Thursday, September 30, 2010

PANDUAN KAWAL KEMARAHAN

Assalamualaikum sahabat sekalian....

Syukur Alhamdulillah kerana dipagi yg dingin diselaputi kabus ini dapat lagi kita bersama berkongsi kisah menarik yang dapat memberi kita sedikit ilmu. Sekalung ucapan terima kasih kepada Puan Mastura binti Abdul Aziz kerana sudi berkongsi email ini dengan saya.

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya.

Sifat pemarah itu merupakan satu kelemahan dalam hidup setiap individu. Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kita seringkali marah apabila manusia lain melakukan kesalahan dan kesilapan. Tetapi, kita terlupa sebenarnya setiap kelemahan dan kesilapan manusia lain itu adalah ujian untuk kita.

Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan ” Inna lillahi wainna lillahi raji’un.”.

Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : ” Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais.”

“Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman” Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan membebaskan kamu.” Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim” Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah.

Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya.

Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia “tuan” kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita mesti membuangkan rasa “ketuanan” kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi.

Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

(1) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. w. t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

(2) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

(3) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

(4) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

(5) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda didalam keadaan yang marah.

(6) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta’awwuz (A’uzubillahi minas Syaitanirrajim)kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

(7) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

(8) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

(9) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi.

Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, Insha Allah kemarahan akan mulai reda.

Dengan cara demikian, seperti ulasan saudara fansuri, keegoan akan berkurangan.

Tetapi apa yang berlaku, apabila naik marah, yang bersandar akan mula menetapkan duduknya dan seterusnya berdiri, maka kemarahan sudah tidak dapat dikawal.

Apabila anda hendak marah…saya sarankan anda ingat kisah “PAKU DI DINDING” ini.

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja.Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.
“Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.
“Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini,bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira.

Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata:
”Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal”’.

Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakkan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita. Kiranya kita mempunyai walau seorang sahaja insan yang bernama sahabat...hargailah dia. Dan kiranya kita punyai beribu sahabat sekalipun hargailah semua sahabat kita.

Kepada semua sahabat....Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda. Semoga dengan kemaafan dari sahabat sekalian, mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan kerja buat yang kita lakukan dan beri rahmat serta kebaikan buat kita semua..InsyaAllah.

No comments: