Article yang ingin dikongsi bersama ini diperolehi daripada email seorang rakan yang di tulis oleh Abu Basyer pada Tuesday, September 21, 2010 at 9:38am....
Sahabat yang dimuliakan,
Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-A'laa ayat 16 dan 17 , yang mana Allah s.w.t. menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.
Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)
Ibnu al-Qayyim mengatakan bahwa zuhud adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat demi kehidupan akhirat.
Al-Imam Hasan Al-Bashri menyatakan bahwa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.
Di sini zuhud ditafsirkan dengan tiga perkara yang semuanya berkaitan dengan perbuatan hati:
1. Bagi seorang hamba yang zuhud, apa yang ada di sisi Allah lebih dia percayai daripada apa yang ada di tangannya sendiri. Hal ini timbul dari keyakinannya yang kuat dan lurus terhadap kekuasaan Allah. Abu Hazim az-Zahid pernah ditanya, “Berupa apakah hartamu?” Beliau menjawab, “Dua macam. Aku tidak pernah takut miskin karena percaya kepada Allah, dan tidak pernah mengharapkan apa yang ada di tangan manusia.” Kemudian beliau ditanya lagi, “Engkau tidak takut miskin?” Beliau menjawab, “(Mengapa) aku harus takut miskin, sedangkan Rabb-ku adalah pemilik langit, bumi serta apa yang berada di antara keduanya.”
2. Seorang Mukmin yang zuhud, apabila terkena musibah, baik itu kehilangan harta, kematian anak atau yang lainnya, dia lebih mengharapkan pahala kerananya daripada mengharapkan kembalinya harta atau anaknya tersebut. Hal ini juga timbul kerana keyakinannya yang sempurna kepada Allah.
3. Baginya orang yang memuji atau yang mencelanya ketika ia berada di atas kebenaran adalah sama saja. Seorang yang zuhud menganggap dunia itu kecil sahaja, maka dia akan lebih memilih celaan daripada pujian. Hal itu akan mendorongnya untuk melaksanakan kebenaran dan tidak khawatir dicela atau dijauhi (oleh manusia), atau boleh jadi dia melakukan kebaikan semata-mata kerana Allah. Jadi, apabila seorang hamba telah menganggap sama kedudukan antara orang yang memuji atau yang mencelanya, bererti menunjukkan bahwa kedudukan makhluk di hatinya adalah rendah, dan hatinya dipenuhi dengan rasa cinta kepada kebenaran.
Hakikat zuhud itu berada di dalam hati, yaitu dengan keluarnya rasa cinta dan ketamakan terhadap dunia dari hati seorang hamba. Ia jadikan dunia (hanya) di tangannya, sementara hatinya dipenuhi rasa cinta kepada Allah dan akhirat.
Sabda Nabi s.a.w maksudnya : "Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas ( Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sayyidina Ali k.w. pernah berkata , "Aku telah talak dunia dengan talak tiga" ini bermaksud dunia ini tidak masuk di dalam hatinya, apa yang beliau lakukan adalah semata-mata kerana Allah dan tidak ada langsung kepentingan dunia masuk di dalam hatinya.
Sebagai seorang Khalifah Islam kezuhudan beliau tidak menghalang beliau untuk mentakbir negara dengan adil dan saksama dan menjaga kemaslahatan rakyat. Diberitakan setiap pagi beliau akan menghantar makanan dipintu rumah ibu-ibu tunggal yang miskin dan kematiaan suami. Setelah kewafatan beliau tidak ada lagi makanan yang dihantarkan, barulah mereka tahu bahawa yang menghantar makanan adalah beliau sendiri.
Dalam pribadi Sayyidina Ali k.w , antara zuhud dan tanggungjawab sosial bertemu. Beliau adalah seorang yang zuhud sekaligus orang yang paling peka terhadap tanggungjawab sosial. Beliau termasuk orang yang paling sukar tidur ketika menyaksikan ketidak adilan atau mendengar rintihan orang-orang kecil. Beliau tidak pernah mengenyangkan perutnya selama ada orang-orang yang lapar di sekitarnya. Beliau pernah berkata: "Demi Allah, aku bersumpah, andaikan aku dipaksa tidur di atas duri-duri padang pasir, atau aku dibelenggu kemudian dipendam hidup-hidup dalam tanah, sungguh ini semua lebih baik daripada aku berjumpa Allah dan Rasul-Nya di hari kiamat sementara aku pernah berbuat zalim kepada hamba-hamba Allah."
Terdapat empat perkara kenapa kita perlu kepada zuhud :
1. Keimanan yang kuat dan selalu ingat bagaimana ia berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat guna mempertanggung-jawabkan segala amalnya, yang besar maupun yang kecil, yang nampak ataupun yang tersembunyi. Ingat! betapa dahsyatnya peristiwa datangnya hari kiamat kelak. Hal itu akan membuat kecintaannya terhadap dunia dan kelezatannya menjadi hilang dalam hatinya, kemudian meninggalkannya dan merasa cukup dengan hidup sederhana.
2. Merasakan bahwa dunia itu membuat hati terganggu dalam berhubungan dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, dimana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh.
Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (QS. At-Takaatsur: 6)
Perasaan seperti ini akan mendorong seorang hamba untuk hidup zuhud.
3. Dunia hanya akan didapatkan dengan susah payah dan kerja keras, mengorbankan tenaga dan fikiran yang sangat banyak, dan kadang-kadang terpaksa harus bergaul dengan orang-orang yang berperangai jahat dan buruk. Berbeza halnya jika menyibukkan diri dengan berbagai macam ibadah; jiwa menjadi tentram dan hati merasa sejuk, menerima takdir Allah dengan tulus dan sabar, ditambah akan menerima balasan di akhirat. Dua hal di atas jelas berbeza dan (setiap orang) tentu akan memilih yang lebih baik dan kekal.
4. Merenungkan ayat-ayat Al-Qur’an yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu (manusia). Dunia hanyalah tipu daya, permainaan dan kesia-siaan belaka. Allah mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud, “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).” (Surah An-Naaziat: 37-39)
Dalam ayat yang lainnya Allah berfirman maksudnya :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)
Semua dalil-dalil, baik dari Al-Qur’an maupun as-Sunnah, mendorong seorang yang beriman untuk tidak terlalu bergantung kepada dunia dan lebih mengharapkan akhirat yang lebih baik dan lebih kekal.
Sahabat yang dihormati,
Zuhud yang disyariatkan dan bermanfaat bagi orang yang menjalaninya adalah zuhud yang dicintai oleh Allah dan rasul-Nya, yaitu meninggalkan segala sesuatu yang tidak bermanfaat demi untuk mencapai kehidupan akhirat. Adapun sesuatu yang memberi manfaat bagi kehidupan akhirat dan membantu untuk mendapatkannya adalah termasuk salah satu jenis ibadah dan ketaatan.
Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :“Carilah apa yang bermanfaat bagi dirimu dan mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Yang bermanfaat bagi seorang hamba adalah beribadah kepada Allah, menjalankan ketaatan kepada-Nya dan kepada Rasul-Nya. Dan semua yang menghalangi hal ini adalah perkara yang mendatangkan kemudharatan dan tidak bermanfaat. Yang paling berguna bagi seorang hamba adalah mengikhlaskan seluruh amalnya kerana Allah.
Orang yang tidak memperhatikan segala yang dicintai dan dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya akan banyak menyia-nyiakan kewajiban dan jatuh ke dalam perkara yang diharamkan; meninggalkan sesuatu yang merupakan keperluannya seperti makan dan minum; memakan sesuatu yang dapat merusak akalnya sehingga tidak mampu menjalankan kewajiban; meninggalkan amar ma’ruf nahi munkar; meningalkan jihad di jalan Allah kerana dianggap mengganggu dan merugikan orang lain. Pada akhirnya, orang-orang kafir dan orang-orang jahat mampu menguasai negeri mereka kerana meninggalkan jihad dan amar ma’ruf tanpa ada maslahat yang nyata.
Sahabat,
Ada yang tertanya-tanya samada Islam menentang kekayaan dan perolehan harta? Sebenarnya Islam tidak menentang kekayaan dan perolehan harta. Umat Islam perlu harta untuk membantu pentadbiran negara Islam yang berdaulat dan kuat ianya memerlukan kepada dana yang besar untuk pembangunan negara dan kemaslahatan rakyat jelata.
Zuhud adalah satu sifat yang amat baik dan terpuji di dalam Islam, bagaimanapun perlu difahami bahawa mendapati terdapat salah faham masyarakat Islam dalam memahami ertinya, sehingga ia ditakrifkan sebagai menjauhkan diri dari dunia dan membiarkan diri miskin. Ada juga yang mengganggap zuhud sebagai tidak menggunakan harta yang diperolehi untuk diri, dan keluarganya.
Ada dikalangan kita mengatakan bahawa zuhud jika berumah, berpakaian dan berkereta usang walaupun mempunyai harta. Membiarkan umat Islam tidak membina sebarang kilang, bangunan dan perniagaan kerana ia dikira sebagai zuhud iaitu lari dari dunia sejauh-jauhnya. Dengan demikian dunia akan datang kepada kita. Adakah ini benar-benar yang diarahkan oleh Islam ?.
Sebenarnya Islam mengalakkan kita memiliki harta dan kekayaan. Kekuatan darisegi ekonomi akan membuatkan umat Islam dapat mengatasi kekuatan orang kafir. Islam akan dipandang mulia kerana negara dan umatnya memiliki ilmu, harta, kekayaan dan kekuatan darisegi ekonomi.
Allah s.w.t. indah dan Dia suka yang indah-indah. Bila kita menggunakan nikmat Allah s.w.t dan bersyukur di atas pemberian-Nya maka ianya disukai oleh Allah s.w.t. Memiliki kereta baru, rumah banglow dan ladang pertaniaan yang luas , saham perniagaan dan kilang-kilang perusahaan tidak dilarang selagi hati dan jiwa kita tidak cintakan dunia. Kita menganggap semua harta ini adalah pinjaman sementara di dunia ini dan ianya adalah amanah daripada Allah s.w.t. Walaupun pada zahirnya ia sebuk uruskan perniagaan di dunia tetapi hatinya sentiasa sebuk dengan akhirat dan ia akan salurkan semua keuntungan dan rezeki yang Allah kurniakan untuk jalan Allah dan mencari keredhaan-Nya.
Zuhud itu adalah mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredhaan Allah s.w.t.. Pandangan Allah akan sentiasa menjadi ‘priority' dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedeqah dikeluarkan. Itulah zuhud namanya dan bukannya menjadikan diri miskin dan menjauhi dunia.
Oleh itu marilah sama-sama kita meningkatkan martabat diri kita menuju kepada zuhud kepada Allah s.w.t. iaitu tidak ada sedikit pun kecintaan hati kita kepada harta dunia yang sementara ini. Dan hati kita sentiasa disebukkan dengan keyakinan pada hari akhirat dan nikmat Syurga yang kekal abadi. Walaupun kita memiliki hati yang cinta pada hari akhirat tetapi ianya tidak menjejaskan kehidupan kita seharian. Bila kita bekerja kita bekerja bersungguh-sungguh tidak buang masa dengan sia-sia dan bila kita berniaga kita berniaga bersungguh-sungguh tidak ada penipuan dan pecah amanah. Semoga dengan keuntungan yang diperolehi akan dibayar zakat, bersedekah dan infak dijalan Allah s.w.t. Meningkatkan taraf ekonomi umat Islam adalah satu jihad yang besar.
Thanks to En. Adnan bin Husin kerana sudi berkongsi artikel ini melalui email....
No comments:
Post a Comment