Wednesday, November 10, 2010

Keikhlasan....

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani~

Assalamualaikum w.b.t.

Ketika berjalan2 di laman maya (blogwalking) terjumpa satu artikel yang menarik dari blog bertajuk Berhati-hatilah karangan Ust Fuad bin Osman tentang IKHLAS....

Jom kita kongsi kisah ini bersama-sama....

Tersebutlah kisah di zaman dulu ada seorang Sultan ingin membina masjid dan menamakan masjid tersebut dengan namanya. Sultan telah memerintahkan pengawal-pengawalnya mengawal kawasan pembinaan agar tidak ada sesiapa yang masuk campur dalam pembinaan masjid tersebut.

Setelah siap pembinaan, suatu malam Sultan bermimpi berjalan menuju ke masjidnya. Baginda dapati di depan masjidnya tertulis nama seorang wanita dan bukan nama baginda.

Keesokan harinya baginda memerintahkan beberapa orang pengawalnya mencari perempuan yang tertulis namanya di pintu masjid di dalam mimpinya.Wanita tersebut berjaya ditemui. Rupanya wanita ini adalah seorang wanita tua dan hidup dalam kemiskinan.

Bila dibawa ke hadapan Sultan maka sultan pun berkata : Sudah tiga hari beta bermimpi dengan mimpi yang sama. Apakah kisah sebenarnya yang berlaku? Adakah kamu ada membantu apa-apa dalam pembinaan masjid beta?.

Jawab perempuan tua itu : Bukankah tuanku sudah menyediakan pengawal untuk mengawal dari ada sebarang campurtangan dari sesiapa.Patik ni sudahlah tua tidak terdaya, miskin pula.

Sultan terdiam sebentar dan berkata kembali : Adakah kamu ada mendekati tempat pembinaan?.
Jawab perempuan tua : memang ada tapi patik hanya lalu dan..." Perempuan tua itu terdiam.

Sultan : Dan apa?... kamu cerita kisah sebenar, Beta tidak akan mempengapakan kamu.

Kata perempuan tua : Masa patik lalu di kawasan pembinaan, patik lihat ada seekor keledai sedang lemah kehausan. Tali pengikat leher keledai itu menghalangnya dari minum air yang berada di depannya, hanya sejengkal dari tempat ia tersekat.Lalu patik lepaskan talinya. Itu sahaja yang patik lakukan.

Sultan tertunduk sebentar setelah mendengar kisah wanita tua itu.Kemudian baginda bersuara : Niat Beta untuk membuat masjid atas nama beta tidak direstui Allah, rupanya Allah lebih memandang usaha yang kecil tapi lebih IKHLAS.

Pengajaran dari kisah ini:
1. Kita berbangga dengan usaha kita tapi belum tentu mendapat restu Allah seandainya usaha kita itu bukanlah sesuatu yang ikhlas kerana Allah...

2. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat kepada perintah Allah s.w.t.

3. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub , inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.

4. Keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan atau kebahagiaan Muslim di dunia dan akhirat.

Semoga kita semua mendapat manfaat dari kisah ini... Semoga keikhlasan sentiasa di hati kita....

No comments: