Tuesday, January 4, 2011

7 Pesanan Nabi kepada sahabatnya, Abu Zar

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t..

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada sahabatnya Abu Zar. Abu Zar seorang yang bertakwa dan berprinsip tegas. Dia tidak menyukai kekayaan dan hidup sentiasa dalam kesederhanaan.
Tujuh pesanan yang disampaikan oleh Baginda SAW itu ialah:
1.  Mengasihi faqir miskin dan mendampingi mereka
Berikanlah mereka sedekah dan menjamu makanan. Paling baik dilakukan pada bulan Ramadhan yang penuh barakah. Di bulan Ramadhan darjat pahala dilipat gandakan olah Allah SWT iaitu amalan 'harus' diberikan pahala sunat, amalan sunat diberi pahala amalan wajib, dan amalan wajib digandakan sehingga tujuh puluh kali gandaan.
Namun demikian pada bulan-bulan lain juga digalakkan dan punya keistimewaan tersendiri. apa yang penting ialah huluran sedekah sampaikan bantuan kepada fakir miskin dan juga kepada mereka yang memerlukan dengan hati yang ikhlas.
2.  Jangan tengok di atas sahaja tetapi tengok dan bandingkan mereka di bawah (mereka yang kurang bernasib baik)
Kita harus melihat mereka yang kurang bernasib baik daripada diri kita dalam menilai sesuatu terutama tentang nikmat kurniaan Allah SWT. Besar kemungkinan kita dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada orang di bawah kita itu.
Dalam erti kata lain, kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan tidak dengki kepada orang yang mendapat kelebihan daripada kita. Sama ada mereka itu dilebihkan dari segi kewangan, keluarga, kesihatan, pangkat, dan lain-lain.
Namun kita juga perlu ingat tentang mereka yang di atas kita yang mempunyai nasib lebih beruntung dari kita. Tidak salah untuk membandingkan dan kita berusaha untuk menyamai orang di atas tetapi harus di dalam persaingan baik lagi sihat. Iaitu tanpa hasad, dengki, dan penyakit hati.
3.  Mengeratkan Silaturahim
Kita harus terus-terusan menghubungi dan mengeratkan silaturahim walaupun ada pihak yang satu lagi tidak menyenanginya atau menyukainya.
Hari Raya adalah kesempatan yang amat baik untuk memulihkan dan memanjangkan silaturahim. Dari itu kita diseru untuk berkunjung-kunjungan dan menghulurkan tali silaturahim. Elakkan sama sekali di hari raya dengan menghabiskan masa di hadapan televisyen, radio, video ataupun komputer sahaja.
4.  Banyakkan menyebut 'lahaula wala quwata i'llabilahil aliyil azim'
Kalimah tersebut mengandungi kalimah tauhid dan penyerahan diri sepenuhnya kepada allah SWT. Antara lain ia bermaksud, sesungguhnya kita berlindung kepada Allah SWT daripada sesuatu kecemasan, musibah, sesuatu yang ghaib atau perkara-perkara yang kurang menyenangkan. Yakni dengan menyebutnya kita menyatakan penyerahan diri dan kembali kepada Allah SWT.
Kalimah ini juga menandakan bahawa kita sememangnya mengharap amat sangat akan pertolongan Allah SWT. Maka sebutlah kalimah tersebut terutama ketika berada di dalam kecemasan, geruh dan gemuruh.
5.  Berkata benar walaupun kebenaran itu pahit bagi orang yang mendengar
Elakkan berbohong terutama kepada ketua, kawan, ayah, ibu, isteri/suami dan sebagainya. Ini kerana sekali berbohong akan menyebabkan kita akan terus berbohong untuk menutup pembohongan yang pertama tadi. Sesungguhnya Allah SWT amat murka kepada mereka yang suka bercakap bohong.
6.  Takut hanya kepada Allah
Hendaklah kita takut kepada Allah SWT demi menegakkan kebenaran dan agama ini. Janganlah kita takut kepada ancaman manusia dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.
7.  Jangan jadi orang yang meminta-minta
Rasulullah SAW tidak menyukai kita menjadi orang yang meminta-minta. Dalam kata lain kita hendaklah memelihara maruah diri dan berusaha bersungguh-sungguh terlebih dahulu sebelum meminta pertolongan orang lain.
kalaupun meminta pertolongan orang lain atau mengharapkan sedekah, jangan lah menjadi orang yang bersangatan meminta-minta kepada sesama manusia kecuali meminta-minta dan bersangatan kepada Allah SWT, itu adalah digalakkan.
Ada bidalan yang menyatakan, 'tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah' dan pahala sedekah sebahagian rezeki yang dikurniakan Allah SWT amat jelas dan besar ganjarannya.

Semoga kita beroleh manfaat dari perkongsian ilmu ini.

No comments: