Tuesday, December 28, 2010

Tidur & Mimpi....

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~
Assalamualaikum w.b.t..

Alhamdulillah segala puji selayaknya hanya untuk Allah yang telah menjadikan malam dengan dua keistimewaan, iaitu tidur dan mimpi. Selawat serta salam kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan ahli keluarga serta para sahabat.

Apa itu tidur? 
Tidur ialah cara merehatkan badan dan mencari ketenangan fikiran. Sebahagian kita hanya tidur dan rehat secara fizikal tetapi hakikatnya mindanya tidak rehat walaupun ketika dia tidur.

Apa itu mimpi?
Mimpi adalah gambaran yang dicipta Allah dan dilihat manusia di dalam tidur mereka.

Apakah jenis mimpi?
Mimpi mempunyai 3 jenis:
1. Gambaran yang diciptakan Allah sebagai alamat kepada perkara lain sama ada yang akan datang ataupun yang sudah berlalu.
2. Gambaran terhadap yang berlaku ke atas si empunya diri sebelumnya sehingga terbawa-bawa di dalam tidur.
3. Gambaran yang dimasukkan syaitan ke dalam tidurnya bertujuan menakut atau menyedihkannya.

Apa dalilnya?
Nabi SAW bersabda: “Mimpi tiga jenis:
1) Mimpi yang benar sebagai berita gembira dari Allah.
2) Mimpi menyedihkan daripada syaitan.
3) Mimpi yang berkaitan dengan apa yang berlaku kepada dirinya.”
(Riwayat Syaikhani)

Apakah beza mimpi yang benar dan mimpi biasa?
Mimpi yang benar berasal dari Allah manakala mimpi biasa terutamanya mimpi buruk datang dari syaitan.

Bilakah waktu yang paling benar mimpinya?
- Malam: Pada waktu sahur. Ini kerana waktu tersebut rahmat dan keampunan dari Allah dan diamnya syaitan.
- Siang: Pada waktu ‘qailulah’ (waktu yang disunatkan tidur sebelum tergelincir matahari; bermakna masuknya waktu solat Zuhur).

Apakah dia mimpi buruk a.k.a nightmare?
Semuanya adalah angkara gangguan syaitan.
Nabi SAW bersabda bahawa: Mimpi ada tiga jenis: “Antaranya permainan syaitan untuk menyebabkan anak Adam menjadi sedih.”

Siapakah yang mimpinya paling benar?
1. Para nabi: Semua mimpi mereka benar-benar belaka.
2. Orang soleh: Selalunya benar.
3. Selain mereka: Kadang-kadang benar dan kadang-kadang sebaliknya.
_ Mimpi mu’min lebih benar dari kafir.
_ Mimpi alim lebih benar dari si jahil.
_ Mimpi orang tua lebih benar dari orang muda.
Setiap manusia mimpi mereka bergantung kepada jiwa agama mereka. Akhlak mereka. Keadaan dan sifat mereka!!!

 Tindakan Setelah Mimpi
Berbagai cara dan sikap manusia dalam menghadapi mimpi, setelah mereka bermimpi.Oleh itu Islam telah memberi kita tunjuk ajar dan panduan tentang sikap yang perlu kita lakukan setelah kita bermimpi.
Di dalam sebuah hadith yang bermaksud :

" Tidak tetap kegembiraan kecuali mimpi tentang perkara yang baik di mana yang bermimpi adalah seorang lelaki yang baik.Kerana mimpi yang baik adalah khabar gembira dari Allah untuk hambaNya yang baik, sedangkan mimpi buruk daripada syaitan, maka tidak akan membahayakan.Oleh itu jika mimpi buruk janganlah diceritakan kepada orang lain sedangkan mimpi yang baik ( dari Allah ) adalah tidak mengapa dicerita kepada orang lain."

Diriwayatkan Abu Said Khudri r.a.Sesungguhnya dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
" Apabila diantara kamu ada yang mimpi menyenangkan ( memberi khabar gembira ), maka ia bermakna dari Allah. maka bacalah hamdalah dan ceritakan ( mimpi yang baik tersebut kepada orang lain), tetapi sekiranya mimpi yang tidak menyenangkan , maka ia bermakna daripada syaitan.Oleh itu mohonlah perlindungan Allah dari kejahatan ( mimpi dari syaitan ), dan janganlah kamu ceritakan mimpi tersebut kepada orang lain, maka mimpi tersebut tidak akan membawa mudarat." (Hadis Riwayat Bukhari )

Dari penjelasan kedua-dua hadis tersebut di atas nampak jelas sekali bahawa sikap kita dalam menghadapi mimpi ada dua :

1. Sekiranya anda mimpi sesuatu yang memberitakan tentang kebaikan seperti makan, solat dan lain-lain, maka anda segera bersyukur, kerana anda telah mendapat nikmat dan anugerah dari Allah.

2. Sekiranya anda mimpi yang menakutkan atau membimbangkan, maka sikap yang perlu diambil ialah tidak menceritakan mimpi tersebut kepada orang lain, sebab jika anda mimpi yang buruk kemudian diceritakan kepada orang lain maka akan dikhuatirkan ia akan menjadi kenyataan.Seterusnya anda mesti secepatnya bertaubat dan memohon kepada Allah agar mimpi yang menyedihkan dan membimbangkan tersebut tidak menjadi kenyataan.
 
Apakah adab-adab jika bermimpi mimpi yang benar?
1. Pertamanya, hendaklah mengucap “Alhamdulillah” dan memuji Allah.
2. Mengkhabarkan berita gembira tersebut kepada orang yang berautoriti untuk mentafsirnya.
3. Menghebahkan kepada mereka yang menyayangi anda dan bukan yang memusuhi anda.

Apakah adab jika bermimpi buruk?
1. Anda mesti ber’istia’zah’: Mengucapkan ‘A’uzubillah…dari sebarang kejahatan mimpi itu.
2. Istia’zah dari gangguan syaitan sebanyak tiga kali.
3. Ludah ke sebelah kiri (syarat sahaja). Untuk menghalau dan menghina syaitan yang datang mengacau. Kiri,kerana ia tempat yang tidak baik dan tiga kali kerana menggambarkan kesungguhan….
4. Tukar posisi tidur. Dari kanan ke kiri atau sebaliknya. Bila kita mengubah posisi bermakna kita mengubah gambaran yang terdapat di dalam mimpi. WAllahua’lam!!
5. Terus bersolat. Untuk mendekatkan diri kepada Allah.
6. Jangan menghebahkan kepada orang ramai.
7. Jangan cuba mentafsir sendiri mimpi tersebut. Rujuk kepada ahlinya.

Apakah hukum bertanya berkenaan mimpi?
Hukumnya adalah sunat. Sekiranya bertanya dapat pahala. Kalau tak tanya pun tak dapat
dosa…Jadi apa lagi…bertanyalah anda jika tidak tahu! Ini kerana mengikut perbuatan
nabi SAW!

Apakah adab seseorang yang ingin mendapat mimpi benar?
1. Jangan melambatkan tidur selepas solat Isyak.
2. Berusaha untuk tidur dalam keadaan wuduk.
3. Mula tidur di atas lambung kanan dan berbantal di sebelah kepala kanan.
4. Baca doa sebelum tidur dan berzikir sekadarnya sambil menunggu waktu tertidur.
a. Antaranya: Tadah tangan dalam keadaan duduk dan baca 3 Qul. Tiup ditangan sehingga habis nafas dan sapukan di seluruh badan. Mula dengan kepala, muka dan seluruh tubuh. Sapu tiga kali.
 
Bagaimana seseorang bermimpi jumpa nabi saw?
Sesiapa yang bermimpi berjumpa nabi Muhammad saw sebenarnya mereka memang berjumpa nabi! Ini kerana syaitan tidak boleh menyerupai nabi saw. Mimpi berjumpa nabi saw dalam keadaan jelas dan sempurna sifat bermaksud anda adalah calon penghuni syurga!!!
Namun, jika gambaran nabi saw tidak jelas bermaksud anda masih banyak dosa sehingga tidak ‘dibenarkan’ melihat kecantikannya yang sejati. Ini adalah peringatan supaya anda terus bertaubat dan beramal soleh. Apapun, anda masih dikira bertuah dan calon orang yang soleh!!!

Dalil?
Hadis riwayat Bukhari: Sabda nabi saw: “Sesiapa yang melihatku dalam keadaan tidur maka sebenarnya dia memang melihatku. Ini kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku. Mimpi benar seorang mu’min adalah satu juzu’ dari 46 juzu’ kenabian.”

Rasulullah S.A.W. mengajar kita supaya berwuduk sebelum tidur, membaringkan badan di atas lambung kanan serta membaca beberapa doa. Antara amalan yang diajarkan Rasulullah S.A.W. kepada puterinya Fatimah ra yang mengadu sangat penat dengan bebanan kerja rumah yang banyak, baginda menasihatkan puterinya supaya mengamalkan zikir Subhanallah, Alhamdulilah, Allahu akbar sebanyak 33 kali.

Mimpi sebenarnya tidak akan memenatkan orang yang tidur jika cara tidurnya betul, kecuali jika dia asyik terjaga daripada tidur dengan gangguan mimpi.

Jika terjaga, segera bangun berwuduk dan tunaikan solat sunat sebelum menyambung untuk tidur semula. Jika masih gagal, elok berjumpa doktor pakar bimbang ia penyakit yang perlu diubati.

Walau apapun, pastikan tidur anda merupakan tidur yang berkualiti... tidak kira ianya datang bersama mimpi atau pun tiada mimpi.... semoga  kesegaran diperolehi keesokan hari.....

2 comments:

AnakChott said...

bagus tips ni..thanks ye :)

Faradilla Rashid said...

welcome kak thyla....