Tuesday, February 28, 2012

Diam.... Ibadah terbaik



السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Orang Mukmin Akan Menjaga Lidahnya Dan Berkata Perkara Kebaikan Sahaja.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu hari seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata, “Ya Rasulullah! Sungguh si fulanah itu terkenal banyak solat, puasa, dan sedekahnya. Akan tetapi juga terkenal jahat lidahnya terhadap jiran tetangganya.”
Maka berkatalah Rasulullah SAW kepadanya, “Sungguh ia termasuk ahli neraka”.
Kemudian lelaki itu berkata lagi, “Kalau si fulanah yang satu lagi terkenal sedikit solat, puasa dan sedekahnya, akan tetapi ia tidak pernah menyakiti tetangganya.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Sungguh ia termasuk ahli syurga.” (Hadis Riwayat Muslim).
Kisah dalam hadis tersebut memberi pelajaran akan bahaya lidah. Betapa jika tidak dikawal lidah itu dengan iman, lidah boleh menjerumuskan ke dalam neraka. Meskipun seseorang itu ahli ibadah, banyak solat, puasa, akan tetapi bila tidak mampu menjaga lidahnya dari memfitnah, berbohong dan hasad-dengki maka amalannya akan menjadi sia-sia.
Oleh sebab itu, lidah boleh menjadi alat untuk taat kepada Allah, dan boleh pula untuk memuaskan hawa nafsu. Lidah boleh digunakan untuk membaca al-Quran, hadis dan nasihat menasihati tetapi lidah juga boleh berubah menjadi "batu api" memfitnah dan mengadu domba. Memfitnah, bersaksi palsu, mengumpat, mendedahkan aib orang lain, dan boleh memecah belahkan umat Islam. Lidah yang jahat ini boleh mendatangkan huru-hara dan pergaduhan di dalam masyarakat.
Rasulullah SAW memperingatkan, bahawa bahaya lidah adalah salah satu perkara yang paling baginda khawatirkan. Sebabnya, semua amal akan terhapus dan berguguran jika lidah kita jahat.
Suatu hari salah seorang sahabat Sufyan al-Tsaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku dengan satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!"
Baginda menjawab: "Katakanlah, 'Rabbku adalah Allah', lalu istiqamahlah".
Aku berkata: "Wahai Rasulullah, apakah yang paling tuan khawatirkan atasku?".
Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda: “Ini." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah).
Sahabat yang dimuliakan,
Bentuk kejahatan lidah itu ada dua iaitu :
Pertama : Lidah yang banyak bicara kebatilan
Kedua : Lidah yang diam terhadap kebatilan dan diam untuk mengatakan kebenaran.
Huraiannya :
Pertama : Lidah yang banyak bicara kebatilan.
Kejahatan lidah memang boleh menjadi setajam pedang. Jika kita tidak hati-hati menggunakannya, maka ketajamannya boleh menumpahkan darah, sebagaimana pedang menusuk tubuh manusia. Boleh juga pula lidah itu membiarkan ‘api’ yang membakar semakin besar.
Maka, ada dua bahaya besar yang boleh menimpa lidah kita. Boleh kerana banyak bicara yang tidak perlu dan menyesatkan atau diam terhadap kebenaran. Dua-duanya adalah sumber kerosakan.
Imam Abu Ali ad-Daqqaq pernah mengatakan: "Orang yang berbicara dengan kebatilan adalah syaitan yang berbicara, sedangkan orang yang diam dari kebenaran adalah syaitan yang bisu."
Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang bangkrup di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)
Bahaya lidah adalah kerana tersebarnya kebatilan agama yang diakibatkan oleh lidah mengucapkan kata-kata yang batil ataupun banyak bicara pada hal-hal yang tidak bermanfaat. Kedua-duanya merosakkan masyarakat dan hubungan baik dengan orang lain.
Oleh sebab itu, jika kita tidak tahu terhadap suatu persoalan sebaiknya diam terlebih dahulu sebelum memperoleh jawapan daripada orang yang ahli. Jika tidak, kata-kata kita yang tidak berdasarkan ilmu itu boleh mengkelirukan dan menyesatkan.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaknya ia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kedua : Lidah yang diam terhadap kebatilan dan diam untuk mengatakan kebenaran.
Apabila melihat sesuatu kebatilan, maksiat dan perkara mungkar maka lidah perlulah digunakan untuk membetulkan keadaan atau memberi nasihat yang baik. Lidah tidak boleh berdiam diri sahaja.
Apa saja perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, dikategorikan sebagai kemungkaran. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa melihat dengan penilaian Islam dalam setiap hal yang kita hendak lakukan.
Dari Abu Sa’id Al Khudri radhiyallahu anhu, dia berkata : Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya (kekuasaannya), jika dia tak mampu, maka dengan lidahnya (menasihatinya), dan jika tak mampu juga, maka dengan hatinya (merasa tidak senang dan tidak setuju), dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”. (Muttafaqun Alaih)
Lebih baik lidah berfungsi memberi nasihat jika kita bertemu sesuatu kemugkaran sekiranya kita tidak mempunyai kuasa. Tetapi lebih baik diam jika dihadapkan terhadap persoalan yang belum kita ketahui. Walaubagaimana pun perlu diingatkan bahawa kita tidak boleh diam selamanya. Kita wajib mencari tahu jawaban yang belum kita ketahui.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan, dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya."(Surah al-Israk ayat 36).
Kita mesti bertanya kepada ahlinya terhadap suatu persoalan. Allah SWT memberi arahan: “Bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl ayat 43).
Janganlah memberi fatwa, jika kita tidak tahu hukumnya, jangan pula menyebarkan maklumat yang kita belum pasti sahih dan daripada mana asal-usulnya. Kerana jika kita tersalah memberi fatwa akan mengakibatkan gugurlah seluruh amal-ibadah kita. Begitu juga jika kita terus menerima berita fitnah tanpa diketahui sumber berita tersebut menyebabkan kita telah melakukan kezaliman terhadap orang yang tidak berdosa.
Sahabat yang dikasihi,
Kerosakan masyarakat boleh berlaku di sebabkan banyaknya perkataan batil yang diucapkan samaada berbentuk fitnah atau perkataan kotor dan mengaibkan orang lain. Ramai orang bicara dan menjelaskan sesuatu tanpa ilmu agama. Hukum hakam agama dipermainkan, hukum hudud dipertikaikan, ulama dihina dan di pelecehkan. Kerana tidak berdasarkan ilmu, maka pembicaraannya boleh menyesatkan, mencerai-beraikan ukhuwah, dan memutuskan silaturahim.
Kerosakan juga berlaku apabila kebenaran yang disembunyikan dan kebatilan yang dibiarkan. Ini akibat lidah yang diam terhadap kebatilan. Imam Ibn Hajar dalam kitab al-Shawa’iq al-Muhriqah mengatakan, orang yang dilaknat Allah adalah seorang berilmu (ulama) yang mendiamkan terhadap bidaah agama yang dilakukan oleh umat Islam sedangkan dia mengetahuinya.
Dalam hadis tersebut di atas, Rasulullah SAW tidak sekedar memerintahkan untuk diam, akan tetapi hadis itu memberi pelajaran kita untuk tidak berkata kecuali yang baik dan benar. Kita tidak diperintah untuk terus menjadi ‘orang yang diam’. Orang yang terus-menerus diam adalah orang yang bodoh. Rasulullah SAW tidak mengajarkan untuk berdiam diri sahaja.
Sering kali kita mendengar keluhan saudara-saudara kita: “Saya masih jahil tidak tahu apa-apa”. Kata-kata ini terus ia ulang-ulangi. Islam tidak mengajarkan kita untuk terus berdiam diri tetapi perlu menuntut ilmu supaya bertambah ilmu dan kefahaman kita mengenai agama.
Kita perlu memberi nasihat jika nasihat itu amat diperlukan. Sebab, jika kita terus berdiam diri kemugkaran akan terus bermaharajalela. Padahal kita dituntut untuk mendakwahkan kebaikan, menyebarkan hikmah dan meluruskan kebatilan.
Sufyan ats-Atsauri Rahimahullah berkata:“Ibadah yang pertama kali adalah diam, kemudian menuntut ilmu, mengamalkan, menghafal dan menyampaikannya.”
Jadi kerosakan agama itu boleh berlaku disebabkan ucapan oleh mulut-mulut yang tidak berilmu, boleh juga disebabkan didiamkannya kebatilan oleh orang-orang yang berilmu. Sama-samalah kita bermuhasabah diri kita sendiri dan menjaga lidah-lidah kita semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Jaga diri, dan jaga lidah..... gunakanlah dengan cara yang terbaik seperti yang dianjurkan Rasulullah SAW..... Semoga kita diberkati dan diredhai Allah....

1 comment:

Anonymous said...

Another world's wonders in the making.. Gallery BiGDee House of Magic Potions world's first nano microfungus potions- Taman Royal Lily, Tanah Rata. Come and experience the wonders!