Thursday, February 17, 2011

Bahaya Fitnah.....

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t..

Blogwalking saya kali ini menemukan saya dengan satu artikel menarik ini.... Semoga ilmu ini memberi manfaat kepada kita semua.....

Satu sikap yang merosakkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam ialah "suka membawa mulut", mereka-reka serta menambah cerita buruk, malah melaga-lagakan orang sehingga kisah yang pendek menjadi panjang.  Ia juga disebut menabur fitnah atau 'namimah' iaitu menceritakan keburukan orang di khalayak ramai dengan tujuan menimbulkan kebencian dan permusuhan terhadapnya.

Antara faktor yang menimbulkan fitnah ialah dorongan perasaan iri hati atau dengki terhadap orang lain, ditambah kekurangan iman dan tiada kefahaman mengenai larangan dan kemurkaan Allah, malah hati dan jiwa seseorang yang kotor, lemah tahap pemikirannya dan sukar menerima kebenaran.

Faktor lain yang mendesak seseorang melakukan fitnah ialah kerana ingin mendapatkan kuasa, pengaruh serta kepercayaan orang terhadap diri dan dakwaannya, malah ingin menunjukkan dirinya seorang yang lebih baik daripada orang yang difitnahkan itu.

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan". (surah al-Hujurat, ayat 6)

Rasulullah s.a.w. menegaskan , menyelidiki rahsia dan memfitnah orang yang baik, termasuk ciri orang munafik yang mengaku beriman dengan lidahnya, sedangkan hatinya benci. Mereka di hari kiamat akan dibebani dengan dosa besar di depan Allah.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan orang yang memfitnah itu. Mungkin ramai yang menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa yang merugikan. 

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:"Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah" (Hadis riwayat Bukhari & Muslim). Dosa menyebarkan fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebarkan fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehingga penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti.

Hari ini  medan menabur fitnah terlalu banyak. Dengan perkembangan teknologi, semakin mudah pula mengadakan berita palsu, fitnah dan segala celaan dengan cepat tersebar  ke seluruh ceruk rantau. Cukup dengan memasukkan ke dalam internet atau blog, semudah itulah manusia berbuat dosa dan semudah itu juga umat Islam boleh bersatu dan berpecah belah.

Rasulullah S.A.W bersabda : Tahukah kamu apa itu memfitnah? Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda: Memfitnah adalah mengatakan sesuatu tentang saudara (Muslim) ketika dia tidak ada dan yang dia tidak suka. Ditanya: “Wahai Rasulullah jika kekurangan itu sungguh ada dalam diri seorang muslim, maka apa yang harus aku dikatakan?” Baginda menjawab: Jika apa yang dikatakan itu benar, maka itu adalah mengumpat. (Riwayat Muslim)

Islam melarang keras tindakan menabur fitnah dan menyebar khabar angin, malah mereka yang berbuat demikian dijanjikan dengan balasan yang buruk.  "Sesungguhnya orang yang suka menghebah tuduhan yang buruk di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui." (An-Nur:19)

Mengapakah begitu besar ancaman fitnah ini kepada masyarakat? Firman Allah S.W.T yang bermaksud: ...dan ingatlah (angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada membunuh...(al-Baqarah: 191).
Ayat di atas menjelaskan bahaya fitnah dalam masyarakat. Fitnah itu boleh dibaratkan sebagai pembunuh senyap yang boleh menjadikan sesiapa sahaja mangsanya. 

Di akhirat, orang yang menabur fitnah akan diseksa kerana ia adalah dosa besar. Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan mengumpat dan fitnah itu menerusi firmanNya: ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?...(al-Hujurat: 12)

Islam menyuruh umatnya menutup keburukan yang dilakukan oleh saudara sesama Muslim. Bagi mereka yang menyembunyikan keburukan ini maka Allah akan sembunyikan keburukan mereka di akhirat sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. Pengajaran yang lebih penting dalam ayat ini adalah membudayakan sikap berhati-hati apabila menerima berita daripada orang yang kita ragui. Demikian juga apabila mendapat berita sama ada melalui khidmat pesanan suara (SMS), khabar angin, tuduhan melulu atau melalui internet yang boleh dipertikaikan kejujurannya.

Setiap Muslim tidak boleh menerima bulat-bulat tohmahan atau fitnah yang disampaikan kecuali setelah diperiksa kesahihannya. Sebab itu Islam sangat menentang sifat jahiliah iaitu sifat yang menggunakan persepsi semata-mata untuk menentukan kebenaran atau tidak. Sebaliknya, umat Islam perlu menggunakan keyakinan data ilmiah dalam menentukan benar atau salah sesuatu berita itu.

Angkara fitnah ini amat buruk kesannya kepada masyarakat. Apabila masyarakat terutama anak muda terbiasa hidup dalam suasana fitnah, mereka akan hilang sensitiviti. Akhirnya masyarakat jadi kucar-kacir dan menghakis idealisme perpaduan dan persaudaraan dalam Islam. Dari segi agama, mangsa yang difitnah hendaklah bersabar dan tidak melakukan fitnah balas kepada orang yang memfitnah atau kepada pihak ketiga. Tindakan yang terbaik ialah memberi penjelasan berkaitan perkara yang telah menimbulkan prasangka masyarakat terhadap dirinya. Ini adalah sifat Muslim yang ideal yang dapat menahan emosi, nafsu juga akalnya dari melakukan perkara-perkara yang melampau dan ditegah agama.

Kadang-kadang, kejadian ini adalah cubaan Allah untuk menguji keimanan seseorang. Baginda S.A.W sendiri pernah difitnah. Namun, fitnah atau tohmahan itu akan melahirkan peribadi yang lebih utuh. Barangkali juga kesulitan dan ujian Allah ini baik untuk kita sebagaimana firman Allah, ...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik untuk kamu  dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu perkara padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang yang mengetahui semuanya itu, sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216).

Sesungguhnya, adalah amat beruntung bagi mereka yang menjauhi fitnah.... menjauhi segala fitnah adalah pemeliharaan rabbani, lebih banyak daripada usaha manusia.... Jika sekiranya anda difitnah... bersabarlah, ambillah segala sebab untuk mengawal emosi anda... dan mohon lah bantuan dan keredhaan Allah....Hati harus tetap bergantung hanya kepada Allah..... Hanya dengan mengingati Allah hati kita akan tenang.... InsyaAllah....

Terima kasih kepada group mymasjid & portal intranet atas maklumat tentang tajuk berkenaan.... Semoga dilimpahi keberkatan Allah...amin.

5 comments:

Ibu Qisha said...

mmg bahaya fitnah ni...boleh buat hidup huru hara...apa pun yg mendengar tu..eloklah siasat dulu..jgn main percaya 100%...yg memfitnah..sudah-sudahlah..baik minta maaf cepat..

Ibu Qisha said...

An-Nur : 23-24
Mereka yang memfitnah perempuan suci, celakalah di dunia dan akhirat; bagi mereka hukuman yang dahsyat dihari pengadilan; lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi diatas perbuatan mereka.

Faradilla Rashid said...

Semoga Allah melindungi kita...InsyaAllah

Melur Jelita said...

Salam Fara jelita,
susahnya nak masuk sini seba brok buat hal manjang. Apa kes ini. Akak nak balas komen kat cbox pun tak leh. Tak leh masuk langsung. ADA AKU KISAH...sila siasat betul - betul dulu sebelum nak serang orang. Sepatutnya serang dan hamun laki awak cukup- cukup...Entah - entah, dia yang bertepuk sebelah tangan, nak lepaskan geram , fitnah fara jelita ni pulak.

Faradilla Rashid said...

Aduhhhh garangnya akak Melur ni.... Takutnya saya jadinya....

Sabar akak Melur... Semakin banyak bersabar semakin bertambah JELITA...