Sunday, August 22, 2010

Hayati Doa Ketika Duduk Antara 2 Sujud...

Assalamualaikum.....
Syukur Alhamdulillah dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus bernafas dan beraktiviti lagi.....

Satu ceramah mengingatkan akan Doa ketika duduk di antara 2 sujud yang seringkali kita terlepas pandang.... ambil mudah dan ambil ringan... padahal doa ini merupakan doa untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat..... SEmoga kita sama2 memahami dan menghayatinya di masa akan datang....

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap hari kita mengerjakan solat. Sama ada solat fardu atau solat sunat. Solat adalah ibadah khusus yang yang diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk kita melaksanakannya tanda perhambaan diri kita kepada Allah s.w.t. Semakin banyak kita mendirikan solat maka semakin hampir diri kita kepada Allah s.w.t. Di dalam solat mengandungi bacaan al-Quran, doa, zikir, memuji kebesaran Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w.

Salah satu tempat kita berdoa adalah ketika duduk antara dua sujud. Terdapat tujuh permintaan (berdoa) kepada Allah s.w.t . dan kita minta berulang-ulang. Sekiranya kita mengerjakan solat fardu lima waktu maka terdapat 17 kali kita mengulangi doa dan meminta kepada Allah s.w.t. Jika ditambah dengan solat-solat sunat yang lain maka akan bertambah lagi doa dan permintaan kita kepada Allah s.w.t.

Perbuatan duduk antara dua sujud ini adalah satu waktu yang sangat singkat iaitu sekadar thuma'ninah (berhenti sekejap) sebelum berpindah kepada sujud yang kedua. Rukun ini melambangkan bahawa hidup seorang Mukmin itu sentiasa berdisiplin,tenang dan tidak gopoh di dalam menghadapi sebarang ujian dan cabaran hidup di dunia yang berbagai-bagai corak rupa yang boleh melalaikan seorang hamba itu daripada Tuhannya.

Ketika melakukan duduk antara dua sujud itu, disunatkan membaca doa yang bermaksud:

Ya Tuhan! Ampunilah aku, rahmatilah aku, tutupkanlah keaibanku, angkatlah kedudukanku, kurniakanlah kepadaku rezeki, dan berilah aku petunjuk serta berilah kepadaku kesihatan."

Sahabat yang dimuliakan,

Adakah kita faham dan hayati doa dan permohonan yang kita ucapkan dan kita meyakini bahawa Allah s.w.t akan menunaikan doa dan permintaan kita?

Marilah sama-sama kita hayati tujuh doa kita kepada Allah s.w.t.

Ya Tuhan! Kita bermunajat dan menyeru kepada Allah s.w.t.

Pertama : Ampunkanlah aku.

Kita memohon agar Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa kita yang banyak dilakukan sama ada sengaja atau tak sengaja.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :"Semua anak Adam adalah berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang bertaubat dari dosanya."

Firman Allah s.w.t. maksudnya : " Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah .Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada Tuhanmu, dan patuhlah kamu kepada-Nya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan"

(Surah Az-Zumar ayat 53-54).

Kedua : Rahmatilah aku.

Rahmat Allah (kasih sayang-Nya) adalah meliputi langit dan bumi. Kita memohon semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi rahmat dan kasih sayang-Nya sama ada ketika di dunia dan akhirat kepada kita sebagai hamba yang dhaif dan memerlukan pertolongan -Nya. Jika kita terlepas mendapat bencana di dunia, terlepas dari seksa kubur , mendapat perlindungan Arasy di Padang Mahsyar, mengambil buku catatan di tangan kanan, meniti sirat seperti kilat dan memasuki Syurga Allah adalah dengan rahmat Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Abu Hurairah r.a maksudnya :"Ketika Allah s.w.t menentukan takdir makhluk-Nya , Dia menuliskan di dalam kitab-Nya di atas Arasy : 'Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan (mengatasi) Marah-Ku'. "

(Hadis Muttafaqun 'Alaih , Bukhari dan Muslim )

Ketiga : Tutuplah keaibanku.

Kita mohon perlindungan Allah dari terdedahnya keaiban kita ketika didunia ini dan keaiban kita ketika dihari akhirat. Islam melarang kita membuka keaiban kita sendiri setelah Allah tutup keaiban itu. Maksudnya kita jangan ceritakan dosa-dosa dan kemungkaran yang telah kita buat kepada orang lain. Biarkan ianya menjadi rahsia kita dengan Allah.

Kita juga dilarang membuka keaiban orang lain, salah satu jalan keaiban kita ditutup oleh Allah dihari akhirat adalah dengan kita menutup keaiban orang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "...dan sesiapa yang menutup keaiban seorang Muslim maka Allah ta'ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta'ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya..."

(Hadis Riwayat Muslim)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah."

(Muttafaqun 'alaih Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keempat : Angkatlah kedudukanku.

Kita memohon Allah s.w.t mengangkatkan kedudukan dan darjat kita disisi Allah s.w.t. Darjat di dunia kita mohon menjadi orang bertakwa dan muhsinin dan darjat di akhirat dapat kedudukan yang tinggi iaitu dapat memasuki Syurga Firdaus (Syurga tertinggi). Syurga sendiri memiliki beberapa tingkat bergantung kepada amalan dan darjat seseorang di dunia ini.

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa orang yang akan memasuki Syurga-Nya kelak adalah dalam keadaan berkumpulan. Ia dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan orang yang bertakwa kepada Rabb-nya dibawa ke Syurga berombongan, apabila mereka sampai ke Syurga itu, pintunya terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaganya: Kesejahteraan dilimpahkan atasmu, berbahagialah kamu, masukilah Syurga ini, sedang kamu kekal didalamnya."

(Surah az-Zumar, ayat 73).

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : "Barang sesiapa yang berinfak dengan emas dan perak daripada hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari mana-mana pintu Syurga. Syurga itu ada beberapa pintu. Sesiapa yang rajin menunaikan solat, maka dia akan dipanggil dari pintu solat.Sesiapa yang rajin bersedekah, maka dia akan dipanggil dari pintu sedekah. Sesiapa yang berjihad, akan dipanggil dari pintu jihad dan sesiapa yang berpuasa, dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan."

Kelima : Kurniakanlah kepadaku rezeki.

Kita memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan rezeki yang halal dan rezeki yang bermanfaat. Untuk mendapatkan rezeki yang berkat daripada Allah perlulah bertawakkal, bersyukur dan sentiasa berwudhuk

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,"Jika kamu bertawakkal yang sebenarnya, nescaya Allah akan mengurniakan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dengan tembolok kosong dan pulang pada waktu petang dengan tembolok yang penuh."

(Hadis Riwayat Tarmidzi)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Jika kamu bersyukur. nescaya akan Aku tambah (rezeki) padamu dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih."

(Surah Ibrahim ayat 7).

Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki kepadamu"

Keenam : Berilah aku petunjuk.

Petunjuk (hidayah) adalah hak Allah s.w.t diberi kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki. Dimaksudkan mendapat petunjuk (hidayah) adalah kita sentiasa kekal dalam iman dan Islam dan sentiasa didorong untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Minta dilindungi Allah dari terpengaruh dengan jalan yang boleh memesongkan aqidah kita dan menjerumuskan diri kejalan maksiat.

Nabi s.a.w mengajar kita untuk berdo'a semoga sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah s.w.t.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya."

(Surah Ali-Imran ayat 8).

"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu."

(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Ketujuh : Berilah kepadaku kesihatan.

Mohon kepada Allah agar kita sentiasa berada di dalam keadaan sihat wal afiat, dijauhi dari penyakit fizikal dan penyakit hati. Sihat dan penyakit adalah hak Allah, Dia boleh memberikannya atau boleh menjauhkan darinya.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:"Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram."

(Riwayat Abu Daud)

Maksud dalam hadis tersebut,yakinlah bahawa setiap penyakit yang diturunkan ada penawarnya. Dari itu janganlah kita berputus asa dari berikhtiar mengubati dan mengatasi masalah yang dihadapi. Bagaimanapun, sebarang ketentuan adalah hak Allah. Kita perlu terus berharap kepadaNya setiap satu adalah dalam rencana-Nya.

Berdo'a dan terus betawakal kepadaNya semoga kita dijauhi daripada penyakit dan menjadi hamba Allah yang sihat zahir dan batin .

Sahabat yang dikasihi,

Marilah kita fahami maksud yang terkandung didalam do'a diantara dua sujud yang sentiasa kita lakukan. Apabila kita dapat memahaminya dengan jelas maka diharapkan solat kita bertambah khusyuk dan dimakbulkan do'a-do'a yang kita ucapkan. Yakinilah Allah s.w.t Maha Mendengar dan Mengetahui hajat dan permintaan yang kita sembahkan kepada-Nya dengan hati yang ikhlas.

No comments: