Thursday, March 20, 2014

Sekitar Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2013 dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM & MUET 2013

Assalamualaikum.....

Semoga sahabat semua sihat dan sejahtera pada hari ini dan hari-hari seterusnya....InsyaAllah...

Syukur Alhamdulillah atas limpah kurniaNya dapat kita bersama lagi dihari yang indah ini.....

Sepanjang minggu ini di Majlis Peperiksaan Malaysia agak sibuk kerana semua staf bertungkus-lumus bagi menjayakan Majlis Pengumuman STPM 2013 dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan MUET 2013 yang berlangsung pada 19 Mac 2014 di Dewan MPM.


Alhamdulillah, dengan izinNya, majlis tersebut telah pun berjaya dilaksanakan. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis tersebut.

Sidang Akhbar Pengumuman Keputusan STPM 2013 oleh Dato' Dr Mohd Noh bin Dalimin, Pengerusi MPM (Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia)

STPM 2013 merupakan peperiksaan STPM baharu yang pertama kali dilaksanakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia setelah kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Januari 2012. Calon STPM 2013 ini merupakan calon kohort pertama bagi sistem pentaksiran baharu STPM (Modular).  Bagi STPM 2013, seramai 58,402 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan berbanding 54,645 pada tahun 2012.

Pada dasarnya, keputusan STPM 2013 tidak boleh dibandingkan secara khusus dengan keputusn STPM 2012 kerana formatnya berbeza. Namun, secara umumnya, prestasi calon STPM 2013 adalah lebih baik berbanding dengan prestasi calon STPM 2012. Pencapaian calon keseluruhan boleh dilihat daripada 2 aspek. Pertama, dari segi Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dan kedua, dari segi kelulusan peringkat prinsipal.

Keratan Akhbar Berita Harian 20 Mac 2014
Pada tahun ini, MPM julung-julung kalinya memberikan anugerah khas kepada sebuah sekolah kerana telah muncul sebagai sekolah cemerlang dengan prestasi terbaik di tempat pertma enam tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 mengatasi sekolah lain. Sekolah yang dimaksudkan ialah KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH, KLANG. Sebagai menghargai pencapaian cemerlang sekolah ini, MPM memberikan ganjaran wang RM1000, sijil penghargaan dan sebuah plak kepada sekolah ini.

Beh Keng Hau, Edmund Foo Sze Kai, Mohamad Fairus Azmi, Debbie Lim Huey Chih dan Nurul Syuhadah Yakath Ali
 
Sebagai menghargai pencapaian cemerlang kesemua calon dalam kesemua kategori pelajar cemerlang, MPM memberikan ganjaran wang RM1000, sijil penghargaan, dan sebuah plak kepada setiap pelajar.

Dalam peperiksaan STPM 2013, terdapat seorang calon yang mencapai gred A dalam ke semua kertas dalam 5 mata pelajaran yang diambil. Calon ini diberikan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2013. Calon yang dimaksudkan ialah Beh Keng Hau dari SMK Horley Methodist, Teluk Intan.

MPM juga memberikan ganjaran khas kepada 3 calon istimewa yang cemerlang dalam STPM 2013 sebagai menghargai usaha mereka untuk mencapai keputusan yang cemerlang walaupun menghadapi pelbagai kesukaran. Tiga calon istimewa tersebut adalah:

1)  Mohamad Fairus bin Azmi (SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar) -  Kategori Buta
2)  Debbie Lim Huey Chih (SMK Sultan Ismail, Johor Bahru) -  Kategori Rabun
3)  Yow Chun Hong (SMK Victoria, Kuala Lumpur) -  Kategori Spastik

Mohamad Fairuz Azmi sedang membaca keputusan STPM dari sijil cetakan braille
Selain daripada itu, seorang pelajar terbaik dari luar bandar yang mendapat keputusan 4A telah dikenal pasti dan diberikan ganjaran yang sama. Pelajar tersebut adalah Nurul Syuhadah binti Yakath Ali dari SMK Kuala Ketil, Kedah.

Dalam majlis yang sama, MPM juga telah mengurniakan anugerah pelajar terbaik MUET bagi sesi Julai 2013 dan November 2013. Bagi MUET sesi Julai, Serena Marissa Karnail (calon Persendirian) telah mendapat Band 6 dan bagi MUET sesi November 2013 pula Edmund Foo Sze kai dari SMK Dato' Amar Diraja, Muar mendapat Band 6 dan dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang MUET tahun 2013. Mereka juga telah menerima wang RM1000, sijil penghargaan dan sebuah plak.


Tahniah kepada semua yang berjaya. Semoga kejayaan anda semua menjadi pembakar semangat kepada calon-calon lain yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Antara Barisan AJK yang terlibat.... ramai lagi sebenar nya tapi tak jumpa cari....hehehe

Saya mewakili AJK Protokol, AJK Jamuan dan AJK Hiasan Dewan mengucapkan TAHNIAH kepada semua pelajar dan sekolah cemerlang STPM dan MUET 2013....

Ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan majlis ini. Kami memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan sepanjang majlis ini berlangsung.

Semoga bertemu lagi...InsyaAllah...

No comments: