~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t..
Tidak terlambat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha....Maafkan segala ketelanjuran kata & tindakan sesama ummah.... dan Ampunkanlah hambamu ini Ya Allah.... Bersihkan lah hatiku, sucikan jiwaku dan Muliakan lah tingkah laku ku.....
Setelah berjaya menunaikan puasa sunat di hari Arafah.... Menyambut Aidil Adha dengan penuh keinsafan.... Alhamdulillah... Terima kasih Allah atas segala rahmah kurniaanMu...
Sesungguhnya bulan Zulhijjah ini adalah bulan yang mulia, antara bulan-bulan haram dan bulan yang disediakan bagi kita yang ingin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Maka rebutlah peluang ini. Jika kita kurang beribadah pada bulan Ramadhan yang lalu, jika kita terlepas berpuasa enam hari di bulan Syawal yang lalu, maka inilah kesempatan kita. Sekarang ini terbentang di hadapan kita peluang untuk menambahkan amalan kita, mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Maka rebutlah peluang ini. Perbanyakkanlah berzikir dan membaca Al-Quran. Perbanyakkanlah solat sunat dan berpuasa. Perbanyakkanlah ibadah kerana Allah s.w.t menjanjikan ganjaran yang banyak bagi mereka yang beribadat pada hari-hari ini.
Allah berfirman bermaksud: "Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia jugak tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa kepada allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya". (Surah Al-Baqarah, ayat 203).
Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Fajr:
Ertinya: Demi sepuluh malam.
Mengikut sebahagian ulama, inilah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah.
Sekiranya kita tidak mempunyai dorongan untuk berzikir dan membaca Al-Quran bersendirian, maka hendaklah kita berzikir atau membaca Al-Quran beramai-ramai. Dan sebaik-baik zikir dan ibadah adalah membaca Al-Quran. Rasulullah s.a.w bersabda:
Sebaik-baik ibadah umatku adalah membaca Al-Quran.
Akan tetapi bagi mereka yang lebih suka dan mempunyai dorongan untuk berzikir dan membaca Al-Quran seorang diri, maka itu adalah lebih baik kerana ia akan dapat menjauhkan diri dari perasaan riya’. Allah s.w.t berfirman didalam surah Al-Araf, ayat 205:
Maksudnya: Dan ingatlah TuhanMu dalam keadaan kamu seorang diri dengan penuh rendah hati dan perasaan takut terhadapNya, tanpa mengeraskan suara (kerana hendak menunjuk-nunjuk). (Ingatlah Allah) pada awal siang dan akhirnya. Dan janganlah kamu jadi dari orang-orang yang lalai (dari mengingati Allah).
Hari Arafah adalah hari dimana para jemaah haji berkumpul di padang Arafah. Mereka berkumpul disitu mengharapkan pengampunan dan rahmat dari Allah s.w.t. Hari dimana Allah s.w.t mempersaksikan mereka dihadapan para malaikatNya dan berkata: “Sesungguhnya Aku (Allah) telah mengampunkan dosa-dosa mereka.”
Begitulah besarnya ganjaran yang menunggu mereka yang mengerjakan haji dan berkumpul di bumi Arafah dengan penuh tawadhu’. Allah s.w.t amat Pemurah. Dia melimpahkan kurniaNya yang tidak terkira kepada hamba-hambanya . Bagi kita yang tidak berkesempatan untuk mengerjakan haji, maka Allah s.w.t telah menjanjikan pengampunanNya kepada kita pada hari Arafah. Tidakkah kita mahu rebut peluang ini? Tidakkah kita ingin Allah mengampuni dosa-dosa kita? Maka ambillah kesempatan pada hari Arafah ini. Bagaimana caranya? Caranya mudah. Berpuasalah pada hari Arafah. Berpuasalah pada hari tersebut dengan penuh rasa rendah diri kepada Allah s.w.t, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Rasulullah s.a.w ketika ditanya tentang puasa hari Arafah, beliau bersabda: Puasa tersebut menebus dosa tahun yang lepas dan tahun yang baki.
Hari yang berkaitan dengan haji sudah pun ditentukan iaitu hari wukuf di padang Arafah, Hari AidilAdha dan juga hari tasyrik dari hari ke-11 hingga 13 Zulhijjah. Selama tempoh ditentukan itu, hendaklah dipenuhi dengan menyebut nama Allah dan berzikir.
Semuanya sudah ditentukan oleh Allah, diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Hari berzikir dan menyebut nama Allah (dengan bertakbir dan bertahmid) mengikut pendapat yang rajih ialah hari Arafah, hari korban dan hari tasyrik selepasnya.
Setelah hari Arafah, kita akan didatangi pula dengan hari Aidiladha. Ia adalah hari kebesaran Islam, hari makan dan minum dan mengingati Allah. Maka umat Islam dilarang berpuasa pada hari Aidiladha dan tiga hari selepasnya, iaitu hari-hari tasyrik. Dan disunatkan bagi umat Islam untuk bertakbir, bertahmid dan bertasbih bermula dari solat Subuh hari Arafah sehingga solat Asar hari ke tiga belas Zulhijjah. Ia dilakukan selepas setiap solat samada wajib atau sunat. Dan kita dianjurkan agar memperbanyakkan ibadah pada malam Aidiladha berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w:
Ertinya: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadah) maka hatinya tidak akan mati pada hari dimana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dan mengingati Allah).”
Firman allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya". mengingatkan kita dengan pemandangan di Padang Masyar sesuai dengan pemandangan haji. Ia merangsang perasaan takwa dalam hati mereka di hadapan pemandangan mahsyar yang ngeri itu."
Ayat ini di tutup supaya manusia beriman seterusnya melakukan amalan salih yang dihiasi sifat ketakwaan kerana yakin kepada hari pembalasan. Hal ini menunjukkan segala tindakan manusia akan dihitung di hadapan Allah.
Pada hari itu, tidak boleh memberi manfaat kepadanya oleh harta benda dan anak pinak kecuali amalan yang salih. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang beriman dengan segala rukun iman dan beramal dengan amalan yang salih.
Semoga Allah s.w.t memberi kita kekuatan dan dorongan untuk mengandakan ibadah kita pada hari-hari mendatang ini dan menerima segala amalan kita... Amin.
No comments:
Post a Comment