Friday, December 10, 2010

Rahsia Khusyuk Solat...

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~

Assalamualaikum w.b.t..

Hari Jumaat yang indah ini... Seorang rakan mengirimkan nota untuk dikongsi bersama.... Semoga nota ini memberi manfaat untuk kita bersama...

Ramai orang Islam yang mengerjakan solat, tetapi berapa ramai yang dapat merasai khusyuk di dalam solatnya? Dan berapa ramai pula yang sedang di dalam solat, tetapi fikirannya menerawang entah ke mana. Lebih menyedihkan, rukun solat menjadi tunggang-langgang. Seperti tertinggal bacaan wajib, tidak cukup rakaat dan sebagainya.

Imam Al-Ghazali telah berkata: "orangyang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar." Firman Allah SWT seperti dalam surah Al-Ankabut, ayat 45 yang bermaksud; "Bahawasanya, solat itu dapat mencegah perkara jahat dan mungkar."

TIPS AGAR SOLAT MENJADI LEBIH KHUSYUK

1. Berusaha untuk memahami setiap kalimah yang dibaca ketika solat. Seperti bacaan Al-Fatihah, tahiyat, tasbih dalam rukuk dan sujud dan bacaan-bacaan yang lain. Apabila kita faham maknanya, sudah pasti kita takut untuk berkhayal atau beralih tumpuan selain daripada hati hanya menumpukan kepada pengertian bacaan-bacaan tersebut.

2. Membataskan pandangan. antaranya dengan mengelakkan daripada menggunakan sejadah yang berwarna-warni atau mempunyai beraneka corak. Bilik solat juga biarlah yang tidak berwarna-warni atau mempunyai gambar serta ukiran atau yang terlalu luas. Biarlah suasana bilik yang tenang dengan warna-warna yang tenang serta tidak disertai perhiasan keterlaluan.

3. Pejamkan mata ketika solat (mengikut kesesuaian individu, kalau rasa tak sesuai tidak perlu) bagi tujuan mengelakkan gangguan solat dengan membataskan pandangan. Memejamkan mata dengan tujuan untuk menghindari sesuatu yang tidak baik itu sepatutnya dilakukan sejak sebelum mendirikan solat.

4. Membataskan pendengaran. Hindari suasana bising, seperti suasana riuh-rendah di luar (jika boleh dihindari)termasuk keriuhan anak-anak bergurau-senda atau bunyi muzik dan nyanyian dari radio atau televisyen.

5. Elakkan daripada pengaruh-pengaruh luar. Seperti sebelum mendirikan solat, pastikan semua kerja telah diselesaikan, anak-anak berada dalam keadaan selamat, pintu telah dikunci dan maskaan di dapur telah selesai.

6. Jika lapar, makanlah dahulu. Sebagaimana sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud; "apabila datang makanan malam dan iqamat untuk solat dilaungkan, mulakan dengan mengambil makanan terlebih dahulu." Ianya dinasihatkan begitu supaya tidak terbayang makanan tersebut ketika solat dan merosakkan khusyuk solat tersebut.

7. Pakai pakaian yang bersih dan kenakan sedikit wangi-wangian. Jangan dianggap remeh terhadap dua perkara ini kerana ia turut mempengaruhi kekhusyukan solat.

8. Memohon pertolongan Allah untuk mengkhusyukkan solat dengan membaca surah An-Nas sebelum mengangkat Takbiratul-Ihram.

9. Menyegerakan solat dan sentiasa menepati waktu solat agar tidak tergesa mengejar waktu. Biasanya kita akan diam ketika azan berkumandang sebagai tanda menghormati azan. Jadi sebaik selesai azan, teruslah mendirikan solat kerana ketika itu ingatan dan tumpuan kita belum dicemari dengan perkara-perkara lain. jangan sesekali solat pada penghujung waktu kerana akan hilang tumpuan dan solat hanya sekadar untuk memenuhi rukun.

10. Sentiasa tanamkan dalam ingatan, bahawa kita sentiasa dalam perhatian Allah. Allah sentiasa memerhatikan gerak-geri, bacaan dan hati kita. Dari itu, tidaklah seharusnya kita berangan-angan dan berkhayal ketika solat, kerana Allah mengetahui kedudukan hati kita.

11. Sentiasa menanam dalam hati bahawa ketika bersolat, anda sendang menghadap Allah bukannya solat kerana orang lain. Seperti malu dengan kawan-kawan, takutkan ibu bapa dan sebagainya.

12. Menenangkan fikiran dengan membbuang jauh segala urusan dunia ketika memulai solat. solat juga merupakan satu terapi. Apabila segala urusan dan masalah dibuang jauh ketika hendak memulai solat, fikiran kita akan kosong. Tumpuan kita hanyalah kepada Allah. Waktu itulah kita merehatkan akal dan minda.

Selesai solat, minda akan menjadi segar dan kita akan menghadapi segala urusan dunia dengan mudah. Juga dengan keberkatan Allah. (Perlu diingatkan, urusan dunia tidak pernah akan selesai selagi kita bernafas. Jadi jangan sesekali urusan dunia menghilangkan tumpuan terhadap solat.)

13. Jangan sesekali lalai ketika sedang mengangkat Takbiratul Ihram, iaitu ketika menyebut kalimah Allahu Akbar yang bererti Allah Maha Besar, ketika menyebut lafaz ini janganlah hati menyimpang kepada perkara lain.

14. Berdiri solat seperti berdiri di Padang Mahsyar. Bayangkan seolah-olah ini adalah solat terakhir dan bayangkan juga dalam ingatan bahawa seolah-olah anda sedang berdiri di Padang Mahsyar. Bagaimana keadaan genting di sana yang mana merupakan penentuan abadi sama ada anda akan dihantar ke syurga atau neraka.

15. Menghadap Tuhan sebagai seorang pesalah ataupun hamba. Sebagai seorang yang bersalah atau pun hamba, pasti kita akan memberikan seluruh tumpuan, jiwa dan raga kepadaNya.

16. Ingatlah, Allah bangga dengan solat yang didirikan oleh hambaNya. Sesungguhnya para malaikat turut mendirikan solat bersama dengan solat yang didirikan oleh seseorang.

17. Solat tanpa khusyuk, dalam surah Al-Ma'un ayat ke empat dan kelima, Allah SWT telah mencadangkan bahawa neraka tersebut diperuntukkan bagi orang-orang yang mengerjakan solat, tetapi solat mereka itu dalam keadaan yang lalai dan lupa.

Tidak dinafikan, hawa nafsu memang sukar hendak dikawal. Manusia akan terus bermain tarik tali dengan hawa nafsunya. Manusia yang sememangnya mencintai dunia akan condong kepadanya, tidak boleh mengharapkan kelazatan bermunajat di dalam solat.

Untuk itu, mujahadah hendaklah dilakukan dan ini merupakan satu ubat yang pahit. Cita-cita duniawi dan cita-cita ukhrawi yang terdapat di dalam hati boleh diumpamakan seperti satu gelas yang dipenuhi air dan cuka. Berapa banyakkan air yang dimasukkan ke dalam gelas, gelas itu akan mengeluarkan dalam jumlah yang sama dengan cuka. Kedua-duanya tidak boleh berkumpul menjadi satu.

Semoga kita semua dapat menghampirkan diri ke arah solat yang khusyuk.

No comments: