebusan
7. Malam Syafaat
8. Malam Penulisan
9. Malam Keagungan dan Kemuliaan
10. Malam Rezeki
11. Malam Hari Raya Para Malaikat
12. Malam Penghidupan 

FADHILAT BULAN SYAABAN

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :
  • Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini. Begitulah tingginya pekerti Nabi Muhammad nabi junjungan kita.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya:  

"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
 
  • Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Kita sebagai umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyak doa, zikir, dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

  • Bertaubat
Kita juga digalakkan untuk melalukan taubat kepada Allah SWT. Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: 

 "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu." Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya Sakaratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada huru-hara Mungkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah). Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.”

Sabda Nabi s.a.w.: 

“Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani rohani). Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.
 
PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN

Mengenali bulan Syaaban tanpa mengetahui peristiwa penting yang berlaku di bulan Syaaban terasa tidak lengkap. Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang bulan Syaaban. Antaranya ialah malam Nisfu Syaaban, penukaran arah kiblat, dan peperangan bani Mustaliq.

Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.

Monday, July 2, 2012

Pengalaman....

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Semalam saya merasai pengalaman baru..... pengalaman memakai kostume.... ianya agak menarik.... tak pernah dirasai sebelum ini.... teruja sangatttt... 

Pada asalnya kostume ini disewa untuk mempromosikan bulan membaca di sekolah kakak.... tetapi keinginan saya merasai pengalaman dan perasaan memakai kostume tak terbendung.... membuatkan saya turut mencubanya.... 

Merasai pengalaman berada dalam kostume tersebut membuatkan saya terfikir.... bagaimana perasaan seorang badut atau pemakai kostume...  walaupun berada dalam pakaian tersebut tidak selesa, namun tentu nya ketidakselesaan itu terbayar sekiranya ada insan dan ada hati yang gembira dengan adanya si pemakai kostume tersebut.....

Begitu besar pengorbanan seorang pemakai kostume (badut atau sebarang kostume) kerana si pemakai kostume tersebut berada dalam ketidakselesaan kerana panas (pakaian yg tebal dan berat),  tetap dilakukan demi untuk mengembirakan hati ramai insan.....  

Adakalanya, orang lain beranggapan bahawa si pemakai kostume tersebut ibarat memperbodohkan diri sendiri, namun demi melihat segaris senyum ianya merupakan satu pengorbanan yang tinggi nilainya.... pengorbanan yang berbaloiiii... 


"sebaris senyum yang terukir dibibir mereka yang tersayang, mampu menghilangkan seribu kedukaan di hati"

Hai!!! jom kita bergembira bersama-sama...
Chak!! adehhh... beratnya kepala harimau ni... badannya pun berattt dan panassssss
Pengalaman memberi seribu erti... pengalaman buat kita mengerti dan memahami...... pengalaman memberi kita ilmu untuk teruskan kehidupan ini....

Tuesday, June 26, 2012

Family Day MPM 2012


السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...


Alhamdulillah diizinkan Allah untuk kembali bersama rakan-rakan di blog ini setelah 2 minggu mengerah keringat memastikan kelancaran urusan aktiviti Family Day jabatan saya yang berlangsung pada 23 Jun 2012 di Taman Wetland, Putrajaya.... Alhamdulillah.... lega rasanya apabila segala nya selesai.....


Terima kasih kepada semua yang bekerjasama menjayakannya.... dan ampun dan maaf kiranya terdapat kekurangan, kesalahan dan kesilapan sepanjang majlis berlangsung.....


Hari ini masih lagi mengemas barangan yang dibawa pulang...... jom layan antara gambar-gambar yang sempat dirakamkan di sana....


Pendaftaran Ketua Eksekutif MPM
Pendaftaran Timbalan Ketua Eksekutif 1 diiringi oleh Pengerusi BKKSK
Pendaftaran Timbalan Ketua Eksekutif 2
Pentas Utama
Menghiasi Pentas Utama
Acara Senamrobik memulakan majlis
Doa dipanjatkan agar majlis berjalan lancar
Dihidangkan keenakan Nasi lemak + Ayam goreng berempah serta kuih muih... Air teh peach lagik....umphhh
Kata Aluan dari Pengerusi Badan Kebajikan, Kebudayaan dan Sukan Kakitangan (BKKSK)
Dirasmikan oleh Puan Maziyan binti Hamzah, Ketua Eksekutif MPM
Bermulanya Acara... Anak2 merebut gula-gula
Peserta acara Bola sepak Jimi Palikat....
Acara untuk ibu-ibu....
Pertandingan Menyediakan Sarapan Pagi dengan Kasih Sayang oleh Anak2
Acara VIP...Boling Kelapa
Hadiah Cabutan Bertuah
Petugas Sukan membantu adik2 bersukan
Tarik tali antara staf MPM Vs keluarga staf... dimenangi oleh Staf MPM... cayalahhhh
Acara gelecek bola pakai terompah... opss jatuh ke bangggg
Sessi Karoksss....
Mereka yang bertuah.... Alahaiiiii
Yang paling bertuah..... Bleh la bergaya dengan Galaxy Tab pas ni... adoyaiiiii jelesss la plakkk
Sebelum Pulang...dibekalkan KFC sebagai Lunch setiap peserta.... soooo goood
Semoga bertemu lagi di Family Day tahun akan datang... semoga ukhuwah ini semakin erat.... insyaAllah...

Tuesday, June 12, 2012

Apa KPI kita...?

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...

Minggu lalu, lawatan ke TV AlHijrah telah memberikan satu lagi ilmu berguna kepada saya dan semua peserta hendaknya. Ketika rancak tanyakan soalan kepada salah seorang staf di stesen TV AlHijrah, saya mendapat maklumat bahawa Key Performance Indicator (KPI) yang paling utama harus dipenuhi untuk menjadi staf di organisasi tersebut ialah solat 5 waktu. Mereka juga digalakkan menunaikan solat Dhuha.... Wahhhh!!! menarik kan.... tak banyak organisasi (mungkin juga tiada, kecuali di TV AlHijrah) yang menetapkan KPI sebegini pada setiap orang stafnya hari ini...

Lalu, berblogwalking menemukan saya dengan artikel-artikel yang menarik ini.... Jom kita baca bersama: 

Artikel bertajuk "KPI seorang MUKMIN" hasil karangan Ustaz Hamizul dipetik dari http://www.hamizul.com
Bagaimana pula dengan KPI kita terhadap agama Islam? Inilah yang menjentik naluri saya, kala usai mendengar sebuah kuliah subuh baru-baru ini. Ustaz berkenaan dengan santai mempersoalkan para audiens, sejauh manakah umat Islam hari ini mengetahui KPI mereka yang telah Allah SWT sediakan dan sejauh manakah pula umat Islam memahami dan memberikan komitmen demi memenuhi KPI itu?

Mungkin kita sendiri, yang biarpun kala ini menjawat jawatan baik  di organisasi, tidak terlintas pun betapa Islam telah menyediakan KPI bagi semua umatnya. Kita merasakan Islam hanya menitik beratkan aspek ibadah semata-mata, solat, puasa, zakat dan haji. Alangkah dangkalnya idea tersebut.

Percayalah, Islam yang Nabi Muhammad SAW bentangkan di hadapan kita, adalah penyelesai masalah seluruh manusia. Jika Islam hanya menyangkut soal solat, puasa, zakat dan haji semata, masakan Perlembagaan Madinah digubal nabi demi mengelola kehidupan manusia di Madinah dan diiktiraf perlembagaan pertama di dunia.

Maka, dalam hal KPI seorang mukmin ini, ia menyangkut paut kelangsungan hidup manusia – sama ada secara individual mahu pun sesama manusia lain. KPI berkenaan, digariskan oleh Allah SWT secara terang menerusi deklarasi-Nya di dalam al-Quran. Perhatikan deklarasi Allah:

Sesungguhnya hanya golongan beriman yang mempunyai ciri-ciri inilah yang bakal beroleh kejayaan, di dunia dan akhirat, iaitu:

1) Orang-orang yang beroleh kusyuk di dalam solatnya
2) Orang-orang yang tidak lalai dalam kehidupannya
3) Orang-orang yang menunaikan zakatnya
4) Orang-orang yang menjaga kemaluannya (kehormatannya)
5) Orang-orang yang menjaga amanah
6) Orang-orang yang memelihara janji
7) Orang-orang yang sentiasa memelihara solatnya
(surah al-Mukminun, ayat 1-9)

KPI yang Allah SWT gariskan ini sudah lama disuratkan di dalam kitab suci-Nya. Sama ada kita perasan atau tidak, ia tergantung kepada sejauh manakah usaha kita untuk mencarinya. Di hari akhirat kelak, kesemua KPI ini akan dibentangkan kembali di mahkamah Allah rabbul jalil, lalu kala itu akan dinilai sejauh manakah kita sudah berusaha memenuhi sasarannya – sama ada di bawah sasaran, melebihi jangkauan atau cukup-cukup makan!

Atas kepentingan itulah, Allah SWT menggesa kita agar tidak menjadikan kehidupan di atas dunia hanyalah sebagai suka-suka dan penuh dengan permainan semata-mata. Hidup mengejar mata benda tidak akan pernah puas, seperti mana dikalamkan di dalam sebuah hadis: “Seandainya manusia memiliki sebuah lembah berisi harta, tentu mereka masih menginginkan harta yang banyak seperti pula. Mata manusia (itu) hanya akan penuh, jika diisi dengan tanah (terhenti keinginannya sehinggalah dia mati – penulis),” (hadis riwayat Bukhari)

Inilah dia tips yang mampu menyelamatkan seluruh umat manusia. Mereka bukan sekadar wajib menjadi seorang muslim, tetapi mesti berusaha menjadi seorang mukmin. Namun, status mukmin belum dipastikan selamat, sehinggalah si mukmin itu menepati piawaian ‘Deklarasi al-Mukminun’ seperti mana yang telah digazetkan di dalam al-Quran.

Justeru itu, marilah kita berusaha memenuhi keperluan KPI Allah SWT ini. Andai kita berusaha, pasti ada jalannya. Seperti mana peribahasa Melayu mengungkapkan: “Lulus angan dilakukan, lulus kaki dilangkahkan, biar bersimbah peluh di muka, jangan tersingkap kain basahan.” Maknanya, jangan sekadar berangan-angan; tapi lakukan penuh kesungguhan. Bila sudah melakukan, jangan pula sekerat jalan. Wallahua’lam.

Artikel karangan Ustaz Pahrol Mohd. Juoi yang bertajuk "Solat Sebagai Bekalan Hidup" dipetik dari http://keranakasihnabi.blogspot.com

Hari ini, jika diperhatikan orang tak rasa rugi kalau tak solat, tapi kalau tak makan, dia akan rasa rugi (lapar). Perjalanan hidup kita ini makin lama semakin meletihkan, pangkal sudah jauh ditinggalkan namun hujungnya belum kelihatan. Bebanan semakin bertambah – dari seorang anak kepada dua dan seterusnya. Umur meningkat dan tenaga semakin berkurangan, sebab itulah kita perlukan bekalan. Sepertimana seorang musafir, walaupun sudah tahu tujuan dan ke mana yang ingin dituju, tanpa bekalan mencukupi, dia takkan sampai.

Jadi solat merupakan makanan rohani dalam perjalanan kita menuju Allah SWT. Tanpa makanan rohani, kita akan berasa lesu, jemu dan sebagainya. Solat juga merupakan 'talian hayat' kita dengan Allah SWT. Tanpa solat, kita seumpama layang-layang tanpa tali, yang bila-bila masa saja boleh jatuh tersangkut di pokok ataupun terhempas ke bumi. Solat juga merupakan 'silah' (hubungan) kita dengan Allah. Allah akan menjaga kita sebagaimana kita menjaga Allah. Oleh itu cara menjaga Allah ialah dengan menjaga solat.

Solat juga dikatakan sebagai tiang agama (Diin). Agama di sini merangkum sistem hidup yang luas termasuk sistem pendidikan, politik, ekonomi, hiburan dan sebagainya. Jadi tanpa solat, sistem kehidupan kita akan goyah dan menjadi kucar-kacir – contohnya ekonomi akan jatuh, gejala sosial berleluasa, kejahatan bermaharajalela. Jadi bila kita lihat permasalahan sebegini di sekeliling kita, itu sebenarnya merupakan satu petunjuk bahawa solat di kalangan masyarakat tidak 'selesai'. Ada satu ungkapan orang bijksana: 'Untuk baiki dunia, perlu baiki manusia. Untuk baiki manusia, perlu baiki hatinya. Dan untuk baiki hati manusia, kena baiki solatnya.' Orang yang solat, hatinya dekat dengan Allah. Jadi, jika kita sendiri atau ada orang datang kepada kita, mengadu yang kehidupannya kucar-kacir dan bagaimana cara untuk memperbetulkannya. Jawapan yang paling baik untuk diberikan adalah perbaiki solat. Jika solat dijaga dengan baik, InsyaAllah akan ada kesan secara langsung untuk kita mengubah aspek lain dalam kehidupan. Oleh itu, perlu dimulakan dengan solat.

Kita ada mendengar daripada dapatan kajian yang dilakukan di Malaysia yang menyatakan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian, dan setiap 18 minit, seorang anak luar nikah dilahirkan. Jadi penyebab utama kepada perkara ini adalah urusan solat yang tidak selesai. Allah telah berjanji bahawa solat akan membantu kita mencegah perkara mungkar seperti zina, pergaulan bebas dan sebagainya. Jika dilihat dalam sejarah yang diriwayatkan dalam satu hadis yang panjang lebar, mafhumnya: Abu Hurairah bertanya kepada Nabi SAW: “Bagaimana keadaan seorang yang solat tapi masih mencuri?” Nabi menjawab, “Solat itu akan lambat-laun mencegahnya daripada mencuri.” Jadi ertinya, dalam solat itu ada 'kuasa' untuk membuatkan seseorang itu meninggalkan kejahatan. Oleh itu perlunya kita berterusan solat.

Dalam satu kisah lain pula, Sayyidina Umar Al-Khattab, ketika ingin memilih pegawai penting semasa pemerintahannya, menjadikan solat sebagai penanda-aras atau 'KPI'. Beliau percaya bahawa sesiapa yang menjaga solat akan menjaga hukum-hukum Allah yang lain. Sebaliknya orang yang berani meninggalkan solat, berkemungkinan tidak akan menjaga hukum-hukum Allah yang lain pula. Sebab itulah solat itu dikatakan sebagai 'kepala' ibadah. Sebagai analogi, setiap negara ada angkatan tenteranya sendiri untuk menjaga keselamatan negara. Bahkan ada ungkapan bijak-pandai yang mengatakan bahawa cara terbaik menjaga keamanan adalah dengan sentiasa bersiap-sedia untuk berperang. Jadi tentera perlu sentiasa berlatih dan berada dalam keadaan siap-sedia. Tiada kompromi untuk mereka walaupun dalam realitinya negara berada dalam keadaan aman dan peperangan yang pernah berlaku sedikit sekali. Jadi kita sebagai manusia sebenarnya sentiasa berperang dengan syaitan yang tak pernah tidur atau letih untuk menyesatkan kita. Oleh itu kita perlu lebih bersiap-sedia daripada askar yang berlatih setiap hari walaupun tidak tahu bila akan berperang. Jadi latihan terbaik bagi kita adalah semasa kita solat. Syaitan sangat licik, tak pernah mengalah, jadi cara terbaik untuk kita berlindung daripadanya adalah dengan berlindung dengan Allah. Jadi jika kita dekat dengan Allah, syaitan akan 'takut' untuk mendekati kita. Solat itulah angkatan tentera untuk kita. Sebab itulah dikatakan 'When God is your friend, who is your enemy?'.

Apabila kita akrab dengan Allah, kita akan dekat dengan kekayaan. Kekayaan ini tak semestinya kekayaan material tetapi kekayaan yang lebih utama seperti ketenangan jiwa, kebahagiaan, kemudahan rezeki, kemuliaan dan kejayaan. Inilah bentuk kejayaan yang lebih sempurna kerana merangkumi kejayaaan material dan rohani. Sebab itulah dalam laungan azan, kita diseru untuk solat agar mendapat kejayaan. Dalam surah Al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: “ Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;”
 
Soalan & Jawapan:

Soalan: Terima kasih, penjelasan ustaz mudah difahami. Zaman sekarang, ramai tidak perasan yang dia telah berkawan dengan syaitan. Jadi bagaimana untuk mengatasinya, adakah perlu ada roh dalam solat kita? Atau perlukan gabungan ilmu, iman, amal dan taqwa untuk mengatasinya?

Jawapan: Ada dua musuh dalam diri (batin) kita iaitu nafsu dan syaitan. Jika kita berjaya kalahkan musuh batin, akan mudahlah untuk mengalahkan musuh luaran. Tetapi, kadang-kadang manusia tertipu dan mampu membakar bendera Yahudi tetapi tidak mampu menolak selimut untuk bangun solat Subuh. Syaitan sangat licik dan kita takkan mampu melawannya. Nabi Adam dan Siti Hawa juga termakan pujukan syaitan. Walaupun Allah izikan syaitan menggoda kita, tapi Allah janjikan perlindungan kepada mereka yang hatinya ikhlas kerana Allah SWT. Bab berkaitan ikhlas telahpun dibincangkan dalam tajuk tujuan hidup sebelum ini. Untuk ikhlas bukanlah kita semata-mata menanti, tetapi kita perlu mencarinya. Ikhlas ada kaitan dengan pelajaran tauhid dan perlu melalui proses penghayatan, mujahadah, muqarrabah. Sila rujuk kuliah sebelum ini untuk perincian.

Dalam konteks perbincangan petang ini, untuk menghadapi syaitan, kita mohon berlindung dengan membaca A'uzubillahiminassyaitonirrajim. Imam Ghazali juga meminta kita membaca surah An-Nas sebelum memulakan solat sebagai pendinding. Sebagai metafora, jika ada anjing yang besar menyalak kepada kita, pastinya kita takut untuk menghadapinya. Tapi jika kita boleh beritahu tuan punya anjing untuk memanggil anjing tersebut, tentulah hilang rasa takut tadi. Begitulah juga dalam menghadapi syaitan, kita mohon perlindungan dengan Allah dan InsyaAllah kita akan diberi kekuatan.

Cara terbaik untuk dekat dan mohon perlindungan pada Allah adalah melalui solat. Godaan syaitan bertujuan mengganggu hati kita. Jadi hati menjadi rebutan antara syaitan dan malaikat. Bila hati mengingati Allah, InsyaAllah bisikan malaikat dan ilham-ilhamnya yang baik yang akan kita dengar. Sebaliknya tanpa solat, bisikan jahat syaitan yang akan menang. Sebab itulah dikatakan hati kita ini berbolak-balik sifatnya. 

Rangkuman ilmu, iman, amal dan taqwa penting menghadapi syaitan. Untuk solat contohnya, perlu ada ilmu dahulu. Tapi dengan hanya ilmu tanpa iman, seseorang takkan solat juga. Jadi amal juga penting untuk dilakukan. Setelah itu baru akan datang taqwa sebagai kekuatan kita. Sebab itu, Nabi SAW pernah menunjukkan bahawa taqwa itu berada di dalam dada dan itu boleh menjadi kekuatan untuk kita menghadapi syaitan. Kita takkan mampu berdepan secara terus kerana kita tak nampak syaitan tapi syaitan nampak kita. Sepertimana dua orang peninju yang seorang matanya dibuka dan seorang lagi ditutup, sudah pastilah peninju yang terbuka matanya akan menang. Oleh sebab itulah kita perlu akrab dengan Allah melalui solat agar kita diberi perlindungan.

Soalan:  Saya solat tapi kadang-kadang tertinggal. Rasanya banyak yang dah ditinggalkan, saya rasa bersalah tapi tak mampu mengqada'kan. Jadi apa yang perlu dilakukan?

Jawapan: Mengikut mazhab Syafie, solat yang ditinggalkan perlu diqada'. Bagaimana banyak sekalipun, qada'lah yang termampu kerana itu adalah hutang kita dengan Allah. Jika rasa bersalah tapi rasa berat untuk mengqada', itu sebenarnya belum benar-benar rasa bersalah lagi. Sepatutnya jika betul rasa bersalah, kita mesti bersemangat untuk memperbetulkan kesalahan. Bak kata pepatah 'Love is a verb, not a word'. Oleh itu sebagai bukti cinta kepada Allah, kena ada tindakan yang menyusul. Jika hanya menyebut di bibir, itu hanya sekadar justifikasi kita mencari alasan untuk tidak mengerjakannya. Jika betul rasa bersalah timbul dari hati, hati akan mengarah anggota untuk melakukan sesuatu.

Soalan: Mohon pandangan ustaz adakah benar solat yang dikerjakan adalah yang tersurat, dan usaha dan ikhtiar kita merupakan yang tersirat?

Jawapan: Mungkin soalan yang ditanya: Adakah solat itu terjemahan kehidupan kita? Namun, saya lebih suka untuk menghuraikan apakah hubungan solat dengan kehidupan luar solat kita. Dalam Al-Quran, kita diminta untuk 'mendirikan' solat, bukan mengerjakan solat. Ada beza antara keduanya.

Mendirikan solat tidak sekadar melakukan solat dengan sempurna rukun dan tertibnya, tetapi termasuk menghidupkan roh solat ketika di luar solat. Contohnya, kita kena kusyuk dalam solat kerana kusyuk itulah roh solat. Andainya kita lalai dalam solat, bermakna kita mempersembahkan jasad tanpa roh, seumpama bangkai, kepada Allah. Ini sungguh biadab dan salah untuk dilakukan.

Kusyuk bermaksud hati, dan seluruh pancaindera fokus patuh mengingati Allah. Kepatuhan ini akan menjadikan kita juga patuh pada Allah di luar solat. Dalam solat kita kena jaga 3 fokus: mata supaya memandang tempat sujud, dada supaya menghadap kiblat dan hati kita supaya mengingati Allah. Mata yang liar ketika solat, makruh hukumnya. Dada, jika teralih daripada kiblat, akan membatalkan solat. Jika hati pula yang teralih daripada mengingati Allah, solat kita akan hilang nilainya.

Sebagai kesan di luar solat pula, kekusyukan kita akan membantu kita fokus dengan tujuan hidup kita. Maksudnya seluruh tenaga kita akan dikeluarkan untuk beribadah kepada Allah SWT. Tetapi mengapa walaupun kita sudah berpuluh tahun solat dan berlatih fokus, mata kita masih liar di luar solat. Ini menunjukkan telah terputus hubungan antara ibadah dengan kesannya di luar solat.

Sepatutnya hubungan ini berterusan, jadi betullah bahawa cara kehidupan kita merupakan kesan ibadah kita. Masa kita sujud, kita buang semua keegoan dengan meletakkan kepala yang kita hormati ke tanah. Masa ini jugalah seseorang hamba itu paling hampir dengan Allah SWT. Jadi bagaimana kesan sujud itu di luar solat? Sepatutnya kesan tunduk kepada Allah itu juga kita praktikkan dalam semua bidang kehidupan yang lain. Contohnya, sistem kewangan, hiburan dan semuanya mesti tunduk pada hukum Allah. Sebab itu jika seseorang itu menjaga bilangan rakaat solatnya betul-betul, mengapa ketika bekerja timbul isu curi tulang? Ini menunjukkan impak solat tidak kelihatan di tempat kerja, sedangkan kita ingin menjadikan kerja sebagai ibadah dan pejabat sebagai sejadah.

Soalan: Mengapa ramai pesakit (yang tidak serius sekalipun) mengabaikan solat dan bagaimana mengatasinya?

Jawapan: Pada pendapat saya, penyakit paling banyak yang dihidapi rakyat Malaysia ialah penyakit hati – iaitu apabila seseorang itu tidak mengenal Allah, dan tidak akur dengan perintah Allah. Solat ini tiada alasan untuk meninggalkannya, tak kita ketika sakit atau sihat. Walau dengan isyarat mata sekalipun kita wajib tunaikan solat. Kenapa? Hati yang tidak mengingati Allah akan mati. Bila hati mati, hati menjadi lemah dan menjadi seumpama layang-layang yang putus tali. Jika kaya sekalipun, jiwanya akan kosong. Jika miskin pula, jiwanya menderita dan tertekan dengan kemiskinan yang dihadapi.

Orang yang jauh dari Allah, takkan berasa tenang dalam apa jua keadaan. Tetapi orang yang akrab dengan Allah, jika kaya dia bersyukur, jika miskin dia sabar, jika jadi pemimpin dia adil, jika jadi pengikut, dia setia, jika seorang suami, dia penyayang, jika seorang isteri, dia taat. Jadi saya menyeru kepada pesakit dan orang yang menjaga orang sakit, ingatlah untuk mendirikan solat. Bahkan ketika sakitlah paling utama untuk mengingati Allah. Kesakitan itu sebenarnya sebagai ujian untuk mengingati Allah.

Soalan: Mohon petua untuk tidak tinggalkan solat?

Jawapan: Tiada petua sebenarnya, sebab segala yang Allah perintahkan, kita wajib laksanakan. Cuma sebagai motivasi, jika seseorang tidak dapat melakukan sesuatu perkara, ada dua saja sebab. Satu, dia tidak betul-betul menginginkan perkara itu, atau tiada 'burning desire'.

Jadi jawapan jujur kenapa kita tak solat adalah kerana kita tak rasa kita perlukan Tuhan. Cuba kita wujudkan perasaan perlukan Tuhan dalam diri. Sebagai analogi, katakan hari ini kita tertinggal 'handphone' di rumah, pasti kita resah-gelisah duduk di pejabat. Sepatutnya kita juga begitu dengan Allah. Solat itu sebagai penghubung dengan Allah. Orang yang rasa tak perlukan Tuhan merasakan dirinya kuat. Sepatutnya sebagai hamba yang lemah, kita perlukan bantuan Allah Yang Maha Kuat, Maha Kaya.

Kedua, dia tak 'pay the price' untuk perkara itu. Sepertimana 'handphone' yang perlu dibeli, dicaj, kita juga mengorbankan sesuatu (masa, tenaga) untuk solat. Kita kena letakkan Allah sebagai perkara terpenting dalam hidup, barulah perkara lain boleh ditinggalkan demi mengerjakan solat.

Soalan: Mohon pencerahan ustaz tentang persoalan solat sunat terawih. Kita dikhabarkan bahawa fadhilat solat sunat seperti yang diberitahu sebelum ini merupakan hadis palsu. Tetapi untuk fadhilat solat tahajjud pula ada nasnya dalam Al-Quran. Jadi bagaimana kedudukan solat sunat terawih ini?

Jawapan: Ini soal hukum dan telahpun dibahaskan. Betul tentang fadhilat yang dikabarkan sebagai hadis palsu. Namun, kita bukan sekadar tengok Al-Quran dan hadis, tetapi kita juga tengok contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat. Dalam sirah, Sayyidina Umar sendiri melakukan solat sunat terawih secara berjemaah. Jadi siapalah kita untuk membandingkan diri dengan Sayyidina Umar? Jadi eloklah kita ikut apa yang ditunjukkan dan jika terdapat perbezaan pandangan, eloklah kita berlapang dada sahaja.

Kesimpulan:

Saya ingin berpesan pada diri dan semua, agar kita meletakkan solat sebagai perkara terpenting dalam kehidupan. Kemungkaran terbesar yang kita hadapi hari ini ialah kemungkaran meninggalkan solat. Mengikut kajian hari ini, 80% rakyat Malaysia tidak solat. Ini nombor yang sangat besar. Orang yang tidak solat sedang membakar dirinya, dan orang sekelilingnya. Jadi marilah semua kembali kepada Allah dan wujudkan keperluan kita kepada Allah. Ramai orang meninggalkan solat kerana merasakan tidak memerlukan Tuhan dalam kehidupan mereka. Allah SWT lebih daripada segala-galanya, dan kita perlu bergantung sepenuhnya dengan Allah. Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu. Jaga solat, pasti Allah menjaga hubunganmu dengan orang lain.

Semoga perkongsian ilmu ini mampu memperbaiki diri ini.... Semoga KPI kepada Allah lebih diutamakan daripada semua perkara di dunia...InsyaAllah...

Sumber: